Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siswa SUTD cipta alat bermotor untuk lancarkan penggunaan kerusi roda

Sep 6, 2025 | 7:49 PM
Singapura, SUTD, kerusi roda, PushPal, Project STEM Up!
Siswa SUTD, (dari kiri) Encik Clarence Choong Qi Yuan, Encik Liu Yan Lin, Encik Luqman Hafiz Alwi, dan Encik Lai Mun Hei, merupakan antara anggota PushPal yang membangunkan prototaip alat bermotor untuk membantu mengurangkan beban fizikal pengguna kerusi roda. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Apabila tulang fibula kirinya retak akibat kecederaan semasa latihan bola sepak, Encik Luqman Hafiz Alwi, tidak boleh berjalan selama hampir dua bulan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Sebagai seorang belia aktif dan juga Presiden Kelab Bola sepak di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), pengalaman itu begitu menguji kesabarannya.

“Apabila saya cedera, baru saya sedar betapa sukarnya melakukan kegiatan seharian dengan mobiliti yang terhad. Perkara kecil seperti bergerak dari satu tempat ke satu tempat menjadi cabaran besar.

“Dari situ saya mula faham apa yang dilalui oleh mereka yang menggunakan kerusi roda setiap hari,” kongsi Encik Luqman, 22 tahun, siswa tahun pertama dalam kursus ijazah Sarjana Muda Sains Komputer & Reka Bentuk.

Pengalaman itulah yang mendorong Encik Luqman bersama lima rakan sekampus membangunkan PushPal, sebuah projek yang bertujuan menukar kerusi roda biasa menjadi kerusi roda bermotor.

PushPal adalah antara projek yang dipamerkan di reruai Project STEM Up! di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 6 September, di mana pengunjung berpeluang melihat bagaimana inovasi hasil kerja pelajar tempatan mampu memberi kesan besar kepada masyarakat.

Projek itu merupakan alat modular bermotor yang boleh dipasang kepada kerusi roda sedia ada bagi membantu mengurangkan beban fizikal pengguna, serta menjadikan pergerakan lebih lancar dan bebas.

Menurut Encik Luqman, alat bermotor tersebut membolehkan kerusi roda sedia ada menampung berat pengguna sehingga 100 kilogram, serta mampu mendaki cerun dan bergerak di pelbagai jenis permukaan.

“Visi kami adalah untuk menghasilkan sistem yang mampu milik, mudah digunakan dan boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis kerusi roda.

“Kami harap pengguna kerusi roda bukan sahaja dapat menjadi lebih berdikari, tetapi risiko kecederaan untuk mereka dan penjaga juga dapat dikurangkan,” jelas Encik Luqman.

Beliau dan rakan sekolahnya mengambil masa kira-kira seminggu untuk membangunkan prototaip alat bermotor itu.

Selain Encik Luqman, pasukan PushPal terdiri daripada Encik Liu Yan Lin, Encik Clarence Choong Qi Yuan, Encik Lai Mun Hei, serta Encik Aldiyar Pazilov dan Encik Muhammad Ali Danial (kededuanya tidak dapat hadir semasa acara itu).

Encik Luqman berkongsi bahawa prototaip tersebut turut tersenarai sebagai salah satu daripada 11 finalis dalam inisiatif inovasi sosial SUTD dipanggil ‘Create4Good Innovation Fund’.

Selain itu, PushPal juga menerima pembiayaan sebanyak $6,000 dari SUTD sebagai sebahagian projek pembiayaan ‘Baby Shark Fund’, yang menyokong syarikat pemula berpotensi memulakan langkah pertama mereka.

Menurut Encik Luqman, pasukannya sedang berusaha mendapatkan pelaburan daripada agensi perkhidmatan sosial golongan kurang upaya, SG Enable, bagi mengembangkan prototaip itu.

Pasukannya juga berhasrat bekerjasama dengan tarikan pelancong seperti Taman Haiwan Singapura dan Gardens by the Bay untuk menawarkan perkhidmatan penyewaan kerusi roda bermotor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg