Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chee Meng janji kakitangan Jetstar Asia yang terjejas bakal dibantu

NTUC, SIA dan kesatuan sekerja bantu kakitangan Jetstar Asia teroka peluang kerja
Jun 18, 2025 | 8:12 PM
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (depan, tiga dari kiri), memberi jaminan kepada kakitangan Jetstar Asia yang terjejas akibat penutupan mengejut syarikat penerbangan itu bahawa mereka tidak bersendirian. 
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (depan, tiga dari kiri), memberi jaminan kepada kakitangan Jetstar Asia yang terjejas akibat penutupan mengejut syarikat penerbangan itu bahawa mereka tidak bersendirian.  - Foto FACEBOOK NG CHEE MENG

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, telah memberi jaminan kepada kakitangan Jetstar Asia yang terjejas akibat penutupan mengejut syarikat penerbangan itu bahawa mereka tidak bersendirian.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Jun, Encik Ng berkata Kelompok Aeroangkasa dan Penerbangan NTUC serta Kesatuan Pekerja Buruh dan Perdagangan Singapura (SMMWU) telah bekerjasama rapat dengan Singapore Airlines (SIA) untuk meneroka peluang pekerjaan bagi pekerja Jetstar Asia.

Ini termasuk kru kabin, juruterbang dan kakitangan darat.

Encik Ng telah bertemu dengan kakitangan Jetstar Asia di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi pada 18 Jun semasa acara khidmat pemadanan pekerjaan yang dianjurkan untuk mereka.

Khidmat itu dianjurkan bersama oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, SMMWU, dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), dan berlangsung dari 17 hingga 19 Jun.

Menurut Encik Ng, kakitangan Jetstar Asia berkongsi kebimbangan dan ketidaktentuan mengenai masa depan mereka, dan beliau memahami kegelisahan yang mereka alami.

“Sebahagian daripada pekerja yang saya temui juga sedang mempertimbangkan untuk beralih ke sektor lain, seperti perkhidmatan pelanggan.

“NTUC e2i akan terus memberi sokongan, termasuk khidmat pemadanan pekerjaan, bimbingan kerjaya dan panduan meningkatkan kemahiran,” tulisnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan SIA dan rakan-rakan kongsi lain atas kerjasama mereka dengan NTUC dalam memastikan hasil yang lebih baik untuk pekerja.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (berbaju merah), bertemu dengan kakitangan Jetstar Asia di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi semasa acara khidmat pemadanan pekerjaan yang dianjurkan untuk mereka pada 18 Jun.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (berbaju merah), bertemu dengan kakitangan Jetstar Asia di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi semasa acara khidmat pemadanan pekerjaan yang dianjurkan untuk mereka pada 18 Jun. - Foto FACEBOOK NG CHEE MENG

Jetstar Asia mengumumkan pada 11 Jun ia akan berhenti beroperasi mulai 31 Julai susulan cabaran yang dihadapi, mengancam kemampanan perniagaannya.

Penutupan syarikat penerbangan tambang murah itu akan menjejas lebih 500 kakitangannya yang terpaksa dibuang kerja.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan NTUC pada 18 Jun, mereka berkata khidmat pemadanan pekerjaan itu terbuka kepada semua kakitangan Jetstar Asia.

Ini agar pekerja yang mempunyai waktu kerja syif juga berpeluang menghadiri sekurang-kurangnya satu hari daripada sesi tersebut.

Usaha itu akan membantu pekerja meneroka peluang pekerjaan dengan majikan yang mengambil bahagian, menerima bimbingan kerjaya daripada jurulatih kerjaya e2i, serta mendapat sokongan daripada kesatuan sekerja bersekutu NTUC.

“Khidmat itu melibatkan 38 majikan, dengan 14 majikan hadir secara langsung di lokasi.

“Tumpuan diberikan kepada majikan dalam sektor Aeroangkasa dan Penerbangan (AA) kerana profil pekerja Jetstar Asia sesuai dengan pelbagai jawatan kosong di sektor tersebut,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, majikan daripada sektor selain AA turut hadir untuk menawarkan peluang pekerjaan alternatif yang sesuai dengan fungsi kerja dan kemahiran pekerja yang terjejas, tambah NTUC.

NTUC berkata secara keseluruhan, terdapat lebih 450 jenis jawatan serta 1,400 pekerjaan kosong yang disediakan.

Tugas yang ditawarkan termasuk juruterbang, kru kabin dan khidmat pelanggan, operasi hab udara, kejuruteraan, jawatan korporat, serta jaminan keselamatan dan mutu.

“Kumpulan Singapore Airlines (termasuk Scoot) terutamanya menyokong usaha pengambilan juruterbang dan kru kabin, dan mereka akan hadir sepanjang latihan tersebut.

“Majikan lain termasuk Airbus Singapore & Satair, Kumpulan Lapangan Terbang Changi, dnata (Singapore), Sats, SIA Engineering Company, Persatuan Ejen Kargo Udara Singapura dan anggota, SMRT, dan CAAS,” tambah NTUC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg