Bilangan warga Singapura berusia 80 tahun dan ke atas meningkat sekitar 60 peratus antara 2015 dengan 2025.
Seramai 145,000 warganegara tergolong dalam kumpulan usia ini pada 2025, meningkat daripada 91,000 pada 2015.
Golongan warga emas ini mewakili 4 peratus daripada keseluruhan penduduk Singapura pada 2025, berbanding 2.7 peratus pada 2015.
Dalam kalangan golongan ini, bagi setiap 10 orang, enam ialah wanita, lapor The Straits Times (ST).
Data ini sejajar dengan jangkaan bahawa Singapura akan mencapai status ‘super-aged’ atau sangat menua pada 2026, di mana lebih seorang daripada lima warganegara akan berusia melebihi 65 tahun.
Pada masa yang sama, bilangan dan peratusan penduduk usia bekerja – lazimnya berusia antara 20 dengan 64 tahun – yang mampu menyokong golongan warga emas turut menurun, sekali gus menyumbang kepada penurunan nisbah sokongan warga tua.
Seiring dengan penuaan penduduk, umur median warganegara meningkat daripada 43.4 tahun pada Jun 2024 kepada 43.7 tahun pada Jun 2025.
Manakala pada 2015, umur median warganegara ialah 40.7 tahun.
Data itu dikeluarkan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) pada 29 September, dalam laporan tahunan Sorotan Penduduk 2025, yang memberi kemas kini tentang trend utama penduduk Singapura sepanjang Jun 2024 hingga Jun 2025.
Menurut laporan tersebut, peratusan warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas terus meningkat pada kadar lebih pantas berbanding 2015.
Seramai 24 peratus warga Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.
Pada 2025, sekitar 20.7 peratus warganegara tergolong dalam kumpulan usia ini, meningkat daripada 13.1 peratus pada 2015.
Pada masa yang sama, peratusan penduduk berusia 20 hingga 64 tahun menurun daripada 64.5 peratus pada 2015 kepada 59.8 peratus pada Jun 2025.
Sementara itu, data tahunan menunjukkan penduduk Singapura menua dengan pesat.
Pada 2023, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata Singapura telah membuat persediaan untuk menjadi masyarakat sangat menua.
Ini termasuk langkah membantu warga emas kekal sihat, serta memastikan mereka mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara dianggap sebagai menua jika peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, melebihi 14 peratus, dan sangat menua jika angka itu melebihi 21 peratus.
“Di peringkat domestik, transformasi sosial terbesar bagi generasi ini ialah penuaan,” kata Encik Ong pada masa itu.
Sejak itu, pelbagai skim telah diperkenalkan bagi menangani keperluan warga emas yang semakin meningkat.
Ini termasuk daya usaha Kejiranan Sihat Menua yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, bagi membantu warga emas menua di rumah masing-masing, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap keperluan rumah jagaan.
Kawasan kejiranan pertama di bawah daya usaha itu akan dilancarkan di Toa Payoh, salah satu bandar tertua di Singapura, yang telah mencapai status sangat menua.
Ia merupakan sebahagian pelan lebih luas, Sihat Menua SG, yang bertujuan membantu warga emas menjalani kehidupan aktif dan bermakna serta mengurangkan kesepian.
Laporan penduduk 2025 turut mendapati kumpulan besar warga baby boomer yang lahir antara 1946 dengan 1964, atau selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, kini mula memasuki kategori umur 65 tahun dan ke atas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg