Topik diikuti
Pergi ke BHkuSheikh Haikel hidap barah usus tahap empat
Penghibur veteran Sheikh Haikel disahkan menghidap barah usus tahap empat dan telah menjalani pembedahan, menurut isterinya, Cik Anna Belle Francis.
Namun, tumor yang dihidapinya bersifat agresif dan beliau kini sedang menjalani rawatan bagi melawan penyakit tersebut.
Dalam satu panggilan telefon bersama Berita Harian (BH) pada pagi 4 September, Cik Anna Belle, 48 tahun berkata:
“Beliau menghidap barah usus tahap empat dan telah menjalani pembedahan. Namun, tumornya agresif dan telah menjejas hatinya. Kami kini sedang berusaha untuk merawatnya.”
Pada 19 Ogos lalu, BH menemuramah Cik Anna Belle bagi laporan Kaki Makan berkaitan pembukaan semula restoran mereka di Bussorah Street.
Selepas wawancara selesai, wartawan BH melihat Sheikh Haikel, 50 tahun memasuki restoran dalam keadaan menahan sakit sebelum berbual dengan Cik Anna Belle.
Beliau kemudian digegaskan ke hospital.
Dalam mesej kepada BH, Cik Anna Belle mengakui bahawa bukan mudah bagi keluarga mereka untuk menerima dan berkongsi berita tersebut.
Pasangan yang mempunyai tiga anak itu memilih BH sebagai wadah pertama untuk mendedahkan diagnosis itu kerana menurut mereka, akhbar ini telah mengikuti perjalanan Sheikh Haikel selama bertahun-tahun, daripada muzik, televisyen dan filem hinggalah ke dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Di sebalik ujian berat yang sedang dilaluinya, Sheikh Haikel yang kini sedang berihat di rumah, berkata beliau tidak mahu diagnosis barah tahap empat itu menjadi titik kepada perjalanan hidup dan kerjayanya.
Sebaliknya, beliau berhasrat untuk terus bekerja sepanjang menjalani rawatan, termasuk kekal terlibat dalam restoran keluarga mereka, Hai Ge Ji.
Beliau juga bakal melancarkan podcast baharu berjudul Final Applause, yang akan menjadi wadah untuknya berbicara secara terbuka dan jujur mengenai pengalaman menghadapi penyakit serta menjalani rawatan.
Bagi pasangan itu, berkongsi diagnosis tersebut bukan sekadar untuk memberitahu masyarakat mengenai keadaan kesihatan Sheikh Haikel.
Mereka berharap keterbukaan itu dapat membuka ruang kepada perbualan yang lebih bermakna, memberi sokongan dan membawa manfaat kepada mereka yang mungkin sedang melalui pengalaman serupa.
“Bagi kami, ini tidak terasa seperti penghujung sebuah cerita, sebaliknya, ia terasa seperti permulaan sebuah cerita yang baharu,” tulis Cik Anna Belle.
Cik Anna Belle turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada Sheikh Haikel dan keluarga mereka sepanjang perjalanan kerjaya penghibur tersebut.
