SPH Logo mobile
Langgan|

Relawan belia dekati warga emas dalam acara buka puasa di Marsiling

Relawan belia dekati warga emas dalam acara buka puasa di Marsiling

Feb 22, 2026 | 11:58 AM

Relawan belia dekati warga emas dalam acara buka puasa di Marsiling

Relawan belia, warga emas, acara buka puasa,  Marsiling, Zaqy
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berinteraksi bersama penerima bantuan Marsiling pada acara, ‘Sponsor-An-Iftar’ oleh IM Volunteers Network SG. - Foto IM VOLUNTEERS NETWORK SG

Prihatin terhadap warga emas yang tinggal sendirian, sekumpulan belia memulakan daya usaha menganjurkan jamuan berbuka puasa bagi mendekati penduduk di Marsiling.

Acara ‘Sponsor-An-Iftar’ oleh IM Volunteers Network SG (IMVNSG) di Marsiling pada 21 Februari menghimpunkan lebih 100 penerima bantuan daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak, keluarga dan warga emas.

Majlis berbuka puasa di Blok 3, Marsiling Drive, itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Program anjuran IM Volunteers Network SG itu dipimpin pengerusinya, Cik Atiqah Kamisan, 23 tahun, yang juga pelajar tahun kedua Sastera Inggeris di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau telah menjadi sukarelawan sejak 2020 dan menyaksikan sendiri perubahan pendekatan program tersebut.

“Dulu kami berikan makanan dalam bentuk ‘bento’ (bungkusan) dan ia sangat cepat berlalu.

“Kami hanya serahkan dan bergerak ke penerima seterusnya. Tetapi kami rasa kurang interaksi,” dedahnya.

Menurut beliau, pendekatan itu diubah kepada jamuan bufet secara bersama bagi mewujudkan hubungan lebih erat.

“Sejak tahun lepas (2025) dan tahun ini, kami adakan bufet dan makan beramai-ramai supaya ia lebih bermakna. Sekarang kami boleh duduk dan berbuka puasa bersama mereka,” katanya.

Cik Atiqah menambah, isu penduduk kian menua semakin ketara, khususnya di kawasan seperti Marsiling.

“Kita dapat lihat ramai warga emas tinggal seorang diri sebab anak-anak sudah berkeluarga. Jadi penting untuk kita kenal mereka dan bina hubungan,” ujarnya.

“Mereka perlukan komunikasi. Bukan sebab sunyi semata-mata, tetapi untuk kesihatan mereka.

“Interaksi dengan orang lain boleh meningkatkan kesejahteraan emosi dan juga kognitif mereka,” tambah beliau.

Majlis tersebut turut menggalakkan semangat kampung dengan menggalakkan penduduk berkumpul di bawah satu blok untuk berbuka puasa.

“Sekarang kita tinggal di flat HDB dengan ramai lebih selesa dengan privasi masing-masing.

“Sebagai belia, saya rasa kita terlepas banyak aspek kejiranan itu. Program ini cuba hidupkan semula semangat saling mengenali dan membantu,” katanya.

‘Sponsor-An-Iftar’ merupakan kerjasama enam pihak melibatkan belia, pertubuhan akar umbi, Kelab Masyarakat, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Jawatankuasa Penduduk, IMVNSG serta rakan korporat.

Keseluruhan program itu dirancang dan dilaksanakan sepenuhnya oleh belia IMVNSG demi menggalakkan generasi muda mengukuhkan kesejahteraan masyarakat di Singapura.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg