Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa bakal bergelar Jauhari tahun ini?
Anugerah Jauhari 2026 rai kecemerlangan dan ketabahan; kategori baru BH-Maybank Perkasa diperkenal bagi iktiraf individu berjaya atasi cabaran sosioekonomi
Siapa bakal bergelar Jauhari tahun ini?
Siapakah tokoh Melayu/Islam yang bakal dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) tahun ini?
Persoalan itu bakal terjawab pada malam 6 November apabila BH meraikan individu yang bukan sahaja mencatat pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing, malah memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
Majlis Anugerah Jauhari BH 2026, yang memasuki tahun ke-28 penganjurannya, akan berlangsung di Hotel Four Seasons Singapore, dengan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, sebagai tetamu terhormat.
Diperkenalkan pada 1999, anugerah berprestij itu mengiktiraf pencapaian dan sumbangan individu Melayu/Islam dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, perniagaan, seni dan budaya, sukan serta kerja kemasyarakatan.
Antara penerima termasuk mantan Presiden Puan Halimah Yacob (2001); pakar tembikar, Dr Iskandar Jalil; pemain golf profesional, Mardan Mamat; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari dan Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas.
Anugerah Jauhari diberi kepada individu berusia 31 tahun ke atas atau pertubuhan yang telah meninggalkan kesan besar dalam bidang masing-masing.
Namun, kecemerlangan yang diraikan bukan sekadar diukur melalui kejayaan peribadi atau pengiktirafan yang diraih.
Lebih penting ialah bagaimana kejayaan tersebut dimanfaatkan untuk membuka peluang, membawa perubahan positif dan menjadi inspirasi kepada masyarakat.
Selain Anugerah Jauhari, BH turut menyampaikan Anugerah Jauhari Harapan bagi mengiktiraf individu Melayu/Islam berusia 30 tahun dan ke bawah yang menunjukkan pencapaian luar biasa, potensi besar dan semangat menyumbang kepada masyarakat.
Anugerah Jauhari 2026 turut mencatat satu perkembangan penting dengan pengenalan kategori baru, Anugerah BH-Maybank Perkasa, hasil kerjasama BH dengan Maybank selaku penaja utama.
Berbeza daripada Anugerah Jauhari dan Jauhari Harapan yang menekankan kecemerlangan serta kepimpinan, anugerah baru itu mengangkat kisah ketabahan dan mobiliti sosial.
Ia mengiktiraf dua warga Singapura, tanpa mengira kaum, yang berjaya mengatasi cabaran sosioekonomi dan memperbaiki taraf kehidupan melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan atau usaha berdikari.
Anugerah itu sekali gus membawa mesej bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan kelebihan atau peluang yang sama rata.
Sebaliknya, kecekalan, kesungguhan dan keberanian untuk bangkit daripada kesukaran juga wajar diberikan penghormatan.
Tahun ini, penerima anugerah dipilih oleh panel enam pengadil, yang dipengerusi bersama oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.
Pemilihan dibuat daripada pencalonan orang ramai yang dibuka dari 22 Julai hingga 18 Ogos lalu.
Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi, turut menyertai panel penilai edisi kali ini, bersama beberapa tokoh daripada sektor akademik dan masyarakat iaitu Dr Intan Azura Mokhtar, Dr Norshahril Saat dan Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja penyertaan, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bertindak sebagai rakan masyarakat.
Penganjuran Anugerah Jauhari 2026 juga membawa makna istimewa sedang BH menuju sambutan ulang tahunnya yang ke-70 pada 2027, bertemakan ‘Kisah Kita’.
Encik Nazry berkata selama hampir tujuh dekad, BH bukan sahaja merakam perjalanan masyarakat Melayu/Islam, malah turut meraikan individu yang membentuk sejarah, mencetus perubahan dan membuka laluan kepada generasi seterusnya.
Malam ini, satu lagi lembaran kisah kecemerlangan dan kecekalan bakal tercatat.
Siapakah yang bakal menerima penghormatan tersebut?