Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selain tingkat usia persaraan, pekerja warga senja perlu dibantu kekal relevan

Chee Meng: Langkah awal Sats jadi contoh baik beri kepastian kepada golongan itu
Jul 3, 2025 | 8:46 PM
Ng Chee Meng, ntuc
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, dalam satu hantaran di Facebook pada 3 Julai berkata usaha memperjuangkan pekerjaan pekerja warga senja lebih daripada sekadar meningkatkan usia persaraan dan menggajikan semula golongan ini, ia juga harus meliputi usaha agar mereka kekal relevan, dihargai dan disokong. - Foto fail

Usaha memperjuangkan pekerjaan bagi pekerja warga senja memerlukan lebih daripada sekadar menaikkan usia persaraan dan menggajikan semula golongan ini.

Ia juga harus meliputi usaha agar mereka kekal relevan, dihargai dan disokong, kata Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.

Beliau berkata demikian sambil mengiktiraf langkah syarikat pengendali lapangan terbang dan katerer, Sats, untuk menaikkan usia persaraan dan pengambilan bekerja semula bagi pekerja mereka setahun lebih awal daripada tarikh pelaksanaan rasmi peningkatan usia persaraan di bawah undang-undang.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 3 Julai, Encik Ng berkata langkah Sats itu memberikan pekerja warga senja “kepastian dan sokongan yang lebih tinggi”, sekiranya golongan ini ingin terus kekal bekerja.

“Ia juga satu petanda yang sangat menggalakkan untuk melihat usaha seperti mereka semula pekerjaan dan latihan bagi membantu mereka kekal relevan dan terus berkembang maju,” ujarnya.

Beliau menggesa agar lebih banyak pertubuhan mengambil langkah serupa dan menyokong pekerja warga senja, memandangkan pengalaman golongan ini “membawa nilai tidak terhingga kepada syarikat” dalam landskap yang terus berubah.

Encik Ng berkata demikian susulan pengumuman Sats pada 1 Julai bahawa ia telah meningkatkan usia persaraan kepada 64 tahun dan usia pengambilan bekerja semula kepada 69 tahun bagi pekerja mereka yang berpangkalan di ibu pejabat Singapura.

Dalam satu kenyataan media pada 1 Julai, Sats menyatakan dasar tersebut telah berkuat kuasa serta-merta dan dijangka memanfaatkan lebih 700 pekerja yang akan menjangkau usia persaraan dan usia pengambilan bekerja semula pada 2025.

Ketua Pegawai Modal Insan Sats Ltd, Encik Tan Chee Wei, berkata langkah meningkatkan usia persaraan dan usia pengambilan bekerja semula itu dilakukan melalui kerjasama dengan rakan kongsi kesatuan.

Ini mencerminkan “dedikasi bagi membina pertubuhan bersifat terangkum dan bersedia bagi masa hadapan” demi menyokong pekerja warga senja yang ingin terus bekerja, tambah beliau.

“Kami percaya dengan mengambil tindakan lebih awal, ia membolehkan kami mengenal pasti dan mengekalkan sumbangan tidak ternilai tenaga kerja berpengalaman kami dengan lebih baik,” ujarnya.

Usaha Sats ini sejajar dengan langkah pemerintah untuk meningkatkan usia persaraan kepada 64 tahun dan usia pengambilan bekerja semula kepada 69 tahun mulai Julai 2026.

Langkah tersebut diumumkan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, di Parlimen semasa membentangkan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya pada Mac 2024.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan usia persaraan Singapura kepada 65 tahun menjelang 2030.

Kali terakhir usia persaraan dinaikkan adalah pada 2022, selepas pemerintah menyatakan pada 2019 bahawa usia persaraan akan dinaikkan kepada 65 dan usia pengambilan bekerja semula dinaikkan kepada 70 tahun menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg