Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, di GRC Chua Chu Kang, berjaya meraih 63.59 peratus undi melawan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang meraih 36.41 peratus undi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pegawai Pengurus Undi, Encik Han Kok Juan, mengumumkan pada 3 Mei bahawa PAP meraih 55,000 undi berbanding PSP yang meraih 31,488 undi bagi GRC Chua Chu Kang.
Bercakap kepada media setelah pengumuman keputusan GRC itu, Dr Tan berkata beliau berbesar hati dengan sokongan penduduk dan berjanji tidak akan mengambil mudah kepercayaan yang telah diberi penduduk.
“Ia sebenarnya akan mendorong saya untuk melakukan lebih banyak lagi. Kerja saya bermula malam ini juga, dengan serta-merta.
“Dalam beberapa minggu akan datang, akan ada lebih banyak inisiatif lain. Anda boleh berbual dengan kami untuk melihat apakah rancangan-rancangan yang telah kami sediakan,” kata Dr Tan.
Selain Dr Tan, pasukan PAP di GRC Chua Chu Kang merangkumi Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan dua calon baru – mantan Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Jeffrey Siow; dan penolong profesor di Kluster Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Choo Pei Ling.
Mereka menentang pasukan PSP yang merangkumi pakar keselamatan dan perunding latihan, Encik A’bas Kasmani; mantan Setiausaha Agung Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), Encik Lawrence Pek; peguam teknologi, Cik Wendy Low; dan pakar pelaburan, Encik S. Nallakaruppan.
Margin kemenangan PAP di GRC Chua Chu Kang adalah lebih tinggi berbanding 58.64 peratus undi yang dimenanginya pada GE2020.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Zhulkarnain berkata: “Saya akan terus bekerja keras untuk menambat hati semua penduduk di GRC Chua Chu Kang dan perjuangan saya di Parlimen tidak akan berhenti bagi isu-isu yang dekat bagi masyarakat kita.
“Memang saingan sengit. Saya berterima kasih kepada parti yang bertanding dengan kita juga kerana mereka memberikan pilihan bagi semua penduduk Choa Chu Kang dan saya dengan rendah hati menjawab tanggungjawab yang berat ini bagi semua penduduk Choa Chu Kang,” kata Encik Zhulkarnain.
Dr Tan, yang sebelum ini mengetuai pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights, dipindahkan ke GRC Chua Chu Kang dalam satu langkah mengejut pada Hari Penamaan Calon untuk mengetuai kawasan undi empat anggota itu.
Beliau menggantikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang berpindah untuk mengetuai pasukan PAP di GRC Punggol.
Dr Tan menghabiskan tempoh kempennya memperkenalkan dirinya kepada penduduk, yang dilihat menyoalnya tentang pemindahan semula Encik Gan secara tiba-tiba ke GRC Punggol. Encik Gan telah menerajui pasukan PAP di GRC Chua Chu Kang sejak 2011.
Sebelum ini, Dr Tan berjanji untuk meneruskan semua rancangan sedia ada yang telah diumumkan bagi GRC Chu Chu Kang, seperti stesen MRT baru untuk menambah baik ketersambungan kawasan itu dan peningkatan kejiranan bernilai kira-kira $212 juta di bawah pelan lima tahun majlis bandaran itu.
Pasukan PAP GRC Chua Chu Kang juga akan melakarkan satu pelan 100 hari untuk melihat bagaimana kebimbangan yang dibangkitkan penduduk boleh ditangani, seperti isu ketersambungan di estet perumahan Tengah, yang akan diberi keutamaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg