Menteri Negara yang baharu dilantik di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, akur bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada warga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Beliau memohon sokongan masyarakat dalam menggalas tanggungjawab baharunya itu.

Dalam satu hantaran Facebook pada 22 Julai, Encik Zhulkarnain berkata beliau menerima amanah baharu itu dengan “penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati”.

“Dengan rombakan Kabinet, saya kini memikul tanggungjawab baharu di MHA. Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati.

“Kini, saya diamanahkan untuk meneruskan pelbagai usaha penting kami, dan saya memohon sokongan, kerjasama serta doa daripada masyarakat agar kita dapat meneruskan usaha ini bersama-sama,” ujar beliau.

Perkembangan tersebut menyusuli pengumuman barisan baharu Kabinet oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa satu sidang media pada 22 Julai.

Di bawah rombakan tersebut, Encik Zhulkarnain, yang juga Menteri Negara (Ehwal Luar), akan berpindah daripada MSF ke MHA bermula 27 Julai.

Seorang lagi penjawat politik yang bertukar portfolio adalah Menteri Negara, Encik Alvin Tan.

Encik Zhulkarnain juga berkongsi perkhidmatannya dalam pelbagai kapasiti bersama MHA dan beberapa badan lain sebelum ini, iaitu sebagai Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal dalam Negeri dan Undang-Undang, Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada), Reben Kuning Singapura (YRSG), dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Dalam hantarannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan MSF atas persahabatan, profesionalisme dan komitmen tidak berbelah bahagi mereka dalam berkhidmat kepada rakyat Singapura.

Encik Zhulkarnain berkata sepanjang berkhidmat di MSF, kementerian itu telah memperkukuh sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dan golongan rentan menerusi inisiatif seperti ComLink+, selain melaksanakan langkah di bawah Belanjawan 2026 bagi memberi permulaan kehidupan yang lebih baik kepada kanak-kanak dan keluarga.

“Dalam banyak aspek, tugas saya di MHA, termasuk menyokong proses pemulihan dan integrasi semula, memperkukuh institusi keluarga, melindungi golongan rentan serta mencegah penyalahgunaan dadah, saling melengkapi usaha yang telah kami mulakan di MSF kerana keluarga yang kukuh dan masyarakat yang selamat saling berkait rapat,” ujar beliau.

Encik Zhulkarnain turut memberi jaminan bahawa beberapa usaha yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu/Islam akan diteruskan, antaranya dalam usaha memperkukuh program pencegahan penyalahgunaan dadah.

“Di MHA, saya akan terus memperkukuh usaha penting dalam membanteras penyalahgunaan dadah, menyokong pemulihan dan integrasi semula pesalah, memperteguh mesej Dadah Itu Haram, memperkasakan (program) Fitrah.

“(Ini) serta mengukuhkan kerjasama dengan Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam bagi menyokong penghuni penjara, belia berisiko dan keluarga mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Encik Zhulkarnain berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baharu, Encik Zaqy Mohamad, serta rakan-rakan masyarakat untuk meneruskan pelbagai inisiatif yang sedang dijalankan.

Encik Zaqy bakal melepaskan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), namun mengekalkan tugasnya selaku Menteri Negara Kanan (Pertahanan) apabila rombakan Kabinet terkini berkuat kuasa 27 Julai.

“Dengan pengalaman luas beliau berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam serta pemahaman yang mendalam terhadap aspirasi masyarakat, kami akan terus bekerjasama sebagai satu pasukan bersama rakan-rakan masyarakat untuk meneruskan usaha penting ini demi manfaat generasi masa kini dan akan datang,” kongsinya.

Berucap di sidang media pada 22 Julai bagi mengumumkan barisan baharu Kabinetnya, Encik Wong berkata beliau telah bekerjasama rapat dengan pemegang jawatan baharu sepanjang tahun lepas (2025).

“Melangkah ke jawatan politik bukanlah sesuatu yang mudah. ​​Tiada manual untuk tugas tersebut dan tiada pengganti untuk pengalaman.

“Tetapi mereka telah menyesuaikan diri dengan peranan mereka dengan baik di bawah keyakinan rakan sekerja dan penjawat awam yang bekerjasama dengan mereka, serta menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk tanggungjawab yang lebih besar.”