Sebuah hab perusahaan sosial baru, The Foundry, yang akan menempatkan 14 pertubuhan sosial pada peringkat permulaan dan mempunyai kapasiti untuk menyokong sehingga 24 pertubuhan bukan meraih untung dan badan amal, telah dilancarkan pada 28 November oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di 11 Prinsep Link.
The Foundry mengambil alih bekas pejabat Jabatan Pilihan Raya yang menghentikan operasi di kawasan tersebut pada 2019.
Menurut satu kenyataan media badan amal berdaftar The Majurity Trust (TMT), penubuhan hab itu adalah atas usaha kolektif kumpulan dermawan dan yayasan swasta yang mengumpul lebih $10 juta untuk mewujudkannya.
Selaras dengan itu, sebuah Dana Foundry Forward baru ditubuhkan untuk memacu kerjasama antara pertubuhan impak sosial.
“Dana tersebut telah memperuntukkan sebanyak $500,000 bagi pertubuhan yang berada dalam The Foundry untuk tempoh dua tahun akan datang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif TMT, Encik Martin Tan.
Kesemua 14 pertubuhan sosial itu adalah BapaHebatSG, better.sg, Bettr Group, Boxgreen, EMpower, Hatch, Impart, KampungKakis, Ray of Hope, Sancare Asia, talenTtrust, The Majurity Trust (TMT), The Tapestry Project SG dan VintageRadio.SG.
Seluas 17,000 kaki persegi, Tuan Presiden dibawa mengelilingi ruang dinamik di hab itu bersama kakitangan pengurusan TMT, dermawan dan wakil media.
Beliau turut melihat kemudahan yang tersedia, seperti ruang pejabat, bilik latihan, ruang perbincangan, dan dewan acara, iaitu The Refinery yang disokong Yayasan Yong Hon Kong dan boleh memuatkan sehingga 100 orang.
Bercakap pada wartawan semasa acara pelancaran itu, Tuan Presiden menekankan pentingnya prasarana sedemikian untuk membina sektor perkhidmatan sosial, tatkala pertubuhan besar atau kecil.
“Seorang pengasas atau kumpulan pengasas biasanya mempunyai idea yang mereka benar-benar rasakan merupakan milik mereka, dan mereka ingin mengemukakannya ke depan...
“Bagaimanapun, kita perlu mendorong dan membolehkan mereka merebut peluang terbaik untuk berjaya dalam misi yang mereka cuba usahakan,” ujarnya.
The Foundry bertujuan menjadi pusat yang menyatukan pertubuhan berlandaskan sosial untuk mengembangkan idea secara kolektif, memacu inovasi yang memberi impak, dan membina masyarakat.
Menurut TMT, ia ditubuhkan dengan kerjasama Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Lembaga Totalisator Singapura, atau Tote Board.
Salah satu pertubuhan yang berpangkalan di The Foundry, BapaHebatSG, mengalu-alukan peluang menjadi sebahagian daripada masyarakat itu.
Pengasas bersama dan Pengarah Urusan BapaHebatSG, Encik Ibrahim Dawood, berkata:
“Dengan adanya ruang yang khusus, kami boleh mempertingkatkan operasi, menganjurkan acara yang memberi kesan dan mewujudkan hubungan berkekalan.
“Ini semua penting dalam merealisasikan impian kami menjadi keluarga yang lebih kukuh dan masyarakat lebih terhubung,” kata Encik Ibrahim.
Apabila ditanya tentang sasaran untuk menempatkan 24 pertubuhan di The Foundry, Encik Tan memberitahu bahawa mereka “tidak tergesa-gesa dalam hal ini”.
“Apa yang lebih penting bagi kami adalah membina masyarakat dan budaya The Foundry terlebih dahulu sebelum menambah lebih banyak penduduk. Kami juga teruja dengan sambutan positif semenjak pengumuman The Foundry pada awal 2024.
“Hari ini adalah (hari pelancaran) dan pasukan kami akan menilai calon penduduk baru dalam tiga hingga enam bulan akan datang,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg