Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuara belia lakar hala tuju OMGxBH
Peserta turut bincang topik menarik bagi golongan muda, identiti sesuai bagi wadah digital
Suara belia lakar hala tuju OMGxBH
Sekitar 40 peserta telah menyertai sesi perbincangan kumpulan fokus di SPH Media pada 16 September sebagai sebahagian daripada usaha Berita Harian (BH) untuk memperbaharui kandungan dalam wadah digital khas untuk belia, Orang Muda Gitew (OMG).
Acara yang dianjurkan di Auditorium SPH Media di Toa Payoh North itu disertai oleh peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IHL) serta golongan muda yang bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, kewangan, media dan perkhidmatan sosial.
Dalam sesi selama 90 minit itu, mereka berkongsi pandangan mengenai jenis kandungan, format dan gaya penyampaian yang mereka gemari atau yang kurang mereka minati di media sosial.
Berpandukan seorang pemudah cara, perbincangan itu turut mendalami sudut editorial, identiti visual dan jenis penceritaan yang boleh diterapkan dalam wadah tersebut.
Selain itu, mereka turut membincangkan tentang topik yang dapat menarik perhatian golongan muda, serta identiti yang sesuai bagi OMG.
Dalam satu kegiatan berkumpulan, peserta diminta melukis objek, haiwan atau watak yang dirasakan mewakili kedua-dua wadah, BH dan OMG, sebelum menjelaskan pilihan masing-masing.
Perbincangan itu turut menyentuh pendekatan OMG yang menggunakan gaya penyampaian santai serta penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris dalam kandungannya.
