Urus kepercayaan asatizah, masyarakat; sambil usaha tangani cabaran baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Urus kepercayaan asatizah, masyarakat; sambil usaha tangani cabaran baru

Dalam podcast BHerbual, pengerusi lama dan baru ARB, Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Nor Razak bincang bagaimana ARB bentuk hala tuju asatizah dalam era digital, AI, dunia semakin rumit
Dec 8, 2025 | 6:05 PM

Urus kepercayaan asatizah, masyarakat; sambil usaha tangani cabaran baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ustaz Pasuni Maulan, ARB, Ustaz Nor Razak
Setelah 18 tahun berkhidmat sebagai pengerusi, Ustaz Pasuni Maulan (kiri) menyerahkan tampuk kepimpinan ARB kepada Ustaz Nor Razak Bakar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dalam ekosistem kehidupan beragama masyarakat Islam Singapura, Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) muncul sebagai institusi penting yang bukan sahaja menilai kelayakan guru agama, malah memastikan mereka mampu membimbing masyarakat dalam dunia yang semakin kompleks dan pesat berubah.

Dalam rakaman podcast BHerbual, Berita Harian, kedua-dua tokoh utama ARB – mantan pengerusi Ustaz Pasuni Maulan dan pengerusi baru Ustaz Nor Razak Bakar – menekankan satu mesej penting: ketika dunia yang kian tidak menentu dan bergolak semakin mempengaruhi cara masyarakat memahami kehidupan beragama, komitmen ARB ialah untuk menyokong usaha memperkasa asatizah secara berterusan.

“Keadaan berubah. Dan para pendidik, asatizah, mesti dapat menyesuaikan dengan perubahan tersebut,” kata Ustaz Pasuni, sambil menggariskan peri penting latihan berterusan bagi asatizah.

Dalam pada itu, mengimbau sejarah pembentukan ARB, Ustaz Pasuni menjelaskan bahawa pada 1990-an dan awal 2000-an, masyarakat berdepan kes guru agama tidak bertauliah, ajaran sesat, malah kes perkahwinan tidak sah termasuk fenomena “nikah batin”.

“Ramai yang mengajar tanpa kelayakan dan mengambil kesempatan. Ada yang mengajar sambil memuaskan hawa nafsu. ARB ditubuhkan untuk menapis mereka yang layak supaya masyarakat tidak keliru dan tidak berpecah,” katanya.

Beliau menambah bahawa tanpa satu sistem pengiktirafan, masyarakat akan mudah terpengaruh dengan aliran luar yang mungkin keras, ekstrem atau tidak sesuai dengan konteks setempat.

Asatizah yang sebahagian besarnya juga berkelulusan dari universiti luar negara perlu dibenteng daripada pengaruh tersebut yang tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat majmuk di Singapura.

“Hari ini, kita lihat banyak mazhab dan ideologi berbeza tersebar di media sosial. Masyarakat mesti bijak menilai, bukan telan bulat-bulat. Itu sebabnya ARB penting untuk memberi kepastian,” ujar beliau.

-

Bina generasi asatizah yang relevan, responsif

Bagi Ustaz Nor Razak, cabaran utama hari ini bukan sahaja kelayakan, malah akauntabiliti dan kecekapan berterusan.

Ini kerana asatizah kini berdepan pelbagai isu mengenai kecerdasan buatan (AI), deepfake, bioetika, kesihatan mental, identiti dan isu sosial yang rumit.

“Kami mahu cuba membekalkan mereka dengan ilmu semasa agar dapat membimbing masyarakat secara bertanggungjawab,” kata beliau.

Justeru memperkukuh latihan berterusan akan menjadi tumpuan beliau sebagai pengerusi dan ARB, katanya, akan meningkatkan portal pembelajaran bagi asatizah yang menjadi sistem pengurusan pembelajaran terpusat.

Portal tersebut menurut Ustaz Nor Razak, 59 tahun, yang bertugas sebagai pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), membolehkan asatizah mengikuti kursus dan program mengikut rentak keupayaan mereka.

“Kami mempunyai 127 kursus dalam penggal sebelum ini, dan matlamatnya ialah untuk terus memantau apa lagi kemahiran yang diperlukan asatizah kita hari ini.

“Pendekatan pembelajaran secara fleksibel menerusi portal ini diharapkan dapat mempermudahkan asatizah menggarap kecekapan yang diperlukan keadaan semasa sambil kita terus juga beri perhatian kepada kecekapan teras mereka,” ujar beliau, sambil menerangkan asatizah perlu melengkapkan 30 jam pembelajaran dalam tempoh tiga tahun,

Ustaz Nor Razak menekankan, semua ini bukan untuk membebankan, sebaliknya untuk menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan asatizah supaya dapat menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

Mindset yang kita mahu tanam: ARB bukan hendak menyekat dakwah. ARB mahu membantu asatizah menjadi lebih lengkap, berilmu dan profesional,” tambahnya.

Etika, akhlak dan integriti – tiang utama asatizah

Walaupun sistem latihan diperkukuh, ARB tidak berkompromi dalam isu akhlak dan disiplin.

Kedua-dua tokoh agama itu mengingatkan bahawa pengiktirafan bukan hak automatik.

Ustaz Pasuni berkata: “Walaupun ada ijazah, kalau akhlak tidak memenuhi kriteria, mereka tidak boleh mengajar. Akhlak dulu, baru ilmu.”

Menurut Ustaz Nor Razak, pendekatan ARB bagaimanapun bukan untuk menghukum.

Setiap permohonan ARS yang tidak lulus atau asatizah yang digugurkan dari senarai ARS akan melalui proses tertentu untuk membantu mereka mengatasi kekurangan.

Ini termasuk bimbingan daripada asatizah mapan atau Masyaikh untuk memberi peluang asatizah memperbaiki diri.

“Kita panggil mereka, nilai keadaan, dan bimbing melalui kursus serta Masyaikh. Jika mereka berubah, mereka boleh kembali,” ujarnya.

Gelombang media sosial dan keperluan dekati masyarakat secara lebih kreatif

Salah satu cabaran terbesar bagi asatizah hari ini ialah bagaimana generasi muda menjadikan TikTok, YouTube dan Google sebagai rujukan agama – sering kali sebelum bertemu ustaz atau ustazah.

“Ramai ambil hukum dari TikTok. Ini membimbangkan. Kalau tidak ditangani, masyarakat boleh terkeliru,” kata Ustaz Pasuni.

Beliau juga berkongsi bahawa ramai ustaz atau ustazah setempat sudah mengambil langkah bergiat lebih aktif di media sosial menerusi pelbagai format yang dapat menarik golongan lebih muda.

Sehubungan dengan itu, Ustaz Nor Razak berkata ramai asatizah kini sudah agak popular di media sosial, namun akur gerakan ini perlu diperkukuh dan ARB sedang berusaha menyediakan panduan dan latihan.

“Sudah ada yang aktif. Tetapi belum ramai. Kemahiran media sosial ini mungkin perlu diperluaskan supaya mereka dapat menjelaskan isu semasa dengan lebih cepat dan tepat,” ujarnya.

ARB sendiri, menurut Ustaz Nor Razak, sedang meneliti sama ada wajar diwujudkan platform rasmi untuk menjawab kekeliruan dalam talian.

“Ini sesuatu yang sedang dipertimbangkan dan dibincangkan,” ujar beliau.

Komposisi baru ARB: lebih muda, lebih pelbagai, lebih dekat dengan realiti masyarakat

Dengan keahlian baru merangkumi pakar sosial, pegawai syariah, naib kadi, dan tokoh pendidikan, ARB kini mempunyai pengalaman merentas sektor, bukan sekadar agama.

Menurut Ustaz Nor Razak purata usia anggota baru ialah sekitar 40-an tahun.

“Mereka dekat dengan asatizah muda, faham budaya digital, dan boleh bertindak sebagai jambatan generasi,” ujarnya.

Beliau berharap asatizah akan terus bersama ARB dalam perjalanan memperkukuh bimbingan agama di Singapura.

“Kita ingin bergerak ke hadapan bersama – demi masyarakat yang memahami Islam dengan yakin, matang dan sesuai dengan konteks negara kita,” tambah beliau.

Sebagai penutup, Ustaz Pasuni menitipkan pesanan:

“ARB bukan untuk menyekat, tetapi melengkapkan. Masyarakat juga perlu memahami dan memberi kepercayaan kepada proses ini.”

Sementara itu, Ustaz Nor Razak mengajak semua asatizah agar terus bersama ARB dalam perjalanan memperkukuh bimbingan agama di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg