Umrah Ramadan kian diminati golongan muda, GSA perkenal pakej lebih fleksibel
Umrah Ramadan kian diminati golongan muda, GSA perkenal pakej lebih fleksibel
Terdapat peningkatan hingga 30% jemaah muda berbanding 2025
Lebih ramai golongan muda dijangka menunaikan umrah pada Ramadan ini, didorong oleh peningkatan kesedaran agama serta akses yang lebih mudah kepada maklumat mengenai umrah melalui media sosial, kata beberapa ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) di Singapura.
Beberapa ejen pelancongan yang ditemu bual berkata jumlah jemaah muda dalam kategori ini telah meningkat sehingga 30 peratus berbanding Ramadan 2025.
Sesuai dengan trend peningkatan golongan muda ini, beberapa GSA telah mengorak langkah memperkenalkan inisiatif baru bagi memenuhi keperluan mereka.
Ini termasuk mengendalikan kursus manasik umrah dalam bahasa Inggeris serta menawarkan pakej umrah separuh DIY (lakukan secara sendiri).
Antara GSA yang melihat terdapat peningkatan besar ialah Shahidah Travel & Tours.
GSA itu mendapati peningkatan sebanyak 30 peratus anak muda yang memilih ke umrah ketika Ramadan dengan sebahagian besar mengambil pakej yang lebih berpatutan iaitu separuh DIY.
Pengarah urusan syarikat, Encik Ayoob Angullia, berkongsi pihaknya menyediakan tiga pakej berbeza – mewah, biasa dan separuh DIY yang berharga serendah $1,999.
“Kita perlu mengambil kira peruntukan wang yang berbeza memandangkan jumlah pengunjung yang ramai, serta menjadi lebih fleksibel agar mereka boleh pergi umrah,” katanya.
Menurut Encik Ayoob, pakej separuh DIY itu merangkumi khidmat asas bagi jemaah umrah iaitu hotel, tiket penerbangan dan insurans kesihatan.
“Ramai jemaah yang tidak begitu serasi dengan situasi dan pemakanan di sana maka mereka mudah jatuh sakit.
“Dengan adanya insurans itu, pasukan kami yang berada di sana boleh bantu jika mereka perlu dimasukkan ke hospital,” tambah Encik Ayoob.
Beliau turut berkongsi antara sebab terdapat peningkatan jemaah pada Ramadan 2026 ialah kerana kali ini, ia lebih dekat dengan cuti Tahun Baru Cina dan suhu di Makkah dan Madinah juga tidak begitu panas.
Namun, bagi Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, beliau tidak melihat peningkatan jemaah umrah muda yang begitu ketara dengan menyifatkannya “sangat kecil” berbanding 2020.
Tidak dinafikan bahawa terdapat kemungkinan lebih ramai anak muda akan ke umrah ketika Ramadan, dalam masa lima tahun akan datang, namun Encik Haffidz menjelaskan bahawa harga penginapan yang lebih mahal khususnya pada bulan suci itu dianggap agak berat bagi mereka.
Menurutnya, harga bilik hotel yang berhadapan Masjidil Haram bagi satu malam di 10 malam terakhir Ramadan sahaja boleh mencecah sehingga $2,000 manakala hari biasa tidak sampai $1,000.
“Tempoh paling sibuk di Makkah ialah pada 10 hari terakhir Ramadan serta 10 hari sebelum wukuf, iaitu menjelang musim haji.
“Namun, bagi mereka yang benar-benar ingin rasa suasana Ramadan di tanah suci, mereka sebenarnya sanggup bayar,” kata beliau.
Encik Haffidz menjelaskan, disebabkan lebih ramai yang memaparkan perjalanan umrah mereka di media sosial serta peningkatan pengetahuan agama dalam masyarakat, anak muda semakin tertarik untuk melakukan ibadah itu ketika Ramadan.
“Anak muda mungkin kini fikir ‘okey saya sudah pergi umrah bulan biasa, mari cuba sesuatu berbeza ketika Ramadan’.
“Ini kerana minat terhadap agama dalam kalangan anak muda di Singapura juga semakin meningkat,” tambah beliau.
Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, turut akur dengan hal itu dan berkata syarikatnya telah mengorak langkah melaksanakan kursus manasik umrah dalam bahasa Inggeris pada 2025.
Beliau mendapati demografik yang menghadiri kursus itu hampir seimbang antara yang berusia dengan yang muda – seawal pelajar politeknik atau yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’.
“Dahulu, mungkin terdapat naratif bahawa pak cik dan mak cik sahaja yang pergi umrah, anak muda tidak perlu kerana belum bersedia dan sebagainya.
“Namun, saya bersyukur kerana kesedaran mengenai agama sudah ada dan anak muda hari ini, mereka hanya tunggu masa untuk pergi umrah.
“Apabila kami adakan kursus umrah dalam bahasa Inggeris, kami tidak lagi lihat demografik yang dikuasai warga emas, tetapi sudah seimbang sehingga 50-50,” katanya yang berhasrat untuk meneruskan usaha itu pada 2026.
Bagi Noor Mohamad Services & Travel, mereka melihat terdapat peningkatan sebanyak 5 hingga 7 peratus pada jemaah umrah Ramadan secara umumnya berbanding 2025, sehingga terpaksa tolak permintaan jemaah kerana sudah penuh.
Ustazah Juyda menambah, pemikiran masyarakat Islam Singapura secara umumnya kini tertumpu kepada beribadah di 10 malam terakhir, tidak kira di sini atau semasa umrah.
“Landskap Ramadan di Singapura kalau kita lihat di 10 malam terakhir, masya-Allah masjid semakin ramai.
“Suasana umrah ketika Ramadan betul-betul menghidupkan jemaah, hidup bukan pada hal duniawi, tetapi mengejar akhirat.
“Ini pada saya membuat orang sentiasa kembali menunaikan umrah ketika Ramadan,” katanya.
Bagi salah seorang jemaah yang pernah menunaikan umrah pada Ramadan 2023 dan 2024, Cik Nisa Ali, 37 tahun, pengalaman beribadah pada tempoh itu merupakan sesuatu yang sering ‘memanggil hatinya’ – satu rasa yang sukar diperoleh ketika menyambut Ramadan di sini.
“Anda perlu alami sendiri 10 malam terakhir di Mekah dan Madinah. Memang sangat berbeza daripada Singapura.
“Anda dapat rasakan kehadiran itu dengan kerohanian seolah-olah dicas semula,” katanya kepada BH.
Walaupun jemaah ketika musim Ramadan lebih ramai, ia tetap mengajarnya tentang aspek kesabaran dan toleransi, serta ketenangan.
“Di Singapura, kita mudah cepat marah atau short-fused tetapi di sana, kita belajar untuk mengawal emosi dan menahan marah.
“SItuasi ketika Ramadan di sana sebenarnya tidaklah seram seperti yang disangka orang, malah, saya menggalakkan orang ramai untuk pergi dan rasainya sendiri,” tambah Cik Nisa.

