Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selongkar sejarah Kampong Tongkang Pechah untuk ketahui kampung ibu

Apr 3, 2025 | 3:53 PM
Pengasas Projek Tongkang Pecah, Rustam Shariq Mujtaba
Pengasas Projek Tongkang Pecah, Encik Rustam Shariq Mujtaba, menunjukkan jalan Gerald Drive iaitu jalan masuk ke kawasan tempat terletaknya Kampong Tongkang Pechah sebelum ini. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ketekunan menjejak sejarah kampung halaman ibu di Kampong Tongkang Pechah begitu menonjol dalam diri Encik Rustam Shariq Mujtaba tatkala beliau menerangkan butiran kampung yang sedang dikajinya itu.

Sambil menunjukkan susur Jalan Kechubong kepada Berita Harian ketika memandu kenderaannya melewati jalan itu di estet Seletar Hills, beliau berkata: “Jalan itu dulu ada loji pemprosesan sisa sebelum ia dirobohkan dan menjadi estet perumahan.”

Beliau seterusnya memaparkan lokasi kampung itu – terletak di tebing Sungei Punggol, meliputi estet Seletar Hills dan Fernvale – dengan merujuk kepada peta yang diperolehi daripada Arkib Negara (NAS).

Encik Rustam, pengasas Projek Tongkang Pecah, menjelaskan bahawa hasrat awal bagi memulakan usaha penyelidikan ini sejak separuh kedua 2023 adalah untuk mengetahui sejarah kampung ibunya semata-mata.

Namun, hasil kajian lanjut membongkar sejarah lain di kawasan sekitar kampung ibunya itu.

Ini, katanya, membuka ruang bagi beliau meneroka dengan lebih mendalam sejarah kawasan timur laut Singapura, yang belum dikaji secara meluas.

Malah setakat ini, Encik Rustam, 28 tahu, mendapati antara lain kewujudan Kampong Pos berhampiran Kampong Tongkang Pechah.

“Maklumat mengenai kampung ini (Kampong Pos) tidak banyak dijumpai dalam arkib negara.

“Kewujudan Kampong Pos sebenarnya merupakan satu penemuan yang paling menarik kerana ia merupakan salah satu kampung yang sudah wujud sekian lama – bahkan sebelum ketibaan Sir Stamford Raffles di Singapura (pada awal 1800-an),” ujar satu-satunya anak lelaki dalam kalangan lima beradik itu.

Beliau menambah, hasil penemuan tersebut lebih manis baginya memandangkan datuknya berasal dari Kampong Pos.

Dengan ini, beliau dapat menjejak kembali keturunan yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini “merentasi generasi”, katanya.

Menyingkap kisah Kampong Tongkang Pechah, Encik Rustam berkata kampung itu wujud sejak lewat 1930-an, sebelum penduduknya diminta berpindah pada lewat 1970-an bagi pembangunan semula.

Beliau berkata Projek Tongkang Pecah ini tidak dapat membuahkan hasil tanpa sokongan Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO).

Sebahagian daripada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), unit itu dilancarkan pada Januari 2024 bagi memudahkan penduduk Singapura bekerjasama dengan pemerintah.

Ia perhentian pertama bagi menghubungkan penduduk yang ingin memberi sumbangan dengan agensi pemerintah relevan.

Lulusan Farmasi dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata beliau menghadapi tiga cabaran utama dalam mengendalikan projek ini – jangkauan masyarakat, perkongsian dan panduan bagi hala tuju projek.

Encik Rustam berkata sungguhpun tanpa latar belakang dalam bidang sejarah atau antropologi, SGPO menghubungkannya dengan mentor dan beliau memperoleh dana melalui badan seperti Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Sejauh ini, beliau telah menemu bual sekitar 10 bekas penduduk Kampong Tongkang Pechah, sebahagian besar daripada mereka mengetengahkan kisah berbeza.

Encik Rustam berkata: “Saya ingin temu bual sekurang-kurangnya 25 keluarga dengan 25 naratif berbeza.

“Ini agar usaha ini lebih tertumpu dan membolehkan pengumpulan data dan perspektif lebih luas.”

Beliau memberi contoh kisah-kisah yang sudah diterbitkan setakat ini di laman rasmi projek itu, yang setiap satu “menceritakan kisah yang sangat khusus”, ujarnya.

Misalnya kisah di sebalik Kampong Pos, pemilik ladang getah yang pernah tinggal di kawasan itu dan penemuan batu nisan lama di Seletar.

Ini belum termasuk aspek berbeza, meliputi antara lain sejarah perubatan dan kedermawanan, tambah beliau.

“Kisah-kisah inilah yang saya ingin rakam dan kongsikan kepada khalayak ramai,” katanya.

Justeru, dengan kisah-kisah yang sudah dikumpulkan sejauh ini, beliau berkata sudah tiba masanya untuk memasuki fasa seterusnya.

Fasa pertama melibatkan pengumpulan, pemahaman dan penyimpanan data kian rancak.

Encik Rustam berkata beliau merancang membangunkan pameran bersifat kekal menjelang penghujung 2025 atau awal 2026 bagi fasa keduanya.

Dalam fasa ini, beliau menitik beratkan penggunaan media sosial agar kisah yang dikumpulkan dapat diketengahkan, khususnya kepada golongan muda.

“Saya ingin berlaku adil terhadap data dan kisah yang dikumpul, jadi saya lebih tertumpu pada penghasilan artikel yang saya keluarkan di laman.

“Ini adalah sesuatu yang saya ingin perhalusi – seperti catatan Instagram dan TikTok,” kata beliau.

Encik Rustam kini bekerjasama dengan Kelab Masyarakat Fernvale untuk melakar pameran tersebut, yang menurutnya penting diserlahkan.

Dengan mengenal pasti dan memahami sejarah silam, generasi sekarang boleh menghargai keadaan semasa dan menyampaikan warisan kepada generasi seterusnya.

Beliau memberi contoh individu yang telah beliau temu bual termasuk ibunya dan bekas penduduk kampung yang turut “membentuk fabrik budaya Singapura”.

Encik Rustam menjelaskan: “Jika kita tidak memahami atau abaikan (kisah mereka), perkara yang membentuk Singapura juga berubah.

“Terdapat nilai dalam memperingati sejarah ini kerana ia memberi saya perspektif betapa banyak yang telah berubah dalam satu generasi, dan menjangka berapa banyak lagi yang boleh berubah dalam generasi akan datang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg