Anjur acara persiapan Ramadan untuk warga emas dan penjaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjur acara persiapan Ramadan untuk warga emas dan penjaga

Masjid Al-Muttaqin mahu menyantuni keresahan seperti persoalan puasa dan solat, kesihatan dan sebagainya
Jan 24, 2026 | 5:30 AM

Anjur acara persiapan Ramadan untuk warga emas dan penjaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
(Duduk di atas pentas, dari kiri) Cik Mariam Masood, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, Dr Norisham Main dan Cik Faiza Sanip sebagai tetamu jemputan ‘Santunan Emas’ Edisi Khas Ramadan di Masjid Al-Muttaqin pada Februari 2025. 
(Duduk di atas pentas, dari kiri) Cik Mariam Masood, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, Dr Norisham Main dan Cik Faiza Sanip sebagai tetamu jemputan ‘Santunan Emas’ Edisi Khas Ramadan di Masjid Al-Muttaqin pada Februari 2025.  - Foto MASJID AL-MUTTAQIN

“Kalau doktor kata jangan, adakah saya berdosa kerana tidak puasa?” dan “Kalau saya tak mampu puasa, apakah pilihan saya?”

Begitulah antara dilema warga emas yang masih bersemangat mahu menunaikan salah satu rukun Islam walau terbatas oleh kesihatan menjelang bulan Ramadan.

Menurut Ketua, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Khidir Ibrahim:

“Untuk warga emas dan penjaga mereka, menyambut Ramadan bukan sekadar menyusun menu sahur atau jadual tarawih, malah ia datang bersama pelbagai keresahan seperti persoalan puasa dan kesihatan, persoalan solat jika pergerakan terbatas dan sebagainya.”

Bagi menjawab persoalan ini dengan lebih dekat, Masjid Al-Muttaqin akan menganjurkan satu acara Roadshow ‘Santunan Emas’ yang akan diadakan di Masjid Darul Ghufran pada Sabtu, 31 Januari 2026, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Ia bukan sekadar sebuah acara, bahkan ruang bagi masyarakat menguatkan hati dan memantapkan persediaan Ramadan. Allah swt mengingatkan bahawa ibadah itu jalan takwa, ‘diwajibkan ke atas kamu berpuasa…agar kamu bertakwa’ (Surah al-Baqarah: 183), dan pada masa yang sama, Allah swt tidak membebani seseorang melampaui kemampuannya,” terang Ustaz Khidir.

Maka, persiapan terbaik ialah membina takwa dengan ilmu, bukan memaksa diri hingga hilang ketenangan.

Menjaga Amanah Tubuh

Ustaz Khidir menasihati, bagi warga emas yang ada penyakit kronik, perlu ubat mengikut jadual, atau berisiko dehidrasi, nasihat doktor adalah sebahagian daripada ikhtiar.

Tambahnya,: “Mendengar pandangan doktor bukan bermaksud ‘kurang iman’, tetapi tanda kita menjaga amanah tubuh, supaya ibadah dilakukan dengan selamat dan yakin. Islam juga tidak menutup jalan bagi mereka yang benar-benar tidak mampu berpuasa.”

Allah swt sudah menegaskan bahawa keringanan untuk orang yang sakit dan musafir, iaitu mengganti pada hari yang lain, dan menyebut tentang fidyah bagi mereka yang tidak mampu.

Kata Ustaz Khidir lagi, ini bukan bererti kita mengambil jalan mudah, tetapi rahmah yang Allah swt sediakan supaya hati orang beriman tidak tenggelam dalam rasa bersalah.

Dalam konteks warga emas, memahami pilihan syarak ini adalah satu bentuk persediaan Ramadan yang besar, kerana ia membina ketenangan: ibadah tetap dilaksanakan, pahala tetap diberikan, dan Allah swt tetap dekat.

Jaga Solat Cara Sah dan Mampu

Bagi sebahagian warga emas, cabaran Ramadan bukan hanya pada puasa, malah pada menjaga solat dalam keadaan serba terbatas.

Terang Ustaz Khidir:

“Ada yang risau jika menunggu solat seterusnya, mereka akan terlupa. Ada yang takut berada dalam keadaan tidak suci kerana keuzuran, lalu hidup dalam kebimbangan yang berterusan. Sedangkan Allah memerintahkan kita menjaga solat,

“Peliharalah segala solat...” (Surah al-Baqarah: 238), dan pada masa yang sama, Allah menegaskan bahawa Dia menghendaki kemudahan, bukan kesukaran (Surah al-Baqarah: 185). Malah, Allah berfirman bahawa Dia tidak menjadikan dalam agama ini kesempitan yang memayahkan (Surah al-Hajj: 78).”

Inilah semangat yang ingin dibawa: bukan menambah takut, malah membina keyakinan agar solat tetap terjaga dengan cara yang sah dan mampu.

Program ‘Santunan Emas’

‘Santunan Emas’ telah berjalan selama lebih satu tahun bermula 2 Oktober 2024. Program ini menggabungkan pembelajaran dan kegiatan fizikal yang sesuai untuk warga emas dan penjaga (caregiver) mereka.

Komponen pembelajaran diperkukuh melalui kuliah oleh Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram menggunakan buku 300 Hadith Bimbingan. Ini selari dengan seruan Al-Quran agar kita sentiasa saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran.

Diharapkan tempat berlangsung acara di Masjid Darul Ghufran di bahagian timur Singapura, dapat memikat lebih ramai warga emas dan penjaga mengenali ‘Santunan Emas’, termasuk program serta sumber yang disediakan melalui laman web untuk dimanfaatkan bila-bila sahaja.

Pada masa yang sama, Masjid Al-Muttaqin juga menjalankan usaha kutipan dana bagi merealisasikan pelancaran Hospital Care Kits pada suku keempat 2026.

“Hasrat ini lahir daripada kesedaran bahawa ujian sakit sering datang bersama beban emosi dan kewangan, bukan hanya kepada pesakit,bahkan penjaga. Hospital Care Kits ini diharap dapat memberi manfaat dalam pelbagai suasana rawatan seperti hospis, rumah jagaan, dan hospital,” terang Ustaz Khidir lagi.

Untuk keterangan lanjut mengenai acara ‘Santunan Emas’ di Masjid Darul Ghufran pada Sabtu, 31 Januari 2026, sila hubungi Masjid Al-Muttaqin di talian  6454 7472.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg