Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman kenang sumbangan Puan Noor Aishah

Apr 22, 2025 | 9:56 AM
Presiden Tharman, Mantan Wanita Pertama Singapura
Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa beliau bertemu Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim. - Foto ARKIB NEGARA

Presiden Tharman Shanmugaratnam menzahirkan penghormatan kepada Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim, mengenang jasa serta peranannya dalam satu catatan Facebook pada 22 April, susulan pemergian Allahyarhamah awal pagi hari yang sama di Hospital Besar Singapura (SGH).

Allahyarhamha menghembuskan nafas terakhir pada 4.28 pagi.

Allahyarhamha berusia 91 tahun.

Menyifatkan Allahyarhamha sebagai “lambang warisan dan tradisi tempatan”, Tuan Presiden mengingati Allahyarhamha sebagai seorang tokoh anggun, tabah dan berdedikasi dalam menyumbang kepada negara sewaktu era awal pembentukan Singapura.

“Beliau memainkan peranan tersendiri dalam sejarah kita dan akan sentiasa dikenang,” kata beliau.

Dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan oleh keluarga angkat, Allahyarhamha hanya sempat mengikuti dua tahun pendidikan rendah akibat gangguan peperangan.

Beliau baru berusia 26 tahun ketika Encik Yusof Ishak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara pada 1959.

Tanpa sebarang panduan tentang adat istiadat atau protokol, beliau menggalas tanggungjawab barunya dengan penuh tekad – memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris, menerima tetamu kenamaan dan menyerikan suasana rasmi di Istana dengan sentuhan budaya tempatan, tambah Tuan Presiden.

Allahyarhamha dikenali dengan penampilan berkebaya sarung yang dijahit sendiri menggunakan kain dari Arab Street, dan turut memperkenalkan hidangan tempatan seperti rendang daging, epok-epok dan kuih-muih ke dalam sajian Istana – menggantikan masakan Barat yang lazim ketika itu.

Apabila kesihatan Encik Yusof Ishak mula merosot, Allahyarhamha mengambil alih sebahagian tugas sosial beliau dan kekal menjadi wajah mesra dalam acara rasmi. Allahyarhamha juga bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan menjadi penaung kepada beberapa pertubuhan yang membantu golongan kurang bernasib baik.

Walaupun suaminya meninggal dunia pada 1970, Allahyarhamha menyaksikan sendiri transformasi pesat negara ini dan kekal sebagai sosok yang tenang di sebalik tabir pembangunan negara, kata Tuan Presiden lagi.

“Beliau pasti berbangga dengan peranan yang dimainkan secara senyap dalam tahun-tahun awal kemerdekaan kita. Beliau akan terus hidup dalam ingatan kolektif kita,” tambah beliau.

Tambahan kepada catatan Facebooknya, Tuan Presiden turut mengutus sepucuk surat takziah, yang mengenang keperibadian luhur Allahyarhamah serta menzahirkan penghargaan mendalam atas jasanya dalam membentuk institusi kepresidenan dan masyarakat Singapura.

“Beliau pasti berbangga dengan peranan yang dimainkan secara senyap dalam tahun-tahun awal pemerintahan sendiri dan kemerdekaan kita. Beliau akan terus hidup dalam ingatan kolektif kita,” katanya.

Sebagai penghormatan terakhir, jenazah Allahyarhamha akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan dengan Allahyarham Presiden Yusof Ishak.

Jenazah beliau akan diusung menggunakan Pedati Meriam Upacara dari Masjid Ba’alwie ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg