Rasa ihsan dorong pekerja pembersihan ketuai usaha cari remaja hilang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasa ihsan dorong pekerja pembersihan ketuai usaha cari remaja hilang

Misi pencarian Allahyarham Daniel berakhir dengan penemuan ‘objek terapung’ di Sungai Kallang
Mar 2, 2026 | 6:45 PM

Rasa ihsan dorong pekerja pembersihan ketuai usaha cari remaja hilang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
remaja hilang, sungai kallang
Kumpulan keluarga dan rakan yang menyertai usaha pencarian arwah Muhammed Qayyim Daniel Putra Rosli, yang dilaporkan hilang di Sungai Kallang pada 25 Februari, terdiri daripada (dari kiri) Encik Muhammad Fazly Laily, Encik Muhammad Fadli Hassan, Encik Mohamed Shafirul Mohamed Rasid, Cik Nur Fatrishah Ahmad, Cik Nur Madiha Abdul Hameed dan Cik Noraina Japri. – Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

Di sebalik kilauan air Sungai Kallang pada malam 26 Februari, Encik Muhammad Fazly Laily yang mengusahakan sebuah kumpulan kecil pencarian remaja yang hilang, Muhammad Qayyim Daniel Putra Rosli, terpandang objek ganjil terapung berhampiran tebing sungai.

Pada ketika itu, beliau bersama tujuh ahli keluarga dan rakan Daniel dikejutkan dengan penemuan berkenaan sekitar 10.25 malam.

Detik itu yang pada awalnya sekadar menimbulkan rasa curiga, akhirnya merungkai satu penemuan yang meruntun jiwa.

Objek terapung itu kemudian disahkan sebagai jasad Daniel, 13 tahun, yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya selepas keluar memancing bersama rakan-rakannya.

Penemuan itu sekali gus mengakhiri segala harapan anggota keluarga dan rakan Daniel untuk menemui remaja itu dalam keadaan selamat.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Fazly, 33 tahun, yang bertugas sebagai seorang pekerja pembersihan, berkata berita kehilangan Allahyarham Daniel telah meninggalkan kesan kepadanya.

“Apabila dapat tahu pencarian Daniel masih diteruskan, kami bertekad untuk bertemu selepas kerja dan waktu berbuka dalam misi mencarinya,” kata Encik Fazly.

Lantas, pencarian itu bermula sekitar 9.30 malam dari Blok 15 Upper Boon Keng Road.

Ini kira-kira satu kilometer dari tempat Daniel dilaporkan hilang.

Jarak yang dilalui pasukan pencari adalah sekitar satu kilometer dari lokasi kejadian.
Jarak yang dilalui pasukan pencari adalah sekitar satu kilometer dari lokasi kejadian. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS

Beliau yang bekerja sepenuh masa dari 8 pagi hingga 6 petang berkata perancangan untuk membentuk kumpulan pencarian dibuat secara tergesa-gesa pada saat-saat akhir.

“Saya memang tidak mengenali ibu bapa arwah Daniel. Namun atas belas ihsan dan rasa simpati sebagai sesama insan, saya terpanggil untuk membantu.

“Saya berharap kehadiran kami sekurang-kurangnya dapat mempercepatkan penemuan tersebut dan memberi sedikit ketenangan kepada keluarganya. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini, saya tidak dapat bayangkan kerisauan yang terpendam dalam hati ibunya,” katanya lagi.

Menurut Encik Fazly, setibanya di tebing sungai dalam keadaan gelap tanpa lampu suluh, mereka terlihat bayangan seolah-olah sesuatu sedang terapung di permukaan air.

“Kami berhenti dan cuba ambil gambar, tapi tak dapat pastikan sama ada itu jasad arwah atau tidak sebab keadaan sangat gelap,” katanya lagi.

Jam pada waktu itu menunjukkan sekitar 10.30 malam, sejam selepas memulakan misi pencarian tersebut.

Seorang lagi yang menyertai pencarian berkenaan, Cik Nur Fatrishah Ahmad, 30 tahun, akur terhidu bau yang sukar dipastikan, sebelum terlihat sesuatu terapung di permukaan air.

“Kami guna kamera telefon untuk zum dan nampak macam kepala dan bahu. Tapi masih tak pasti,” ujarnya.

Beliau kemudian menghubungi polis dan terserempak beberapa anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang secara kebetulan masih di kawasan tersebut pada ketika itu.

Pihak SCDF memberitahu BH mereka menerima panggilan bantuan mengenai penemuan mayat yang terapung di perairan Sungai Kallang sekitar 10.35 malam, hampir tiga jam selepas operasi pencarian aktif ditamatkan pada kira-kira 7 malam.

Encik Fazly berkata perasaannya bercampur baur ketika itu.

“Bila sudah sah itu memang jasad arwah, saya akur tidak menyangka kumpulan kecil ini yang turun padang pada malam tersebut akhirnya menemui jasad remaja itu.

“Namun, saya rasa lega. Sekurang-kurangnya keluarga arwah tidak lagi tertanya-tanya di mana budak itu. Kalau tidak, kasihan mereka terus terfikir-fikir,” katanya.

Turut berkongsi pengalamannya, Cik Nur Madiha Abdul Hameed, 21 tahun, guru prasekolah yang mengajar kanak-kanak berusia sekitar tiga tahun, berkata dorongan dan empati yang ditunjukkan anak didiknya, selain lokasi pusat jagaan yang berhampiran kawasan kejadian, mendorongnya untuk turut serta dalam usaha pencarian itu.

Sebagai seorang pendidik yang saban hari berdepan dengan kanak-kanak kecil, Cik Mardihah berkata pengalaman itu membuatkannya lebih memahami betapa rapuhnya kehidupan.

“Mereka rasa sedih dan ingin tahu apa yang berlaku. Ada yang bertanya kalau ibu bapa mereka boleh turut sama membantu mencari,” katanya.

“Kita selalu bersama anak-anak. Jadi bila perkara begini berlaku, memang terasa dekat di hati,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, Cik Nur Fatrishah akur kejadian itu memberi kesan mendalam kepadanya, lebih-lebih lagi apabila memikirkan usia arwah yang hampir sebaya dengan anak-anak saudaranya.

“Saya tak ada anak, tapi ada ramai anak saudara. Bila jadi macam ini, memang rasa terkesan. Kita sedar apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Ketika ditanya jika ada kata-kata terakhir buat keluarga Allahyarham Daniel, Encik Fazly berkata:

“Saya hanya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah Daniel. Saya mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian ini, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini,” tambahnya.

Saya memang tidak mengenali ibu bapa arwah Daniel. Namun atas belas ihsan dan rasa simpati sebagai sesama insan, saya terpanggil untuk membantu. Saya berharap kehadiran kami sekurang-kurangnya dapat mempercepatkan penemuan dan memberi sedikit ketenangan kepada keluarga. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini, saya tidak dapat membayangkan kerisauan yang terpendam dalam hati ibunya.
Encik Muhammad Fazly Laily, pembersih dan anggota pihak mencari arwah Daniel pada 26 Februari.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg