Minat Cik Fitrah Aleya Norisam dalam kerja amal mula berputik sekitar antara 2021 dengan 2022.

Ketika itu, beliau bersama rakan-rakannya secara suka-suka mengumpul sedikit dana untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan minyak, sebelum diagihkan kepada penduduk rumah sewa yang memerlukan.

Namun, di sebalik sumbangan tersebut, Cik Fitrah, 23 tahun, memperoleh sesuatu yang jauh lebih bermakna – iaitu kepuasan dan rasa hargai – sekali gus menyemarakkan dirinya untuk terus membantu.

Lantas, penganjuran Projek Amal Pengedaran Makanan dan Pertandingan Sepak Takraw pada 26 Julai menjadi medan sempurna buat beliau menyatukan hasrat murni itu dengan sukan yang menjadi ‘cinta hati’- nya itu.

Guru pusat jagaan pelajar di sebuah sekolah rendah tempatan itu merupakan antara 80 pemain daripada pelbagai latar belakang yang menyertai pertandingan tersebut.

Projek amal itu dianjurkan WKHZ Transport, dengan kerjasama Persatuan Muhammadiyah serta kumpulan penunggang motosikal Kerengga dan SG Marshal.

Daripada keseluruhan $3,000 hasil kutipan yuran pendaftaran kejohanan, sebahagian daripadanya digunakan untuk menyediakan habuan makanan asas kepada 60 isi rumah penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah di utara Singapura.

Manakala $1,200 lagi disumbangkan kepada persatuan tersebut bagi menyokong kerja kebajikan mereka.

Pertandingan Sepak Takraw itu diadakan di Blok 139 Yishun Ring Road disusuli segmen Charity Roll-Out, di mana sukarelawan dan penunggang motosikal mengagihkan habuan makanan asas kepada beberapa kawasan.

Antaranya, Woodlands, ⁠Yishun, ⁠Sembawang, ⁠Marsiling, ⁠Admiralty, dan ⁠Canberra.

Pengagihan itu bertujuan untuk meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan individu yang memerlukan sokongan tambahan, sambil beriadah.

Daripada keseluruhan $3,000 hasil kutipan yuran pendaftaran kejohanan, sebahagian daripadanya digunakan untuk menyediakan habuan makanan asas kepada 60 isi rumah penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah di utara Singapura. Manakala $1,200 lagi disumbangkan kepada persatuan tersebut bagi menyokong kerja kebajikan mereka.
Daripada keseluruhan $3,000 hasil kutipan yuran pendaftaran kejohanan, sebahagian daripadanya digunakan untuk menyediakan habuan makanan asas kepada 60 isi rumah penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah di utara Singapura. Manakala $1,200 lagi disumbangkan kepada persatuan tersebut bagi menyokong kerja kebajikan mereka. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang turut melancarkan pembahagian itu.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Dr Syed Harun, berkata bahawa ia merupakan satu inisiatif yang amat bermakna kerana ia menggabungkan usaha pelbagai organisasi untuk amal.

“Terdapat sukan yang digemari ramai anak muda kita iaitu sepak takraw di mana untuk wang penyertaan digunakan untuk beli barangan rumah bagi mereka yang memerlukan.

“Atas gabungan ini, kita dapat bersatu padu sebagai satu masyarakat berganding bahu demi membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (kiri) melakukan tendangan ringan bersama peserta Pertandingan Sepak Takraw Amal pada 26 Julai.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (kiri) melakukan tendangan ringan bersama peserta Pertandingan Sepak Takraw Amal pada 26 Julai. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Pemilik WKHZ Transport, Encik Mohd Zulkifli Nasir, pula berkata bahawa mereka berjaya mengumpulkan $3,000 daripada pertandingan itu.

Beliau berkata bahawa ia digunakan untuk membeli 18 barangan makanan asas seperti sardin, makanan ringan, tin susu pekat, biskut, sos ketsup, sos cili, sos tomato, kopi, dan teh, antara lain.

“Sebanyak $1,200 (daripada keseluruhan wang terkumpul) pula didermakan kepada Persatuan Muhammadiyah bagi kerja kebajikan mereka yang lain,” katanya.

Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, pula menambah, badan tersebut berbesar hati dapat berkolaborasi dengan pelbagai badan di sini untuk tujuan amal dalam bentuk bersukan.

Beliau juga berkata, Persatuan Muhammadiyah, akan melihat untuk meneruskan usaha dan kolaborasi sedemikian agar bantuan dapat menjangkau di luar kawasan utara Singapura.

Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman (dua dari kanan) berkata bahawa badan tersebut juga melihat untuk menjangkau bantuan di luar kawasan utara Singapura.
Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman (dua dari kanan) berkata bahawa badan tersebut juga melihat untuk menjangkau bantuan di luar kawasan utara Singapura. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Bagi, Cik Fitrah, sejurus selepas mengetahui mengenai acara tersebut, beliau tidak teragak-agak untuk menyumbang kembali menerusi sukan kegemarannya itu.

“Saya gembira dapat keluarkan wang untuk amal dan menggunakan wang tersebut bagi memberi habuan makanan asas untuk 60 isi rumah.

“Pada masa yang sama, kita juga dapat buat kebaikan sambil berseronok,” katanya, yang telah bermain sepak takraw sejak 2018.

Beraksi bersama pasukan Mana-Mana Takraw, Cik Fitrah merupakan satu-satunya wanita yang menyertai pertandingan terbuka itu.

Saiz fizikalnya yang kecil berbanding kesemua lawan lelaki langsung tidak mematahkan semangatnya. Ia dijadikan peluang terbaik untuknya menguji keupayaan diri.

“Ini merupakan satu pengalaman yang baik, biasanya kita main kejohanan dengan perempuan tapi ini pengalaman pertama menentang lelaki.

“Ia lagi mencabar... terutama sekali apabila mereka yang bertanding datang daripada kelab yang berbeza,” katanya, yang juga beraksi bersama kelab sepak takraw wanita tempatan, Kembangan-Chai Chee.

Cik Fitrah Aleya Norisam sudah bermain sepak takraw sejak 2018.
Cik Fitrah Aleya Norisam sudah bermain sepak takraw sejak 2018. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Bagi pemilik kelab Yishun ST pula, Encik Karteek, 28 tahun, beliau melihat pertandingan tersebut sebagai wadah bagi pemainnya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Terutama sekali apabila ada di antara mereka yang juga datang daripada latar belakang yang memerlukan.

“Apabila kami pergi makan lepas latihan, ada di antara pemain saya yang tidak ada duit.

“Kami perlu keluarkan duit sedikit untuk mereka.

“Jadi dengan adanya pertandingan ini, mereka berpeluang beri kembali kepada mereka yang memerlukan,” kongsinya.

Pemilik kelab Yishun ST, Encik Karteek (diri, dua dari kiri) bersama pasukannya di Projek Amal Pengedaran Makanan dan Pertandingan Sepak Takraw pada 26 Julai.
Pemilik kelab Yishun ST, Encik Karteek (diri, dua dari kiri) bersama pasukannya di Projek Amal Pengedaran Makanan dan Pertandingan Sepak Takraw pada 26 Julai. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL