Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio.
Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 19 Jun.
Rapat Hari Kebangsaan sering dilihat sebagai ucapan politik tahunan paling penting kerana ia melibatkan perubahan dasar pemerintah, selain lakaran hala tuju Singapura.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan pertamanya pada 2024, Encik Wong memulakan ucapan dalam bahasa Melayu (pada 6.45 petang), diikuti bahasa Mandarin dan seterusnya bahasa Inggeris pada 8 malam.
Semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024, beliau mengumumkan pelbagai inisiatif, seperti skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) yang dinaikkan kepada 10 minggu.
Di samping itu, beliau mengumumkan skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture bagi memberi bantuan kewangan sementara kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.
Skim perumahan yang lebih baik bagi pasangan, golongan bujang dan warga emas turut diperkenalkan, lapor The Straits Times (ST).
Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut mendedahkan pelaksanaan Pelan Induk Kallang Alive.
Menurutnya, atlet kebangsaan akan mendapat rumah baru yang dipanggil ‘Home of Team Singapore’ di Hab Sukan Singapura di bawah pelan induk tersebut, yang akan merangkumi kemudahan di bawah satu bumbung bagi menyokong aspirasi dan kecemerlangan sukan atlet negara.
Selain itu, beliau berkongsi bahawa rancangan sedang dibuat untuk melakar semula keseluruhan persisiran pantai sepanjang 120 kilometer di selatan Singapura iaitu dari Terminal Pasir Panjang hingga ke Terminal Feri Tanah Merah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg