Hampir 100,000 bendera Singapura telah diberikan secara percuma oleh Shopee, dan tarikh akhir untuk mendapatkan bendera tersebut telah dilanjutkan sehingga 11.59 malam pada 29 Julai, atau selagi stok masih ada.
Pelanjutan itu dibuat susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, kata platform beli-belah dalam talian itu dalam satu kenyataan pada 21 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Inisiatif itu, yang dikenali sebagai ‘Fly Our Flag’ atau ‘Kibarkan Bendera Kita’, merupakan kerjasama dengan penganjur Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).
Ia pada asalnya dijadual berakhir pada 11.59 pagi pada 15 Julai, atau selagi stok masih ada, menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 27 Jun.
Orang ramai digalakkan mempamerkan bendera kebangsaan sepanjang tempoh sambutan Hari Kebangsaan antara 1 Julai dengan 30 September, kata MCCY sebelum ini.
Pada tempoh itu, peraturan mempamerkan dan mengibarkan bendera dilonggarkan.
Bendera boleh dikibarkan tanpa tiang bendera dan tidak perlu disuluh pada waktu malam.
Bendera juga boleh dipamerkan di pejabat, bangunan dan kediaman.
Bendera kebangsaan harus dihormati dan digunakan dengan cara yang “wajar dan bermaruah”, manakala bendera yang koyak atau lusuh tidak sepatutnya dipamerkan, menurut kenyataan MCCY.
Shopee juga akan menyertai perbarisan buat kali pertama dengan kontingen perarakan, sempena ulang tahun ke-10 syarikat itu di Singapura.
Untuk mendapatkan bendera, kunjungi https://shopee.sg/ndp-2025-flyourflag, log masuk dengan Singpass dan pilih penghantaran dengan bayaran atau ambil di lebih 3,000 tempat pengambilan secara percuma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg