Topik diikuti
Pergi ke BHkuSatu matlamat dorong BH, Singa Legends ganding bahu bantu masyarakat
Sempena sambutan tujuh dekad Berita Harian (BH70), kanak-kanak berbeza latar belakang berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada barisan legenda bola sepak Singapura daripada Singa Legends. Kem selama dua hari – 24 dan 25 November – di Our Tampines Hub itu sekali gus memberikan peserta wadah untuk belajar daripada bekas pemain sambil beramal demi pelajar memerlukan melalui Dermasiswa BH-AMP.
Satu matlamat dorong BH, Singa Legends ganding bahu bantu masyarakat
Visi serta matlamat yang sehaluan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat mendorong Berita Harian (BH) dan Singa Legends berganding bahu menganjurkan Kem Bola Sepak BH-Singa Legends, kata Pengerusi Singa Legends, Encik Farehan Hussein.
Menurutnya, bola sepak seharusnya menjadi jambatan yang membuka ruang buat semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, selain mendedahkan generasi muda kepada barisan legenda tanah air yang pernah berjuang mengharumkan nama negara.
Lantas, penyertaan 140 peserta dalam kem itu – dengan hampir 50 peratus daripadanya terdiri daripada penerima manfaat badan amal seperti Jamiyah, Pertapis, Darul Ihsan serta Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East – memberi kesempatan bermakna buat mereka beraksi dan mengasah bakat di padang.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran kem dua hari itu di Our Tampines Hub (OTH) pada 24 November, yang menyaksikan keseluruhan hasil kutipannya disalurkan kepada Dermasiswa BH-AMP untuk membantu pelajar kurang berkemampuan dalam bidang media, komunikasi dan pengajian Melayu.
“Anak anda semua mempunyai impian. Anda semua juga mempunyai impian.
“Maka, amat penting untuk kita membuka ruang dan peluang melalui sukan buat anda semua.
“Bola sepak seharusnya membuka pintu peluang buat anda semua.
“Bola sepak adalah permainan yang ringkas dan seharusnya kekal ringkas, dan setiap daripada kita mempunyai perjalanan tersendiri untuk dikongsikan,” katanya.
Ditubuhkan pada 2024 sebagai pertubuhan tidak mencari untung yang menghimpunkan bekas pemain kebangsaan bagi perlawanan amal serta klinik sukan, Singa Legends menggalas dua matlamat utama.
Ia adalah untuk terus berbakti kepada masyarakat dan memastikan generasi muda mengenali serta menghargai jasa legenda bola sepak negara, kata Encik Farehan.
Menyusuli kejayaan kem sulung mereka di Sekolah Rendah Sembawang pada September lalu yang menarik 70 penyertaan dalam masa tiga jam, Encik Farehan tidak teragak-agak mendekati BH bagi memperluaskan inisiatif tersebut.
“Saya bertanyakan kepada BH, apa kata kita bekerjasama untuk Kem Bola Sepak Singa Legends 2 akan datang, sambil menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kebajikan?
“Jawapannya terus ‘ya’, kerana kami berkongsi visi serta matlamat yang sehaluan buat masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Encik Farehan turut menegaskan bahawa kem tersebut menjadi wadah penting untuk mendekatkan golongan cilik dengan wira negara.
“Amat penting untuk anda mengenali siapa legenda ini kerana mereka tinggal di kejiranan sama dengan anda, mungkin menaiki bas sama atau makan di kedai kopi sama dengan anda.
“Namun, merekalah yang pernah berjuang di atas padang demi anda semua. Merekalah wira sebenar anda, Singa Legends sebenar yang wajar anda jadikan idola,” katanya.