Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat anggota SCDF kekal tinggi

Apr 1, 2025 | 9:08 PM
Kolonel Tay Zhi Wei, Ketua Pasukan, kontinjen Operasi Lionheart (OLH), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), berkata setakat ini, pada hari keempat, pasukan itu telah selesai operasi menyelamat di 13 tapak, menyelamatkan seorang yang masih hidup, dan melaporkan beberapa mangsa yang maut. 
Kolonel Tay Zhi Wei, Ketua Pasukan, kontinjen Operasi Lionheart (OLH), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), berkata setakat ini, pada hari keempat, pasukan itu telah selesai operasi menyelamat di 13 tapak, menyelamatkan seorang yang masih hidup, dan melaporkan beberapa mangsa yang maut.  - Foto-foto SCDF

Semangat dalam kalangan pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dikerahkan membantu operasi menyelamat di Myanmar kekal tinggi.

Ini terutamanya setelah pasukan itu berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang terperangkap di tapak kedua operasi menyelamat pada 30 Mac, kata Ketua Pasukan, kontinjen Operasi Lionheart (OLH), SCDF, Kolonel Tay Zhi Wei.

Bercakap kepada media melalui Zoom pada 1 April, Kolonel Tay berkongsi bahawa ucapan Hari Raya daripada ibu pejabat SCDF, Perdana Menteri Lawrence Wong, dan pemegang jawatan politik turut membangkitkan semangat mereka, khususnya dalam kalangan pegawai Melayu yang menyambut Aidilfitri dengan menunaikan solat dan bertakbir di kem pangkalan di Naypyidaw sebelum meneruskan operasi. 

Setakat ini, pada hari keempat, pasukan itu telah selesai operasi menyelamat di 13 tapak, menyelamatkan seorang yang masih hidup, dan melaporkan beberapa mangsa yang terkorban akibat gempa bumi yang melanda Myanmar pada 28 Mac itu.

SCDF akan terus membantu pihak berkuasa tempatan dalam mengesahkan lebih banyak tapak, tanpa tarikh tamat ditetapkan selagi masih ada peluang untuk mencari mangsa yang terselamat, tambah Kolonel Tay.

Beliau, pada kerahan pertamanya di luar negara bersama OLH, menambah: “Kita semua tahu sebagai penyelamat bahawa 72 jam pertama adalah amat penting. Tetapi walaupun selepas itu, akan ada peluang untuk terus hidup. 

“Selagi ada peluang kecil untuk hidup, peluang seminit untuk hidup, kami akan berada di sini untuk menghulurkan tangan kami jika mereka memerlukan kami... walaupun ada peluang untuk hidup seminit, kami akan kekal dan ia berbaloi untuk kekal di sini dan membantu.”

Menceritakan usaha menyelamat lelaki yang terperangkap itu, yang mengambil masa lapan jam, beliau berkata “menyelamatkan nyawa lebih awal benar-benar menaikkan semangat kami”, terutamanya selepas tapak pertama menyebabkan mereka berfikir misi itu akan sangat mencabar.

Dalam menerangkan skala kemusnahan, Kolonel Tay menyatakan banyak bangunan runtuh sepenuhnya di tingkat bawah, mewujudkan keadaan menyelamat yang kompleks dan berbahaya tidak seperti apa-apa yang dilihat oleh pasukan tempatan. 

Suhu mencecah 41°Celsius dan kesukaran komunikasi awal disebabkan isyarat yang lemah menambahkan lagi cabaran.

Namun, para pegawai tetap fokus, disokong oleh pengaturan praktikal seperti kem pangkalan yang terletak bersama di sebuah hotel dengan akses ke kawasan logistik. Klasifikasi berat SCDF di bawah Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) juga membenarkan pasukan itu berpecah kepada dua kumpulan dan beroperasi serentak di tapak yang berbeza.

Timbalan Ketua Pasukan Kolonel (NS) Raizan Abdul Razak, 48 tahun, yang berhari raya berjauhan dari keluarga, berkata: “Ia tidak mudah. Kali pertama saya mendengar takbir di sini, memang menyedihkan.

“Tetapi kami memulakan hari kami dengan takbir dan doa, dan kemudian menerima mesej video yang menggalakkan daripada Ibu Pejabat dan POH kami.”

Kolonel Raizan, yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan di luar tugas ORNS, turut berkongsi penghargaannya untuk keluarga di tanah air: “Kami berterima kasih kepada orang tersayang yang membenarkan kami datang ke sini untuk membantu. Kami tidak sabar untuk pulang ke rumah, makan ketupat dan rendang, dan memohon keampunan daripada ibu bapa kami.”

Beliau menambah bahawa setiap hari, pasukan itu bersedia untuk ditempatkan seperti yang diarahkan oleh Perkhidmatan Bomba Myanmar.

Memandang ke hadapan, SCDF akan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat terakhir di Naypyidaw dan berkoordinasi dengan pasukan antarabangsa.

Gempa berukuran 7.7 itu melanda bahagian tengah Myanmar itu menyebabkan kematian dan kerosakan struktur yang ketara. 

SCDF mengerahkan 80 anggota kontinjen Operasi Lionheart untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat. Mereka tiba di Yangon pada 29 Mac dan meneruskan perjalanan ke Naypyidaw. 

Pasukan itu terdiri daripada ahli dari Pasukan Bantuan dan Penyelamat Bencana (DART), kakitangan perubatan, pakar bahan berbahaya dan pakar pencarian dengan empat anjing pencari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg