Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Bidang Stem peluang bagi belia Melayu/Islam tangani isu harian

Sep 6, 2025 | 6:49 PM
 Bidang Stem, Faishal, Project Stem Up!
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), beramah mesra bersama hadirin semasa acara ‘Project Stem Up!’ di Anjung@Wisma Geylang Serai (WGS) pada 6 September. - Foto BM oleh KHALID BABA

Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) bukan sahaja membuka pelbagai laluan kerjaya masa depan, tetapi juga wadah untuk menggembleng belia Melayu/Islam agar menyumbang huraian inovatif dalam menangani isu kehidupan seharian seperti mobiliti warga emas, serta keperluan golongan kurang upaya.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa satu pesta berkenaan Stem pada 6 September.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM) semasa Project Stem Up! di Anjung @ Wisma Geylang Serai (WGS), Dr Faishal, berkata:

“Acara ini bukan sahaja menunjukkan kepada belia betapa relevan Stem dalam kehidupan harian, tetapi juga peluang yang tersedia dari segi kerjaya.

“Sebagai contoh, terdapat reruai yang menunjukkan projek berkenaan prostetik untuk membantu warga emas, projek berkaitan tanaman dan kehijauan, serta projek yang memudahkan penggunaan kerusi roda dengan memasang alat bermotor.

“Dengan memanfaatkan rangkaian M Kuasa Tiga (M³), ia membuka peluang bagi kami melibatkan pelbagai pertubuhan termasuk badan Melayu/Islam, bagi memberi kesan bukan sahaja kepada masyarakat kita, malah juga di peringkat nasional,” jelas Dr Faishal.

Acara itu, yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Geylang Serai, menampilkan sebanyak 10 reruai dari beberapa institut pengajian tinggi dan syarikat teknologi Google.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa penganjur, Cik Maria Zahid, Project Stem Up! dianjurkan dengan kerjasama persatuan Melayu/Islam daripada Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Cik Maria, seorang pakar sains di Frutti Sugar Pte Ltd, yang juga siswa sambilan Kejuruteraan Bioperubatan di SUSS, berkata tujuan projek itu adalah untuk memberi inspirasi kepada golongan muda menceburi bidang Stem pada masa depan.

“Kami ingin menunjukkan, terutamanya kepada masyarakat Melayu/Islam, bahawa sudah ada karyawan dalam bidang Stem, tetapi mungkin mereka tidak begitu menonjol,” ujarnya.

Semasa ucapan pembukaannya, Dr Faishal juga menyentuh tentang Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam yang diumumkannya pada 24 Ogos.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, serta Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, akan mengetuai pasukan petugas itu.

“Adalah penting untuk kita memberi ruang kepada belia kita untuk berkembang dan mencapai aspirasi mereka. Saya harap apa yang kita bina bersama masyarakat Melayu/Islam dapat menjadi ruang bagi belia untuk berkembang di negara ini.

“Dengan wujudnya pasukan petugas ini, saya harap dapat memperluaskan pendekatan kami agar lebih ramai belia dapat memperoleh ruang untuk mencapai aspirasi mereka.

“Dengan cara ini, mereka akan menyedari bahawa peluang sentiasa terbuka untuk mereka. Saya juga harap ia dapat menyediakan laluan bagi setiap individu dalam masyarakat kita untuk mencapai yang terbaik dalam kehidupan mereka, di setiap aspek kehidupan,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg