Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekolah memandu berbilang tingkat kedua diusul di CCK

May 7, 2025 | 2:17 PM
BBDC, Bukit Batok Driving Centre
Pusat memandu baru di Choa Chu Kang akan menggantikan Pusat Memandu Bukit Batok (BBDC) yang sedia ada (seperti dalam gambar), dengan BBDC memberi laluan kepada projek pembangunan perumahan. - Foto ST

Sebuah sekolah memandu berbilang tingkat yang baru akan dibina di Choa Chu Kang Way jika usulan untuk mengubah penggunaan tapak berhampiran Kem Kranji III diluluskan.

Disifatkan sebagai ‘pusat memandu generasi seterusnya’, ia akan menggantikan Pusat Memandu Bukit Batok (BBDC) sedia ada, yang dijangka memberi laluan kepada projek perumahan baru, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 5 Mei.

Polis Trafik bertanggungjawab bagi pelesenan dan mengawal selia sekolah memandu di sini.

Jika rancangan bagi tapak tersebut – yang terletak di seberang terusan dari estet perindustrian Sungei Kadut – diluluskan, ini akan menjadi sekolah memandu berbilang tingkat kedua di Singapura, selepas Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC) di Woodlands merasmikan sekolah memandu berbilang tingkat pertama di Woodlands pada 2010, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan dalam notis yang disiarkan pada 4 April bahawa mereka telah mencadangkan kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, agar tapak simpanan di Choa Chu Kang diubah bagi kemudahan pengangkutan.

SPF berkata butiran lanjut tentang pusat memandu baru itu akan dikongsi kelak.

BBDC, yang terletak di kawasan seluas 30,000 meter persegi di Bukit Batok West Avenue 5, dibuka pada 1990. Ia menganjurkan pelbagai kursus dan mempunyai lebih 20,000 pelajar setahun.

Sementara tapak BBDC telah diusulkan perubahan penggunaannya bagi tapak perumahan, pajakan pusat memandu tersebut telah dilanjutkan beberapa kali selepas ia tamat pada 2018 – paling terkini sehingga 31 Disember 2028.

Bagaimanapun, belum ada maklumat mengenai bila kawasan yang menempatkan BBDC itu akan dibangunkan semula, namun terdapat petunjuk bahawa ia mungkin berlaku pada sekitar 2030-an.

Satu petunjuk ialah Kelab Riadah HometeamNS di Bukit Batok, yang terletak bersebelahan BBDC, akan digantikan dengan rumah kelab baru di Tengah, yang dijangka siap menjelang 2031.

Sementara itu, stesen MRT Brickland baru di Laluan Utara-Selatan, yang sedang dibina di utara BBDC, bakal dibuka pada 2034 – satu lagi petunjuk pembangunan perumahan baru yang berdekatan boleh disiapkan dalam tempoh masa yang sama.

“Sudah tentu, kami berminat dengan tapak di Choa Chu Kang Way,” kata Pengurus Besar BBDC, Encik Ang Koh Kwee, sebagai menjawab pertanyaan daripada ST pada 6 Mei.

“Kami memerlukan lebih banyak maklumat sebelum dapat memberikan sebarang komen,” tambah beliau, sambil menjelaskan tender pemerintah untuk menyewa tanah itu perlu dibuka selepas usulan pertukaran penggunaan tapak diluluskan.

Dalam pada itu, dua lagi pusat latihan memandu di Singapura akan kekal di lokasi yang sama, buat masa ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg