Menterjemah peluasan M³+ pada kemajuan nyata, bermakna bagi masyarakat
Menterjemah peluasan M³+ pada kemajuan nyata, bermakna bagi masyarakat
Risiko perlu dielak: M³+ jadi platform simbolik – di mana penyertaan wujud, tapi penglibatan sebenar dalam bentuk dasar, rancang program dan pengagihan sumber terhad
Menterjemah peluasan M³+ pada kemajuan nyata, bermakna bagi masyarakat
Langkah memperluaskan rangkaian M Kuasa Tiga (M³) kepada apa yang kini dilihat sebagai M³+ sememangnya satu perkembangan yang dialu-alukan.
Ia mencerminkan pemahaman yang semakin matang terhadap landskap masyarakat Melayu/Islam di Singapura – bahawa kekuatan masyarakat hari ini tidak lagi hanya terletak pada institusi tradisional, tetapi juga pada rangkaian lebih luas yang merangkumi pertubuhan baru dan di luar ruang lingkup institusi tradisional, inisiatif akar umbi serta kelompok profesional dan belia.
Sejak diperkenalkan pada 2018, kerjasama antara Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), melalui M³ telah membawa hasil yang memberangsangkan.
Pelbagai usaha dalam bidang pendidikan, sokongan keluarga dan pembangunan sosial telah diperkukuh, termasuk pendekatan M³@Bandar yang mendekatkan khidmat kepada penduduk setempat.
Namun, seperti yang diakui para pemimpin, masyarakat terus berubah – dan pendekatan kita juga perlu berkembang seiring.
Dalam konteks ini, peluasan kepada M³+ menandakan satu anjakan strategik yang penting.
Ia bukan sekadar menambah bilangan rakan kerjasama, tetapi mengiktiraf bahawa kekuatan kolektif masyarakat kini lebih tersebar.
Banyak pertubuhan baru muncul dengan pendekatan lebih tangkas, memberi tumpuan kepada isu-isu semasa seperti kesihatan mental belia, ekonomi gig dan literasi digital.
Peluasan ini membuka peluang untuk menyatukan kekuatan tersebut di bawah satu payung yang lebih tersusun.
Namun, di sinilah juga terletaknya cabaran utama.
M³+ tidak harus menjadi sekadar satu usaha “merangkumkan” lebih banyak organisasi agar mereka berasa diwakili.
Risiko yang perlu dielakkan ialah ia berubah menjadi platform simbolik – di mana penyertaan wujud, tetapi penglibatan sebenar dalam membentuk dasar, merancang program dan mengagihkan sumber masih terhad.
Dalam erti kata lain, keterangkuman semata-mata tidak menjamin keberkesanan.
Dalam laporan akhbar ini (Badan Melayu/Islam rancang perluas khidmat guna jangkauan M³+, 23 Mac), badan-badan Melayu/Islam bukan hanya mengalu-alukan peluasan tersebut.
Bahkan, sebahagian telah pun menyusun langkah dan membuat perancangan untuk menyumbang kepada peluasan inisiatif tersebut.
Antaranya ialah PPIS yang menyatakan hasrat mereka kepada BH untuk bekerjasama dengan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan rakan sektor di bawah M³+ untuk menyampaikan latihan berstruktur mengenai bantuan awal dan laluan rujukan.
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, berkata ini diharap dapat menyelaras usaha pekerja kes, asatizah dan sukarelawan, serta memastikan keluarga menerima sokongan yang konsisten dan tepat pada masanya.
Sehubungan dengan itu, untuk memastikan M³+ benar-benar membawa perubahan, sekurang-kurangnya tiga peralihan penting perlu diberi perhatian.
Cipta Bersama
Pertama, daripada penyelarasan kepada penciptaan bersama.
Jika sebelum ini M³ lebih banyak menumpukan kepada penyelarasan antara agensi utama, M³+ perlu melangkah lebih jauh dengan membolehkan penciptaan bersama atau co-creation antara institusi tradisional serta pertubuhan mapan di luar ruang lingkup institusi tradisional itu dan juga badan-badan baru.
Ini bermakna berkongsi pemilikan idea dan pelaksanaan, bukan sekadar menjemput penyertaan.
Pertubuhan masyarakat perlu diberi ruang untuk sama-sama membentuk program, bukan hanya melaksanakannya.
Menjurus kepada hasil
Kedua, daripada program kepada hasil.
Kejayaan M³+ tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah inisiatif atau kerjasama yang diwujudkan, tetapi pada kesan nyata terhadap kehidupan masyarakat – sama ada dalam pencapaian pendidikan, daya tahan pekerjaan, kestabilan keluarga atau mobiliti sosial.
Ini memerlukan penekanan lebih besar kepada pengukuran impak, penggunaan data dan penilaian jangka panjang.
Meluas rangkaian kepercayaan
Ketiga, daripada kepercayaan institusi kepada kepercayaan rangkaian.
Selama ini, kepercayaan masyarakat banyak bertumpu kepada institusi utama.
Walaupun ini kekal penting, M³+ perlu memperluaskan kepercayaan itu kepada rangkaian yang lebih luas – merangkumi pertubuhan kecil, sukarelawan dan inisiatif akar umbi. Ini menuntut keterbukaan, ketelusan dan kesediaan untuk berkongsi kepimpinan.
Dalam masa yang sama, peluasan ini juga perlu diurus dengan teliti bagi mengelakkan pertindihan usaha dan pembaziran sumber.
Tanpa kejelasan peranan dan struktur tadbir urus yang mantap, terdapat risiko program yang serupa dilaksanakan secara berasingan, sekali gus mengurangkan keberkesanan keseluruhan.
Usaha membangunkan direktori khidmat, misalnya, merupakan langkah positif untuk mengenal pasti jurang dan peluang sinergi.
Hakikatnya, kejayaan M³+ akan bergantung kepada sejauh mana ia mampu beralih daripada sekadar platform keterangkuman kepada platform integrasi.
Ini bermakna setiap pertubuhan yang terlibat perlu mempunyai peranan yang jelas, sumbangan yang bermakna dan impak yang boleh diukur.
Ia juga memerlukan keberanian untuk membuat keputusan sukar – memperkukuh apa yang berkesan, memperluas inisiatif yang memberi hasil, dan menilai semula pendekatan yang kurang memberi impak.
Visi yang ingin dicapai tetap jelas: sebuah masyarakat Melayu/Islam yang berdaya tahan dan mampu maju dalam setiap peringkat kehidupan.
Namun, untuk merealisasikannya, niat yang baik sahaja tidak mencukupi. Ia menuntut pelaksanaan yang berdisiplin dan tumpuan yang konsisten terhadap hasil.
Peluasan M³ adalah langkah ke hadapan yang penting.
Tugas seterusnya ialah memastikan M³+ bukan sekadar menghimpunkan lebih banyak suara – tetapi benar-benar menterjemahkan suara-suara itu kepada kemajuan yang nyata dan bermakna bagi masyarakat.
“
“Peluasan kepada M³+ menandakan satu anjakan strategik yang penting. Ia bukan sekadar menambah bilangan rakan kerjasama, tetapi mengiktiraf bahawa kekuatan kolektif masyarakat kini lebih tersebar. Banyak pertubuhan baru muncul dengan pendekatan lebih tangkas, memberi tumpuan kepada isu-isu semasa seperti kesihatan mental belia, ekonomi gig dan literasi digital. Peluasan ini membuka peluang untuk menyatukan kekuatan tersebut di bawah satu payung yang lebih tersusun.”“
“Hakikatnya, kejayaan M³+ akan bergantung kepada sejauh mana ia mampu beralih daripada sekadar platform keterangkuman kepada platform integrasi. Ini bermakna setiap pertubuhan yang terlibat perlu mempunyai peranan yang jelas, sumbangan yang bermakna dan impak yang boleh diukur. Ia juga memerlukan keberanian untuk membuat keputusan sukar – memperkukuh apa yang berkesan, memperluas inisiatif yang memberi hasil, dan menilai semula pendekatan yang kurang memberi impak.”
