SP Group sumbang $700,000 kepada Care Corner, sokong penuaan aktif dan pengayaan kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SP Group sumbang $700,000 kepada Care Corner, sokong penuaan aktif dan pengayaan kanak-kanak

Jan 29, 2026 | 9:44 PM

SP Group sumbang $700,000 kepada Care Corner, sokong penuaan aktif dan pengayaan kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Saripah Ali (tengah),  antara kumpulan warga emas Generasi Perintis yang menyertai Program Pengurusan Kerapuhan (FMP) di bawah naungan Care Corner Singapore, yang baru-baru ini menerima sumbangan dana berjumlah $700,000 daripada SP Group.
Cik Saripah Ali (tengah), antara kumpulan warga emas Generasi Perintis yang menyertai Program Pengurusan Kerapuhan (FMP) di bawah naungan Care Corner Singapore, yang baru-baru ini menerima sumbangan dana berjumlah $700,000 daripada SP Group. - Foto SP GROUP

Pada usia 68 tahun, Cik Saripah Ali terus menjalani kehidupan yang bermakna dan berdikari, dibentuk oleh rutin harian yang sederhana seperti berjalan kaki di sekitar kejiranannya di Marsiling.

Selama dua kali seminggu, beliau juga pernah meluangkan masa bersama sekitar 30 warga emas lain di pusat penuaan aktif (AAC) di bawah naungan agensi perkhidmatan sosial, Care Corner Singapore, bagi menyertai sesi senaman yang bertujuan meningkatkan pergerakan, kekuatan dan keseimbangan tubuhnya.

Program itu merupakan antara aktiviti yang ditawarkan di bawah Program Pengurusan Kerapuhan (FMP) yang baru-baru ini menerima suntikan dana sebanyak $700,000 daripada syarikat utiliti, SP Group.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam bentuk cek pada 29 Januari dan disaksikan oleh Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee (Woodgrove), Cik Hany Soh.

Dana tersebut akan disalurkan menerusi Dana Masyarakat, menurut kenyataan bersama SP Group dan Care Corner.

Dengan sumbangan terbaru ini, ia menjadikan jumlah derma SP Group kepada Care Corner sepanjang tiga tahun lalu mencecah $1.4 juta.

Dalam ucapannya, Cik Soh berkata sumbangan sebegini menyediakan asas kukuh demi membina masa depan lebih sihat untuk semua generasi.

“Langkah proaktif yang diambil hari ini akan membantu warga emas kita menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

“Dengan menangani isu kerapuhan secara awal dan menyeluruh, kita memperkasa mereka untuk kekal aktif, berdikari serta terus terhubung dengan masyarakat,” kata Cik Soh.

Program FMP akan dilaksanakan di dua cawangan AAC, iaitu di Blk 569A, Champions Way (di Woodlands) dan Blk 16, Marsiling Lane.

Setiap program akan dijalankan secara percuma selama 12 minggu, dengan setiap kohort melibatkan sekitar 30 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Menurut kenyataan itu juga, program ini berasaskan data yang menunjukkan kejadian jatuh merupakan antara punca utama kecederaan dalam kalangan warga emas.

Sekitar satu pertiga individu berusia 60 tahun dan ke atas pernah terjatuh lebih daripada sekali, menurut platform penjagaan kesihatan digital nasional, HealthHub.

“Di Care Corner, kami percaya ia adalah penting untuk menghentikan kitaran kerapuhan dengan menyediakan ruang selamat agar warga emas dapat kekal aktif dan yakin untuk terus hidup berdikari.

“Menerusi FMP, kami membantu warga emas membina kekuatan melalui senaman mudah yang menggunakan pergerakan ringkas dan barangan harian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Care Corner Singapore, Encik Christian Chao.

Sesi berkumpulan yang dianjurkan di bawah program ini juga akan membantu mencegah pengasingan sosial dalam kalangan warga emas, dengan menggalakkan mereka keluar dari rumah dan berinteraksi secara aktif bersama masyarakat, tambah kenyataan itu lagi.

Melalui FMP, peserta turut menerima pek makanan berkhasiat secara berkala yang mengandungi sumber protein tinggi yang penting bagi pembinaan otot, kesihatan tulang dan tahap tenaga harian.

Selain warga emas, Care Corner Singapore juga menyokong golongan belia dan kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 14 tahun.

Dengan itu, sumbangan tersebut juga akan disalurkan bagi menyokong inisiatif bagi kanak-kanak di Pusat Penjagaan Pelajar Care Corner, yang membantu pelajar dari segi akademik, aktiviti pengayaan serta penyediaan makanan berkhasiat.

Cik Nuraeezan Safie, 42 tahun, yang telah menghantar kedua-dua anak perempuannya ke pusat penjagaan tersebut, berkata pengalaman di Care Corner memberi kesan positif kepada perkembangan menyeluruh anak-anaknya.

“Bukan sahaja dari segi pelajaran, malah anak-anak saya lebih yakin, berdikari dan seronok belajar melalui pelbagai aktiviti yang disediakan. Saya rasa lebih tenang kerana mereka dijaga dengan baik selepas waktu sekolah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg