Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP PAP beri jaminan keperluan penduduk kekal dijaga meski sempadan GE2025 berubah

Parti kekal fokus berkhidmat kepada semua warga S’pura
Mar 12, 2025 | 4:49 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, bertemu media semasa pembukaan rasmi Rainforest Wild Asia pada 12 Mac, dan mengulas tentang perubahan sempadan kepada Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua di Jurong.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, bertemu media semasa pembukaan rasmi Rainforest Wild Asia pada 12 Mac, dan mengulas tentang perubahan sempadan kepada Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua di Jurong. - Foto ST

Perubahan sempadan kepada Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua di Jurong sudah dijangkakan kerana ia merupakan estet matang dengan bilangan pengundi yang semakin berkurangan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) kawasan itu, pada 12 Mac.

“Saya menjangkakan perubahan sempadan akan berlaku di Yuhua kerana, Yuhua seperti yang anda tahu, sebenarnya adalah SMC terkecil dan kerana ia adalah kawasan yang agak matang, bilangan pengundi sebenarnya telah menurun,” kata Cik Fu.

“Sebaliknya… di seberang lebuh raya, bandar di Bukit Batok West sebenarnya berkembang dengan cepat,” tambahnya.

Pada 11 Mac, Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) telah mengumumkan beberapa perubahan pada sempadan kawasan undi.

Ini termasuk sebahagian SMC Yuhua yang akan bergabung dengan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Jurong, SMC Bukit Batok dan SMC Hong Kah North, bagi membentuk GRC Jurong East-Bukit Batok baru.

SMC Yuhua mempunyai kiraan pengundi terendah iaitu 20,525 dalam kalangan SMC.

Ditanya sama ada beliau akan menjadi menteri utama untuk GRC baru itu, yang pada masa ini tidak mempunyai menteri utama, Cik Fu berkata: “Itu adalah keputusan yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri.”

Menteri utama GRC Jurong ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang mewakili kawasan itu selama lebih dua dekad semasa beliau menjadi AP, sehingga beliau berundur pada 2023 untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

“Saya berharap dapat bertanding jika beliau fikir saya mempunyai sesuatu untuk ditawarkan pada pilihan raya akan datang, dan jika saya diketengahkan, saya berharap untuk kekal di tempat yang saya sudah terbiasa, iaitu di Yuhua,” tambah Cik Fu.

Cik Fu bercakap kepada media semasa pembukaan rasmi Rainforest Wild Asia – taman hidupan liar kelima Singapura -– yang mana beliau merupakan tetamu terhormat.

Seorang lagi AP yang GRC-nya terjejas disebabkan perubahan demografik penduduk ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Encik Ong berkongsi di media sosial bahawa perubahan utama bagi GRC Sembawang ialah daripada GRC lima orang kini, ia akan menjadi GRC lima orang ditambah SMC baru, iaitu Sembawang West.

“Perubahan itu tidak mengejutkan, kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai penduduk telah berpindah ke GRC Sembawang dan jumlah penduduk telah berkembang dengan ketara.

“Menambah bilangan AP daripada lima kepada enam orang di kawasan ini akan membantu memenuhi keperluan penduduk kita dengan lebih baik,” kata Encik Ong.

Beliau menegaskan SMC Sembawang West yang baru akan terus menjadi sebahagian keluarga Sembawang, dengan rancangan naik taraf dan pembangunannya terus menjadi sebahagian rancangan GRC dan pembangunan bandar.

“Sebagai sebuah SMC, ia akan mempunyai lebih autonomi dan fleksibiliti untuk melaksanakan inisiatif bagi menangani keperluan khusus penduduknya,” tambahnya.

Beberapa AP lain yang turut terjejas oleh perubahan yang diumumkan EBRC itu juga telah memberi jaminan kepada penduduk masing-masing bahawa keperluan mereka akan tetap terjaga dengan baik.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata di media sosial:

“Walaupun sempadan mungkin berubah, saya ingin memberi jaminan kepada penduduk kami di Joo Chiat bahawa komitmen kami untuk berkhidmat kepada penduduk kekal tidak berubah, dan kami akan terus bekerja keras untuk memastikan Joo Chiat... sebuah masyarakat yang bertenaga untuk semua.”

Di bawah perubahan terkini, Joo Chiat dijadikan sebahagian GRC East Coast pada pilihan raya akan datang.

Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pula memberi jaminan kepada penduduk Pasir Ris dan Punggol bahawa “komitmen kuat kami untuk berkhidmat kepada anda diteruskan”.

“Pasukan kami telah bekerjasama dengan anda selama bertahun-tahun lamanya, membina pembangunan baru yang menarik di Punggol dan memperbaharui serta menghidupkan semula Pasir Ris dengan banyak kemudahan baru.

“Kami juga mengalu-alukan penduduk kami dari Changi. Kami akan memastikan semua penduduk kami dijaga dengan baik. Pasukan kami komited untuk bekerjasama dengan semua penduduk kami di Pasir Ris, Punggol dan Changi, untuk membina rumah dan masa depan lebih baik untuk kita semua,” kata Encik Teo.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 11 Mac, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata ia kekal fokus berkhidmat kepada semua warga Singapura.

“Penduduk boleh terus mendapatkan bantuan daripada cawangan PAP sedia ada mereka.

“Cawangan PAP akan terus bekerjasama rapat dengan penduduk – mendengar maklum balas mereka, memahami keperluan mereka dan bertindak bagi pihak mereka untuk meningkatkan masyarakat kita,” tambah kenyataan itu.

“Saya menjangkakan perubahan sempadan akan berlaku di Yuhua kerana, Yuhua seperti yang anda tahu, sebenarnya adalah SMC terkecil dan kerana ia adalah kawasan yang agak matang, bilangan pengundi sebenarnya telah menurun. Sebaliknya… di seberang lebuh raya, bandar di Bukit Batok West sebenarnya berkembang dengan cepat.”
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) SMC Yuhua.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg