Singapura dan Malaysia telah mencalonkan perarakan Chingay bagi Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), pada 27 Mac.
Ini merupakan pencalonan Unesco ketiga bagi Singapura, selepas budaya penjaja yang disenaraikan pada 2020 dan kebaya yang merupakan pencalonan bersama Brunei, Malaysia, Indonesia dan Thailand diiktiraf pada 2024.
Pencalonan bersama bagi Chingay ini dibuat pada 27 Mac, dengan Malaysia meraikan perarakan itu sebagai sebahagian warisan yang dikongsi kededua negara, dan menyatukan masyarakat berbilang kaum merentasi sempadan, kata Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) dan Persatuan Rakyat (PA), dalam satu kenyataan pada 7 April.
Hari ini, perarakan Chingay merupakan pesta jalanan yang meriah dan berwarna-warni dengan kereta berhias dan kumpulan penghibur dan penggiat seni yang menarik perhatian generasi muda mahupun tua.
Perarakan masih aktif dijalankan di Singapura, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Pencalonan itu juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia, yang diraikan pada 2025.
Di Singapura, penyertaan rasmi itu disusuli dengan persiapan selama lapan bulan.
NHB dan PA melibatkan penyertaan kumpulan kemasyarakatan serta penggiat, sukarelawan dan wakil setempat daripada persatuan kebudayaan.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuk sesi perbincangan kumpulan fokus bersama sekitar 90 pihak berkepentingan Chingay seperti sukarelawan, jurutari, kumpulan seni dan tarian serta seniman masyarakat, bagi mendapatkan pandangan dan maklumat berkaitan kepentingan sosial dan budaya Chingay serta langkah perlindungan yang dicadangkan.
NHB dan PA turut melancarkan sebuah laman mikro untuk orang ramai melahirkan sokongan.
Laman itu menerima lebih 2,000 pesanan setakat ini, bersama kempen digital #ChingaySG yang mengumpulkan lebih 5,500 hantaran daripada mereka yang berkongsi pengalaman mereka dalam perarakan tersebut.
Orang awam turut menyumbang lebih 30,000 kad bagi menyuarakan sokongan mereka terhadap pencalonan itu.
Dua bengkel bersama telah diadakan di Singapura dan Johor Bahru bagi penduduk kedua-dua negara melakar dokumen pencalonan tersebut.
“Kami berharap pencalonan dan usaha seperti ini akan terus memperkukuh rasa bangga terhadap warisan hidup berbilang budaya kita, sekali gus memastikan ia kekal relevan bagi rakyat Singapura merentasi generasi,” kata Ketua Eksekutif NHB, Cik Chang Hwee Nee.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif PA, Encik Jimmy Toh, berkata selepas lebih 50 edisi perarakan Chingay, Singapura akan terus meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya itu, khususnya dalam kalangan generasi muda, menerusi program jangkauan awam, pameran bergerak dan pameran khas.
Salah satu usaha tersebut ialah acara PAssionArts x Chingay Community Floats yang diadakan antara Oktober dengan Disember 2024, dan orang awam turut serta dalam penciptaan perarakan kenderaan hiasan bagi Chingay 2025.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, lebih banyak acara dirancang, termasuk pameran bergerak Chingay di lebih 30 lokasi dan pertandingan mereka bentuk setem.
Fail pencalonan yang dikemukakan kepada Unesco turut merangkumi dua video yang memaparkan kenyataan, persetujuan dan sokongan daripada wakil masyarakat Singapura dan Malaysia, serta sebuah video sepanjang 10 minit yang menerangkan bagaimana Chingay diamalkan dan dipelihara di kedua-dua negara.
Unesco akan menilai pencalonan itu berdasarkan beberapa kriteria, termasuk penglibatan masyarakat dalam proses pencalonan, serta penyenaraian Chingay dalam inventori ICH negara-negara yang terlibat.
Tempoh penilaian bergantung kepada jumlah fail pencalonan yang diterima Unesco, dan selepas itu sekretariat akan memaklumkan tahun pengumuman keputusan kepada semua negara yang mengambil bahagian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg