Perkataan mustahil seperti tidak wujud dalam kamus peribadi Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan.
Sejak menggalas jawatan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada September 2024, beliau menetapkan misi peribadi untuk bertemu semua anggota di bawah kerahannya dalam masa terdekat.
Ini sesuatu yang secara dasarnya agak mustahil untuk dikecapi dalam tempoh masa singkat, memandangkan beliau bertanggungjawab ke atas lebih 10,000 anggota merentasi formasi berbeza dalam divisyen yang diketuainya.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di markas 9 Div di Kem Selarang, pegawai tentera berusia 46 tahun itu berkata:
“Saya ingin bertemu semua anggota, tetapi ia akan mengambil lebih kurang tujuh tahun, jadi (secara realistik) saya tidak dapat melakukannya.
“Saya (kemudian) bertemu setiap anggota infantri dalam kumpulan kecil… dan kini telah selesai pusingan pertama bertemu hampir semua anggota infantri dalam kumpulan kecil sebegini.”
Beliau menetapkan misi peribadi ini kerana baginya, adalah penting untuk “memperoleh sentimen terhadap divisyen yang diketuai” dan para anggota di bawah kerahannya.
“Adalah penting saya sentiasa berada di lapangan untuk memahami apa yang berlaku dan bagaimana saya dapat menyumbang serta membantu para anggota, sambil memperkukuhkan lagi keupayaan formasi berkenaan,” tambah pegawai tentera berbadan tegap dan berkulit sawo matang itu.
Ini di samping memberi peluang kepada para anggota untuk mengenali dirinya secara individu demi membina kepercayaan dalam kalangan mereka, katanya.
BG Fairoz merupakan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 pada 7 November dalam majlis gilang-gemilang di Hotel Four Seasons.
Anugerah itu disampaikan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Ini merupakan tahun ke-27 BH menyampaikan anugerah penuh berprestij itu kepada individu cemerlang.
Majlis anugerah kali ini ditaja OCBC (penaja utama) di samping MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan NETS.
BG Fairoz merupakan individu Melayu/Islam kedua yang menyandang pangkat BG selepas BG Ishak Ismail, bersara pada 2011.
Dalam pada itu, satu lagi anugerah, iaitu Anugerah Jauhari Harapan, turut disampaikan kepada pengasas bersama kolektif penulis muda Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria.
Sementara itu, BG Fairoz, anak bongsu dua beradik, menjelaskan sistem sokongan dan kepercayaan menjadi etos yang dipegang teguh olehnya sejak menabur bakti bersama SAF selama hampir 30 tahun.
Beliau berkata etos tersebut diterapkan oleh ibu bapanya selepas menjadi anak pertama dalam keluarga yang menceburi bidang ketenteraan sebagai laluan kerjaya sepenuh masa.
“Apabila anda benar-benar meletakkan kepercayaan kepada seseorang, anda harus memberikan sokongan (yang sewajarnya).
“Anda harus percaya individu sedemikian ingin melakukan yang terbaik dan apa yang perlu anda lakukan adalah untuk berada di samping mereka dan memberi sokongan (yang diperlukan).
“Kadangkala, itu yang mereka sebenarnya perlukan – seseorang untuk berada di samping mereka, membimbing mereka dan memberi kepercayaan untuk mereka lakukan (tugasan) sebaik mungkin,” ujarnya.
Menyingkap kehidupan tatkala dewasa, BG Fairoz berkata beliau dibesarkan dalam suasana kehidupan penuh sederhana tatkala menetap di sebuah flat di kawasan Taman Jurong.
Bapanya, Encik Hassan Haron, 76 tahun, pernah bekerja di agensi air negara PUB, manakala ibunya, Cik Sukini Sajari, 77 tahun, merupakan suri rumah.
Beliau aktif dalam kegiatan sukan di peringkat sekolah dan pernah mewakili Institusi Raffles (RI) dalam pasukan bola sepak ketika menuntut di sana dari 1991 hingga 1994.
BG Fairoz berkata: “Saya tidak rasa cara saya dibesarkan unik. Saya meluangkan sebahagian besar waktu (ketika membesar) bermain sukan di sekolah, di kolong blok dan bertemu rakan-rakan di kawasan kejiranan.
“Secara peribadi, saya gemar bermain sukan dan menikmati pelbagai sukan berbeza – bukan hanya bola sepak semata-mata.
“Saya menyertai SAF bukan kerana saya gemar bersukan, tetapi saya ingin menyumbang sebagai anggota tentera dalam SAF.
“Persoalannya adalah sama ada anda mempunyai nilai yang betul untuk berada dalam tentera dan anda harus jelas tentang misi yang perlu dilaksanakan.”
Pengalaman dan nilai yang diterapkan sepanjang kerjayanya di SAF inilah, kata beliau, yang banyak melentur jati diri untuk menjadi seseorang yang rendah hati dan peka dengan orang lain.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa misi bantuan kemanusiaan tsunami di Banda Aceh pada 2005 dan menyertai operasi bantuan gempa bumi di Nepal pada 2015.
Namun di sebalik sumbangan tersebut, pengalaman yang masih terpahat dalam fikirannya adalah ketika menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Pemerintah (CO) 1 Singapore Guards, dari Mac 2012 hingga Februari 2015, ujarnya.
Ketika itu, beliau berkata setiap keputusan yang diambil menjejas sebahagian besar anggota dalam unitnya secara langsung.
“Saya bertanggungjawab bagi misi-misi tertentu dalam SAF serta melatih, mengekalkan dan mengembangkan unit kerahan.
“Saya juga harus memastikan saya membimbing anggota kerahan untuk menjadi individu yang lebih baik,” katanya.
Mentelah ini satu kepuasan tidak terhingga yang beliau rasakan setelah melihat perubahan dalam diri anggota – dari detik mereka memulakan Perkhidmatan Negara (NS) sebagai anggota baru, sehinggalah mereka tamat perkhidmatan selama dua tahun, kata BG Fairoz.
Beliau turut akur luar daripada bidang ketenteraan, anggota tentera – termasuk dirinya sendiri – menggalas peranan masing-masing sebagai seorang anak, ayah mahupun karyawan, antara lain.
Di sinilah beliau berkata prinsip peribadi, sifat sentiasa mempertingkatkan diri, perancangan dan pelaksanaan rancangan dengan baik harus berlaku seiringan.
Kesemua aspek ini termaktub dalam moto peribadi yang dipaparkan dalam profil LinkedIn beliau.
BG Fairoz menjelaskan hampir semua kandungan dalam profil itu ditulis oleh arwah isteri tercinta, Cik Dawn Lim.
Dengan kegirangan jelas terpancar di wajahnya, beliau menyifatkan arwah isterinya sebagai insan yang “mengenali dirinya dengan begitu baik dan adalah cerminan terhadap keperibadiannya”.
Beliau mengenali arwah menerusi kenalan dan sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun sebelum Allahyarhamha menyahut panggilan Ilahi pada awal 2025 kerana penyakit kronik yang menyerang secara mendadak.
BG Fairoz, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai penyakit yang membawa pada titik noktah hayat isterinya.
“Semasa hayatnya, arwah sentiasa hadir di sisi, jadi beliau begitu terlibat dalam setiap cebisan kehidupan saya.
“Dawn terus menyuntik inspirasi dalam diri dan saya ingin pastikan saya terus membanggakannya,” ujar beliau lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg