Menabur bakti kepada orang lain mungkin telah lama sebati dengan jiwa Cik Dayana Shahirah Ridwan.
Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Cik Dayana menyaksikan wajah ceria ibu bapanya, kededuanya sukarelawan di Masjid Al-Istiqamah, menyiapkan juadah berbuka puasa untuk jemaah.
Kemudian, beliau akan menemani ibunya, Cik Nooraisah Peer Mohd, dan bapanya, Encik Ridwan Abdul Razak ke masjid untuk mengagihkan makanan itu dan bergotong-royong bersama relawan lain untuk membuat persiapan untuk berbuka.
“Walaupun masih kecil, saya dapat lihat betapa bahagianya ibu bapa saya apabila mereka siapkan makanan dengan sukarelawan lain di masjid.
“Saya pun nak ikut sibuk juga, lihat mereka bungkus makanan, saya pun nak bungkus walaupun saya tak tahu macam mana,” kongsi Cik Dayana semasa Berita Harian (BH) melawat ke rumahnya yang terletak di Bayview, Sumang Walk, Punggol.
Kini, Cik Dayana berusia 38 tahun dan ibu kepada tiga anak, iaitu Mohamad Dhaffir Rafael Mohamad Ridhwan, sembilan tahun; serta kembar berusia empat tahun, Mikayla Sabira Mohamad Ridhwan; dan Mikayla Nazra Mohamad Ridhwan.
Beliau akur ada keinginan untuk meneruskan usaha menabur bakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama, ingin mengajar anak-anaknya peri penting berbuat demikian.
Justeru, sejak 2022, Cik Dayana memulakan projek ‘Bites of Kindness’ sempena Ramadan yang bermatlamat untuk menyediakan bungkusan makanan dan mengagihkannya kepada pekerja penghantaran dan penduduk di estet kejiranannya di Punggol.
Berbekal bajet yang terhad - sekitar $20-$80 - beliau dan sekumpulan enam hingga 10 wanita yang menggelar diri mereka ‘Bayview Sisters’ akan menyediakan sekurang-kurangnya 30 bungkusan makanan ‘mudah’ seperti nasi goreng atau mi goreng, minuman paket dan makanan pencuci mulut pada setiap minggu sepanjang Ramadan.
Anak-anak wanita dalam kumpulan itu, ditugaskan untuk mengagih-agihkan makanan kepada pekerja penghantaran dan orang yang lalu-lalang di hadapan Domino’s Pizza di 322 Sumang Walk.
Di luar dugaan Cik Dayana, usaha itu mendapat sambutan baik daripada penduduk dan kini menjangkau tahun ketiga beliau melakukannya.
Tahun ini, beliau mengumpulkan 10 wanita berbilang bangsa dan agama, serta anak-anak mereka untuk menyokong usaha ini.
“Sebenarnya saya mulakan usaha ini dengan menghantar kiriman WhatsApp sahaja di kumpulan ‘flea market’ (pasar lambak) di estet Bayview, sekadar nak tanya jika sesiapa berminat menyediakan makanan untuk penghantar makanan Domino’s.
“Tak sangka pula maklum balas yang diterima amat memberangsangkan. Ada yang masak lebih, ada yang sampai kirim saya wang untuk beli mi segera atau roti,” kata beliau.
Malah, Cik Dayana berkata anak-anaknya kini kerap bertanya sama ada mereka dibenarkan mengagih makanan di luar Domino’s lagi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, beliau berkongsi bahawa seorang wanita Cina, dalam lingkungan usia 50-an, pernah memberinya $50 menerusi wadah PayNow kepadanya.
Wanita itu berkata: “Saya mungkin tidak dapat meluangkan masa untuk agih makanan bersama anda, tetapi ini sedikit wang, belilah apa yang patut.”
Beliau begitu terharu dengan perbuatan wanita itu, kata Cik Dayana, yang menambah pengalaman itu mengingatkan dirinya bahawa manusia itu baik hati dan sering ingin menghulurkan bantuan jika diberi peluang.
“Mungkin kita tidak tahu beban yang dipikul seseorang itu, ada yang perlukan pertolongan tetapi tidak ingin meminta. Namun, apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menghulurkan bantuan seadanya,” ujar Cik Dayana.
“
“Mungkin kita tidak tahu beban yang dipikul seseorang itu, ada yang perlukan pertolongan tetapi tidak ingin meminta. Namun, apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menghulurkan bantuan seadanya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg