Sekitar 400 ekor haiwan korban daripada syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd, mungkin tiba lewat bagi ibadah korban secara langsung di sini, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Menurut Muis, kelewatan tersebut dijangka menjejaskan empat buah masjid iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.

Kesemua masjid itu menyediakan tempat bagi ibadah korban di sini.

Walau demikian, Muis berkongsi bahawa baki perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja akan diteruskan seperti yang dirancang pada Hari Raya Aidiladha.

Korban di ketiga-tiga masjid itu dikendalikan oleh satu lagi syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Farm.

Menjelaskan hal itu di Facebook pada 21 Mei, Muis berkata:

“Setakat 21 Mei 2026, permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) Australia bagi salah satu pengendali korban tempatan yang berlesen, The Meat Brothers, masih lagi tertangguh,” kata Muis.

Mereka menambah, The Meat Brothers akan menghubungi Sohibul Korban yang terjejas, sementara Muis akan bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut untuk menyediakan langkah sokongan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas.

“Kami memahami betapa besarnya makna ibadah korban ini, dan kami faham bahawa insiden ini mungkin menimbulkan kegelisahan dalam kalangan Sohibul Korban yang telah membuat persiapan tempatan mereka melalui The Meat Brothers untuk menunaikan korban pada Hari Raya Aidiladha,” kongsi Muis.

Berita Harian (BH) telah cuba menghubungi The Meat Brothers untuk keterangan lanjut.