Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sensor, interkom baru pastikan bantuan lebih pantas untuk warga emas

Oct 1, 2025 | 6:42 PM
Sistem Home Monitoring and Eldercare, Home+ 2.0
Sistem Home Monitoring and Eldercare yang dipertingkat (HoME+ 2.0) kini merangkumi (dari kiri) peranti sensor pintu, interkom, kunci fob, tiga sensor kehadiran (mengikut jenis flat), butang panik mudah alih dan butang panik yang dipasang di dinding. - Foto ZAOBAO

Dalam keadaan seorang warga senja tergelincir di rumah dan tidak dapat mencapai telefon, setiap minit amat berharga.

Sebelum ini, sistem Home Monitoring and Eldercare (HoME+) Palang Merah Singapura (SRC) – sistem perkhidmatan pemantauan, penggera dan tindak balas sepanjang masa yang memberikan warga emas alternatif kepada kemudahan hidup berbantu– mungkin hanya dapat mengesan apabila tiada pergerakan, kadangkala mengeluarkan amaran selepas sejam.

Dengan HoME+ yang dipertingkat (HoME+ 2.0) yang dilancarkan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, pada 1 Oktober, warga emas yang mengalami kecederaan di rumah kini boleh dihubungi dengan lebih pantas.

Sistem yang dipertingkat itu kini dapat membezakan pergerakan manusia daripada haiwan peliharaan atau objek, melalui sensor kehadiran tiga dimensi (3D), serta sistem interkom baru yang membolehkan pusat panggilan berhubung terus dengan warga emas dalam kecemasan.

Mengulas mengenai penambahbaikan tersebut, Encik Chua berkata inisiatif di peringkat masyarakat seperti HoME+ melengkapi inisiatif nasional seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG.

Beliau berkata: “Kita memerlukan usaha masyarakat seperti SRC untuk mendampingi dan menjaga warga emas. Usaha sebegini sama pentingnya.

“Sokongan bersama kita akan membolehkan warga emas hidup dengan maruah dan tujuan dalam tahun-tahun emas mereka.

“Saya berharap dengan bantuan daripada lebih ramai penderma dan penaja, kemudahan ini dapat dipasang di lebih banyak rumah di Singapura – sekali gus membantu mengelakkan krisis dan menyelamatkan nyawa.”

Sebelum ini, sistem HoME+ merangkumi peralatan butang panik mudah alih, butang panik yang dipasang di dinding, sensor pintu, kunci fob dan sensor pergerakan.

Kini, ia turut mempunyai peranti interkom dan sensor kehadiran.

Sensor baru itu akan menggantikan pengesan inframerah lama yang mudah diaktif jika terdapat pergerakan seperti langsir yang berayun, haiwan peliharaan atau burung yang terbang di dalam rumah.

Sensor terbaru kini boleh mengesan saiz objek bergerak, menjadikannya mampu membezakan manusia daripada haiwan, serta mengesan pergerakan walaupun terhalang kain atau langsir nipis.

Ia dipasang pada ketinggian sekitar 1.5 meter dari lantai di bahagian utama rumah seperti ruang tamu, dapur dan bilik mandi.

Dengan ketinggian itu juga, ia dapat mengesan kehadiran manusia dalam jarak empat hingga lapan meter.

Di samping itu, interkom menyediakan talian terus antara kakitangan pusat panggilan SRC dengan warga emas di rumah apabila penggera diaktifkan.

Sebelum ini, jika warga emas tidak menjawab panggilan, pasukan respon masyarakat hanya boleh diaktifkan selepas kira-kira sejam.

Kini, jika panggilan tidak dijawab, kakitangan boleh cuba menghubungi melalui interkom dalam masa dua hingga tiga minit sahaja.

Jika warga emas dapat memberi maklum balas secara lisan, bantuan boleh dihantar serta-merta, memendekkan masa tindak balas.

Sistem ini turut dilaraskan mengikut rutin harian.

Contohnya, jika tiada pergerakan dikesan di bilik mandi selama lebih satu jam, ia akan mengaktifkan amaran kerana kebiasaannya tiada siapa berada di dalam untuk tempoh begitu lama tanpa bergerak.

Di bilik tidur pula, tempoh lebih panjang sekitar enam jam ditetapkan bagi mengambil kira corak tidur biasa.

Fleksibiliti ini membantu mengurangkan penggera palsu.

Jangka hayat bateri interkom juga dipertingkat.

Unit lama memerlukan penggantian setiap sembilan bulan, manakala sensor baru boleh bertahan lebih setahun.

Secara purata, sistem HoME+ sebelum ini mengendalikan antara 50 hingga 70 pengaktifan setiap bulan – sekitar 20 hingga 30 peratus lebih banyak berbanding 2024.

Terdapat sekitar 400 pengaktifan dari Januari lalu hingga kini.

Sistem HoME+ baru ini berharga $50 sebulan bagi flat 1 dan 2 bilik ($10 bagi pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat, Chas Biru), $65 untuk flat 3 bilik ($15 bagi pemegang kad Chas Biru); dan $80 untuk flat 4 bilik ke atas ($20 bagi pemegang kad Chas Biru).

Sebelum ini, ia berharga $48 untuk semua jenis flat dan $10 bagi pemegang kad Chas Biru.

Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, berkata: “Dengan kehadiran sensor baru ini, ia dapat meningkatkan pengesanan pergerakan dan ketidakaktifan, mempertingkatkan keupayaan kami untuk bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap situasi kritikal,” katanya.

Beliau menambah bahawa penjagaan warga emas seharusnya melangkaui aspek keselamatan, merangkumi juga maruah dan penyertaan.

“Daripada sekadar dilihat sebagai penerima perkhidmatan, warga emas perlu dilihat sebagai sumber kebijaksanaan, pengalaman dan ketabahan yang amat berharga. Inilah falsafah yang Palang Merah Singapura ingin bawa ke semua program kemanusiaan kami,” ujarnya.

HoME+ pertama kali diperkenalkan pada 2018 dan sejak itu telah membantu lebih 1,200 warga emas yang tinggal bersendirian di seluruh Singapura, disokong oleh 160 responden komuniti terlatih.

Susulan pelancaran HoME+ 2.0 yang diadakan di Red Cross House, 15 Penang Lane, sesi perbincangan panel bertajuk Reimagining Eldercare in Singapore: Innovations, Integration & Inclusion diadakan, yang menghimpunkan seramai 50 pihak berkepentingan daripada agensi pemerintah, akademia, rakan kongsi khidmat sosial, badan penderma dan masyarakat sivil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg