Operasi tiga bank utama Singapura – UOB, DBS dan OCBC – di Myanmar dan Thailand tidak mengalami gangguan besar akibat gempa bumi dengan magnitud 7.7 yang melanda Myanmar pada 28 Mac dan dirasai hingga ke Bangkok.
Jurucakap UOB memberitahu The Straits Times (ST) semua pekerjanya di Thailand dalam keadaan selamat semasa gempa itu berlaku.
“Tiada kecederaan dilaporkan, dan program bantuan kakitangan akan dilaksanakan untuk menyokong rakan sekerja terjejas.”
Semua “premis utama” UOB di sana, termasuk ibu pejabatnya di UOB Plaza Bangkok, disahkan selamat secara struktur, kata jurucakap itu.
Pejabat sewaan dan cawangan dalam pusat beli-belah telah disahkan selamat, dan pemeriksaan berterusan dijalankan, lapor ST.
UOB berkata semua cawangannya di Thailand beroperasi semula pada 29 Mac, kecuali dua ditutup sementara untuk pemeriksaan dan dibuka semula pada 31 Mac. Bank itu mempunyai 144 cawangan di Thailand, sementara perniagaannya di Myanmar telah dikurangkan.
Operasi kritikal seperti penyelesaian transaksi berjumlah besar, kelulusan cek, dan transaksi mata wang asing telah diselesaikan. Pusat hubungan UOB dan kedua-dua pusat datanya terus beroperasi sepenuhnya.
Presiden UOB Thailand, Encik Richard Maloney, berkata gempa itu menguji kesiapsiagaan, dengan pasukan UOB bertindak dengan tenang.
“Keutamaan kami ialah keselamatan pekerja, tetapi operasi penting diteruskan tanpa gangguan.
“Memandang ke depan, UOB kini sedang mengkaji apa yang dipelajari daripada peristiwa ini demi memperkukuh daya tahan,” ujarnya.
Jurucakap DBS Bank pula mengesahkan semua pekerjanya di Thailand dan Myanmar selamat, dan pejabat mereka tidak rosak.
Ketua keselamatan korporat kumpulan OCBC, Encik Francisco Celio, memberitahu ST: “Kami telah berhubung dengan rakan sekerja di Bangkok dan Yangon, dan semua individu ini serta keluarga mereka selamat tanpa kecederaan. Pejabat kami disahkan selamat dan operasi telah kembali normal dengan gangguan minimum.”
Ketiga-tiga bank ini adalah yang terbaru dalam rangkaian syarikat Singapura yang menceritakan kesan gempa itu terhadap operasi mereka di Myanmar dan Thailand.
Ini termasuk Yoma Strategic Holdings dan Fraser & Neave, yang disenaraikan di Bursa Singapura, yang memberitahu ST pada 30 Mac bahawa semua pekerja mereka selamat, manakala kemudahan serta perniagaan mereka di Myanmar dan Thailand mengalami sedikit atau tiada kerosakan.
Selain itu, jurucakap Frasers Property memberitahu The Business Times (BT) mereka telah mengesahkan semua pekerja mereka di Bangkok selamat. Semua hartanah layanan tamu dan pusat beli-belah kumpulan itu, termasuk One Bangkok, telah memulakan operasi semula, kata jurucakap Frasers Property.
Bagaimanapun, seorang jurucakap Sembcorp memberitahu ST pada 30 Mac loji kuasa gas yang dibina dan dikendalikan mereka di Mandalay, berhampiran pusat gempa, mengalami gangguan bekalan elektrik akibat kegagalan grid.
Jurucakap itu cepat menambah bahawa loji berharga AS$300 juta (S$403 juta) itu tidak mengalami sebarang kerosakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg