Satu program rintis baharu dalam kalangan masyarakat masjid akan dilancarkan pada 2027 untuk menyediakan sokongan penjagaan lanjutan yang lebih berstruktur bagi bekas pesalah, sebaik sahaja mereka dibebaskan dari penjara.

Dirintis oleh Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), inisiatif dikenali sebagai model penjagaan berasaskan masjid atau ‘Mosque Care’ itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama rakan asatizah pusat tersebut serta masyarakat masjid.

Program itu merupakan antara inisiatif akan datang yang diumumkan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa ucaptamanya dalam Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) yang berlangsung di Masjid Sultan pada 17 November.

Menurut Encik Zhulkarnain, langkah tersebut menandakan fasa seterusnya dalam kerjasama erat antara pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di bawah ‘Rangka Kerja 3P’ Bidang Tumpuan Kedua (FA2) M Kuasa Tiga + (M³+) – iaitu Perisai, Peduli dan Prihatin.

Ia merangkumi usaha memperkukuh sokongan pekerjaan dan penjagaan lanjutan bagi bekas pesalah dan mempertingkat bantuan buat keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan pemenjaraan.

Ini di samping memperluas program pendampingan belia serta pendidikan pencegahan, dan membina keupayaan rakan kongsi masyarakat untuk menyokong penerima bantuan dengan lebih baik.

Mengulas mengenai program Fitrah itu, Encik Zhulkarnain berkata:

“Inisiatif itu menghubungkan bimbingan keagamaan yang diterima pesalah semasa dalam tahanan dengan sokongan integrasi semula secara menyeluruh selepas pembebasan, yang merangkumi khidmat pendampingan, pendamaian keluarga, pautan kepada rangkaian sosial yang positif, serta rujukan kepada rakan kongsi masyarakat lain.”

Beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif lain di bawah Rangka Kerja 3P itu.

Antaranya, peluasan program pendampingan ‘Dadah Itu Haram’ oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), untuk memberi tumpuan lebih besar kepada golongan belia, dengan perbincangan dijadual bermula pada 2027.

Susulan program rintis futsal belia Projek Jalan Kukoh anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA) bersama Membina Community di M³+@Jalan Besar pada 2025, usaha itu akan diperluas dengan kerjasama Mendaki, M³+@Bandar serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), bagi menyampaikan mesej antidadah dan antijenayah kepada lebih ramai belia, katanya.

Encik Zhulkarnain turut menggariskan usaha PPIS yang tampil untuk membantu memperkukuh penyelarasan rujukan antara rakan kongsi serta melatih mereka untuk menyokong penerima bantuan dengan lebih berkesan.

“Kami juga akan meneroka cara untuk memperkukuh titik sentuh bagi memudahkan penerima bantuan mendapatkan sokongan daripada ekosistem MMORN, serta menyelaraskannya dengan platform nasional seperti pusat ServiceSG,” tambahnya.

Selain itu, MMORN bakal bekerjasama dengan pelbagai bidang tumpuan M³+ untuk mempertingkat sokongan bagi bekas pesalah dan pasangan yang mempunyai sejarah atau risiko penyalahgunaan dadah, dedah Encik Zhulkarnain.

Menerusi kerjasama MMORN dengan Bidang Tumpuan Empat (FA4) M³+, ia bakal memperkukuh sokongan pekerjaan bagi bekas pesalah.

Manakala, kerjasama dengan Bidang Tumpuan Pertama (FA1) M³+ pula bakal memperkukuh program Bersamamu, apabila kadi atau naib kadi boleh merujukkan bakal pasangan pengantin yang mempunyai sejarah atau risiko penyalahgunaan dadah dan jenayah kepada MMORN, sekiranya mereka memerlukan sokongan.