Dengan pembukaan kafe baru yang moden di Kampong Gelam, serta perubahan selera tekak pelanggan, Rumah Makan Minang, berharap ia masih dapat mengekalkan perniagaan warisannya dan kekal relevan pada generasi akan datang.
Dalam perkongsian bersama Berita Harian (BH) pada 19 Mac, pengarah urusan dan pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, 42 tahun, berkata perniagaan warisan seperti Rumah Makan Minang, yang mulanya ditubuhkan pada 1954, menghadapi cabaran untuk bersaing dengan perniagaan baru.
Lantaran itu, beliau berharap agar perniagaan warisan seperti ini akan dapat meraih manfaat daripada Skim Perniagaan Warisan SG, yang boleh membantu dalam meningkatkan kesedaran jenama, serta menyokong perniagaan dengan menyediakan khidmat rundingan khusus yang disesuaikan dengan keperluan restorannya.
“Sekarang anak-anak muda lebih minat dengan tawaran menu ‘hipster’ dan ‘viral’ (tular) meskipun adakalanya ia tidak berpatutan dan saiz hidangannya tidak mengenyangkan.
“Ada segelintir yang tidak gemar atau tidak tahu pun tentang nasi padang dan lauk-pauk tradisional.
“Ada pula yang membeli makanan yang nampaknya seperti ‘nasi padang’ di kedai kopi atau pusat penjaja dan memesan lauk seperti hot dog (sosej) dan ‘fishcake’ (kek ikan) tetapi apabila mereka mengunjungi Rumah Makan Minang, mereka tidak dapat lauk yang sama.
“Saya rasa kami perlu tingkatkan kesedaran terhadap jenis-jenis makanan tradisional dan lindungi nilainya agar ia kekal relevan,” kata Encik Hazmi, Old Chang Kee Coffee House, Mackenzie Road.
Rumah Makan Minang merupakan antara contoh perniagaan warisan yang memenuhi keperluan untuk pencalonan bagi Skim Perniagaan Warisan SG, yang diperkenalkan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Skim itu dikongsi buat kali pertama oleh Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, di Parlimen pada 10 Mac, dan bertujuan mengiktiraf, memacu kesedaran dan mencetuskan inspirasi untuk memberi penghargaan lebih besar bagi perniagaan warisan tempatan.
Lantas, Encik Hazmi menambah bahawa dengan sokongan dan pengiktirafan NHB, skim itu akan dapat mengurangkan keresahan usahawan perniagaan warisan menerusi bantuan dari segi pemasaran dan perundingan.
Beliau berkongsi bahawa jenama Rumah Makan Minang dikenali dalam kalangan generasi tua tetapi menghadapi kesukaran untuk mendekati golongan muda.
“Sudah 25 tahun saya terlibat dalam perniagaan keluarga saya ini. Saya membesar bersama dengan pelanggan setia saya.
“Pada awalnya, saya tidak nampak keperluan untuk memasarkan jenama saya dengan menggunakan wadah seperti media sosial kerana pelanggan saya sudah pun mengenali kami.
“Namun, saya telah dinasihati anggota keluarga saya yang lain agar meneroka cara mempromosikan Rumah Makan Minang supaya kami dapat tarik pelanggan baru,” ujar Encik Hazmi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg