Bagi merai sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menganjurkan acara sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) buat kali kedua sejak 2024.
Ia akan menampilkan idea yang digerakkan oleh belia bagi memperingati dan meraikan sumbangan kolektif mereka kepada pembangunan negara.
Bertemakan Majulah SG Youth, acara Sambutan di Persisiran NDP x NTUC itu merupakan lanjutan sambutan utama NDP 2025 dan dianjurkan bersama jawatankuasa eksekutif NDP.
Diadakan di Promontory @ Marina Bay, ia menampilkan pelbagai sorotan menarik termasuk pemasangan interaktif seperti ‘Dream Exchange’, iaitu sebuah ruang ala pondok telefon apabila para pengunjung boleh mendengar rakaman galakan secara anonim daripada golongan belia lain.
Selain itu, sebuah pameran berkuasa teknologi kecerdasan buatan (AI) iaitu The Future We Create, hasil usaha kolektif para pelajar yang diminta mencatat satu perkataan yang memaparkan visi mereka terhadap masa hadapan Singapura.
Pemasangan itu telah direka bersama oleh para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL), termasuk lebih 24 anggota jawatankuasa penganjur belia bagi acara tersebut yang telah mula merancangnya sejak awal tahun.
Proses penghasilan pemasangan tersebut melibatkan usaha selama beberapa bulan, termasuk jelajah kampus NTUC-SG60 Care-fe di 14 IHL yang akan berlangsung sehingga Julai.
Semasa sesi bertemu media di Pusat NTUC yang terletak di One Marina Boulevard pada 18 Jun, Setiausaha Eksekutif NTUC Muda, Cik Natasha Choy, berkongsi bahawa matlamat pada 2025 adalah untuk lebih fokus dalam melibatkan golongan belia bukan sahaja dalam merancang acara tersebut.
Tetapi, ia juga dalam mencipta pengalaman yang mencerminkan perspektif mereka sendiri.
“Ini bermakna kami mahu lebih sengaja dari segi cara kami melibatkan mereka, dalam merangka butiran program dan sebagainya. Lebih penting lagi, kami juga ingin lebih bercita-cita tinggi.
“Bagaimana lagi kami hendak mendekati belia di luar sana, selain daripada jawatankuasa penganjur belia kami?
“Jadi di sinilah, dapat dilihat bahawa hampir semua pemasangan yang ada sebenarnya memerlukan sumbangan daripada golongan belia dari pelbagai IHL untuk direalisasikan dalam Sambutan di Persisiran ini,” terang Cik Choy, yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur acara sambutan itu.
Acara sambutan itu juga akan menampilkan persembahan istimewa oleh bakat tempatan termasuk SHIGGA SHAY, Estelle Fly, penyanyi dan penulis lagu, Shazza, Shabir Sulthan, dan Regina Song serta artis tempatan lain seperti DJ Caden dan kumpulan tarian jaz moden dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), NTU MJ.
Selain itu, para pengunjung boleh mengunjungi reruai NTUC di mana mereka boleh mencuba permainan mini seperti golf mini dan permainan ingatan.
Menurut NTUC dalam satu kenyataan media, kegiatan sedemikian bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai inisiatif mereka, termasuk keanggotaan ‘NTUC Starter’ (Pemula NTUC)– satu bentuk keanggotaan sosial berharga $36 setahun yang ditawarkan kepada belia berusia antara 18 dengan 25 tahun.
Acara sambutan itu akan berlangsung dari 4 petang hingga 9 malam di Promontory @ Marina Bay pada 9 Ogos, dengan acara pratonton pada 26 Julai dan 2 Ogos, menurut NTUC dalam satu kenyataan media.
Kali ini, ia juga menyaksikan peningkatan skala sambutan, dengan satu lagi sesi pratonton ditambah bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengambil bahagian – dengan hampir 20,000 orang dijangka hadir bagi ketiga-tiga acara tersebut.
Orang ramai boleh menyertai undian bagi mendapatkan sepasang tiket bagi salah satu daripada tiga acara sambutan itu bermula dari 20 Jun, 5 petang dan ditutup pada 4 Julai pada waktu yang sama.
Pemohon berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel pada 8 Julai daripada alamat e-mel info@ndpbaycelebrations.sg.
Tiket boleh diambil dari 12 hingga 13 Julai, dan 18 hingga 20 Julai, dari 10.30 pagi hingga 8.30 malam, di Atrium, Aras 1, Great World.
Mereka yang berminat boleh berdaftar di pautan, http://ndpbaycelebrations.ntuc.org.sg/
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg