Keperluan bagi kepimpinan pemikir agama yang mengikut konteks, seimbang dan progresif semakin penting hari ini.
Ini lebih-lebih lagi dalam dunia yang bergelora dan penuh dengan cabaran, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Justeru, asatizah memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kepada masyarakat Islam dalam mengharungi cabaran yang dihadapi.
Bahkan, kemajuan pesat teknologi, norma sosial yang berubah dan kesalinghubungan sejagat mewujudkan masalah semakin rumit yang memerlukan pendekatan baru kepada bimbingan dan pendidikan agama.
“Justeru, kita perlu membangunkan asatizah masa depan atau lulusan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) kita sebagai cendekiawan agama dan karyawan yang berteraskan konteks berbilang kaum, agama Singapura – yang memahami kedua-dua prinsip agama mereka dan fabrik unik masyarakat kita.
“(Kita perlu membangunkan asatizah masa depan atau lulusan SCIS kita sebagai) pemimpin pemikir yang boleh menjelaskan dan membimbing amalan Islam dalam masyarakat moden, majmuk – yang menyatukan ilmiah agama yang baik dengan keperluan kontemporari,” kata beliau.
Dr Faishal berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat sulung Panel Penasihat SCIS pada 24 Jun di hotel Swissotel The Stamford.
Beliau juga pengerusi panel tersebut, mengambil alih Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Panel penasihat itu, yang anggotanya terdiri daripada ahli akademik dan pakar mapan dari dalam dan luar negara, akan memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program selain mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan oleh barisan pemimpin agama masa hadapan.
Dr Faishal berkata pembangunan SCIS merupakan aspirasi lama masyarakat Islam Singapura dan merupakan detik penting dalam landskap pengajian Islam setempat, dengan kolej itu mewakili apa yang disebutkan sebagai “DNA Singapura” – iaitu pendekatan yang secara harmoni menggabungkan ilmiah agama dengan kebijaksanaan praktikal.
Beliau menambah bahawa kejayaan SCIS bukan hanya akan diukur oleh institusi yang dibina, malah juga impak oleh lulusannya ke atas masyarakat “sebagai cendekiawan agama yang memahami kedua-dua agama mereka dan konteksnya, sebagai pemimpin pemikir yang boleh membimbing masyarakat kita mengharungi waktu mencabar, dan sebagai pembina jambatan yang boleh memupuk persefahaman rentas masyarakat”.
Sementara itu, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam penyampaiannya semasa mesyuarat itu berkata walaupun terdapat persamaan dan kesalinghubungan dalam kalangan masyarakat Islam yang berbeza sedunia, ada tradisi dan pengalaman yang unik kepada masyarakat Islam di Singapura.
Keunikan tradisi dan pengalaman di Singapura itu memerlukan “perhatian serius”, sambil menambah bahawa SCIS bertujuan menangani cabaran unik tersebut demi memastikan kemampanan kepimpinan agama di Singapura.
“Dalam syariah, kita mempunyai konsep ‘urf (adat atau budaya), yang merupakan ciri teras dalam amalan Islam sebagai agama dan cara hidup.
“Namun, jika keunikan ini tidak ditangani dengan teliti dalam cara Islam dipelajari dan diajar, atau jika ia tidak diberi perhatian mencukupi dari segi cara menangani cabaran unik yang dibawanya, ia akhirnya akan menjadi cabaran besar dalam hal kepimpinan agama untuk masyarakat,” kata beliau.
Turut berkongsi pandangan mereka tentang kepentingan pembangunan SCIS ialah dua anggota Panel Penasihat kolej itu – Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad, dan Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), Profesor Koutoub Moustapha Sano.
Dr Nazir berkata kerjasama SCIS dengan institusi antarabangsa akan membolehkan kolej tersebut bukan hanya “meraih manfaat daripada realiti di Singapura dan sains moden dan baru, bahkan pada masa yang sama, sejarah lama dan kaya institusi antarabangsa, yang akan banyak membantu bagi institusi baru di Singapura itu”.
Dr Sano pula berkata bidang tumpuan SCIS adalah praktikal, pragmatik serta kontemporari, dengan kolej itu akan menghasilkan lulusan yang peka bukan hanya tentang realiti masyarakat Islam di dunia Barat dan Timur Tengah, malah di Singapura juga.
“Kolej Islam di Singapura ini adalah berlandaskan konteks kehidupan di negara ini, mengambil kira peluang dan pembangunan tempatan. Ini adalah bidang yang sangat penting,” kata beliau.
“
“... Kita perlu membangunkan asatizah masa depan atau lulusan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) kita sebagai cendekiawan agama dan karyawan yang berteraskan konteks berbilang kaum, agama Singapura – yang memahami kedua-dua prinsip agama mereka dan fabrik unik masyarakat kita.”“
“... Jika keunikan ini tidak ditangani dengan teliti dalam cara Islam dipelajari dan diajar, atau jika ia tidak diberi perhatian mencukupi dari segi cara menangani cabaran unik yang dibawanya, ia akhirnya akan menjadi cabaran besar dalam hal kepimpinan agama untuk masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg