Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz Hannan: Meninggalkan Muis bukan tamat perjuangan, tapi permulaan baru

Mantan Timbalan Mufti percaya dirinya masih punyai peranan untuk terus menyumbang kepada masyarakat – cuma dengan pendekatan, platform berbeza
Oct 6, 2025 | 5:30 AM
Bagi Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, pengunduran daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bukan titik noktah perjuangan, sebaliknya lembaran baru dalam perjalanan panjang beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Bagi Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, pengunduran daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bukan titik noktah perjuangan, sebaliknya lembaran baru dalam perjalanan panjang beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selepas hampir tiga dekad berkhidmat, termasuk empat tahun sebagai Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, kini melangkah ke fasa kehidupan baru.

Pada 31 Julai lalu, beliau secara rasmi menamatkan khidmatnya di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Namun, bagi beliau, pengunduran itu bukanlah noktah perjuangan, sebaliknya ruang untuk menyumbang dalam bentuk lain – dengan misi yang tetap sama: membina masyarakat Islam yang berdaya tahan dan memperkukuh keharmonian negara.

“Semasa saya bangun pagi pada 1 Ogos, saya rasa pelik... selalunya ada saja ‘krisis’, ada saja masalah masyarakat yang perlu diselesaikan.

“Tapi hari itu... tiada apa-apa dan rasa janggal. Lalu saya terfikir, bagaimana kuatnya keterikatan saya dengan masyarakat selama ini,” kata beliau mengimbas detik pertama selepas melepaskan jawatan.

Dalam wawancara di podcast BHerbual terbitan akhbar ini, Ustaz Hannan berkata, pengalaman lebih dua dekad di Muis telah mengikat dirinya dengan denyut nadi masyarakat.

Justeru, meski tidak lagi memegang jawatan rasmi, beliau percaya dirinya masih mempunyai peranan untuk terus menyumbang – cuma dengan pendekatan dan platform berbeza.

Watch on YouTube

Tekanan bukan beban, tetapi ujian diri dan keluarga

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau akur bahawa tekanan dan tumpuan awam adalah lumrah bagi seorang pemimpin agama.

Setiap isu – daripada fatwa sehingga pembangunan madrasah – sering menjadi perhatian umum.

Namun, beliau tidak pernah melihat tekanan itu sebagai beban.

“Tekanan itu sesuatu yang positif. Ia memberi tujuan untuk bangun setiap pagi dengan tekad menyelesaikan masalah masyarakat,” ujarnya.

Namun, tekanan itu meninggalkan kesan besar kepada keluarga.

Isteri dan anak-anak, kata beliau, sering menjadi saksi pengorbanan yang tidak diketahui masyarakat.

“Isteri saya melihat malam-malam penuh tangisan, sujud sendirian, memendam apa yang saya tidak boleh luahkan demi maslahat lebih besar.

“Jadi apabila tiba masa untuk berundur, saya tahu keluarga saya antara yang paling bahagia,” kata beliau lagi, sambil menambah, keputusan meninggalkan Muis adalah juga bagaikan ‘hadiah’ buat keluarga yang setia mendampinginya.

Rancangan pasca-Muis: Menulis, membimbing, menyatukan

Kini dengan masa yang lebih fleksibel, Ustaz Hannan mahu menumpukan masa pada projek penulisan, menjadi mentor kepada pemimpin muda serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan agama pelbagai kaum dan agama.

Beliau menyifatkan tempoh ini bukan “lebih bebas”, tetapi fasa untuk merancang semula pendekatannya.

“Komitmen saya tetap pada pembangunan masyarakat Islam, tetapi juga lebih luas – masyarakat Singapura secara keseluruhan.

“Saya ingin terus menyemai nilai-nilai baik, menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan sosial dan lain-lain usaha ke arah yang sama.

“Muis hanyalah satu platform, kini saya ingin manfaatkan platform lain,” ujar beliau.

Beliau turut bercadang mengukuhkan hubungan rentas agama yang pernah beliau pupuk sepanjang kerjaya, termasuk dalam usaha membina jalinan bersama pemimpin agama lain.

Bagi beliau, menjaga keharmonian sosial bukan hanya tanggungjawab kepimpinan politik, bahkan juga agamawan.

“Kepimpinan agama daripada pelbagai latar belakang mesti terus bersatu dalam mengekalkan kedamaian yang kita nikmati. Itu amanah besar untuk generasi seterusnya,” kata beliau.

Pencapaian: Madrasah, Akademi Muis dan wacana global

Antara legasi penting beliau ialah pembangunan kurikulum madrasah.

Projek kurikulum madrasah yang diperkenalkan pada awal tahun 2000-an menjadi tonggak penting dalam memperkukuh pendidikan Islam.

Walaupun penuh cabaran, usaha itu berjaya meningkatkan daya saing pelajar madrasah.

“Mungkin ada yang masih ingat, ketika itu kita perkenalkan subjek dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah. Ia bukan mudah, tetapi kita lakukan demi masa depan anak-anak madrasah,” katanya.

Beliau turut menubuhkan sebuah pejabat yang menyediakan sokongan kebajikan dan pembangunan kerjaya pelajar.

Pejabat kecil itu kini berkembang pesat, menjadi rujukan utama dalam menangani isu-isu pelajar.

“Kepuasan saya ialah melihat pelajar-pelajar kita mendapat sokongan menyeluruh. Itu pengalaman yang membekas dalam hati,” tambahnya.

Di Akademi Muis, beliau mempelopori program, Distinguished Visitors, yang membawa ulama dan pemikir dunia ke Singapura.

“Saya kagum apabila tokoh luar mengiktiraf Singapura berpotensi menjadi pusat pemikiran Islam progresif.

“Ini membuktikan kita tidak harus rendah diri. Kita little red dot, tetapi kita punya potensi besar,” katanya dengan penuh semangat, merujuk kepada gelaran negara ini yang kerap dipanggil ‘titik merah kecil’.

Cabaran: Jurang maklumat dan keyakinan masyarakat

Walau banyak pencapaian, beliau mengakui masih ada cabaran besar yang belum selesai – khususnya jurang persepsi antara masyarakat dengan institusi agama.

“Satu masa dahulu ramai tidak tahu secara terperinci apa yang dilakukan Muis.

“Contohnya, ramai tidak tahu Muis menyalurkan hampir $1 juta kepada LBKM untuk biasiswa, dan lain-lain dana zakat yang kita agihkan sedangkan ini semua tertera dalam laporan kewangan yang diterbitkan setiap tahun.

“Generasi tersebut sudah dapat Muis dekati, dan mereka sudah faham. Cabarannya ialah untuk melakukan yang sama pula kepada generasi hari ini. Supaya dengan pengetahuan itu, mereka boleh membuat penilaian,” ujar beliau.

Antara cara mendekati generasi hari ini secara berkesan, tambah Ustaz Hannan, adalah dengan terus memperkukuh hubungan dan kepercayaan antara masyarakat dengan pemimpin agama.

Menurut beliau, jika masyarakat kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan agama tempatan, mereka akan mencari rujukan luar yang tidak semestinya memahami konteks Singapura.

“Belajarlah daripada agamawan Mesir, Indonesia atau Malaysia, tidak salah. Tapi yang menanggung implikasi keputusan ialah kita di Singapura. Justeru masyarakat mesti yakin kepada kepimpinan agamanya sendiri,” tegas beliau.

Ancaman radikalisasi belia

Dalam wawancara itu, beliau juga menyentuh cabaran semasa – radikalisasi belia termasuk kes remaja 14 tahun yang dipengaruhi fahaman bercampur aduk atau salad bar extremism yang diberkas pihak berkuasa baru-baru ini.

“Radikalisasi bukan hanya soal ideologi, tetapi emosi.

“Emosi yang dirangsang media sosial membawa tindakan, kemudian minda mencari justifikasi.

“Jadi kita perlu bantu anak muda mengurus emosi, bukan sekadar berhujah dengan hujah,” jelasnya.

Beliau turut menolak sikap menyalahkan ibu bapa semata-mata apabila anak terjerumus.

“Keluarga hari ini berdepan cabaran kompleks. Mereka perlukan sokongan masyarakat, ibarat kata pepatah – it takes a village to raise a child. Jangan bebankan ibu bapa seorang diri,” katanya.

Pada masa sama, tambahnya, mendidik anak memerlukan keberanian ibu bapa mencari pertolongan profesional, termasuk pakar terapi dan psikologi.

“Itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan,” pesan Ustaz Hannan.

Mengurus emosi masyarakat

Isu Gaza turut disentuh apabila ditanya tentang gelora emosi masyarakat.

Menurutnya, imej penderitaan yang disiarkan berulang-ulang boleh mengundang tekanan psikologi, khususnya pada golongan wanita dan ibu.

“Di sinilah pentingnya gabungan pakar psikologi, kaunselor dan agamawan. Kita perlu bekerjasama menguruskan kesan emosi ini,” katanya.

Beliau menekankan doa sebagai saluran emosi yang positif.

Bagi beliau, berdoa bukan sahaja permintaan kepada Allah, bahkan juga terapi emosi dan benteng jiwa umat Islam.

“Jangan pernah putus asa dengan doa kerana itu yang syaitan mahukan... kita hilang harapan.

“Kadang-kadang doa 30 tahun dahulu baru kita lihat hasilnya hari ini. Jangan sekali-kali fikir doa tidak mencukupi,” katanya.

Wacana politik dan ruang dialog

Ustaz Hannan turut mengulas budaya wacana politik di Singapura.

Baginya, perbezaan pandangan adalah lumrah, tetapi mesti diurus dengan tenang dan matang.

“Isu tudung ambil masa 20 tahun bukan kerana kain di kepala, tetapi kerana kondisi masyarakat. Jadi kita perlu melihatnya sebagai proses evolusi sosial,” tegas beliau.

Beliau percaya dialog adalah kunci, namun bukan semuanya sesuai dijalankan di media sosial.

“Konteks boleh disalah tafsir, akhirnya menimbulkan spekulasi.

“Saya menyokong dialog, tetapi ia mesti dijalankan dengan peserta yang tepat dan dalam ruang yang terkawal.

“Yang penting, kita konsisten menjaga keamanan dan perpaduan – itu dasar agama dan dasar negara,” tegasnya.

Misi tidak berubah

Bagi Ustaz Hannan, pengunduran daripada Muis bukan titik noktah perjuangan, sebaliknya bab baru dalam perjalanan panjangnya berkhidmat pada masyarakat.

“Tujuan dan misi tidak berubah. Platform sahaja yang berbeza.

“Kita mesti terus yakin, Singapura memiliki potensi besar sebagai masyarakat Islam yang progresif dan masyarakat berbilang kaum yang harmoni. Itu anugerah Allah yang mesti kita jaga,” katanya mengakhiri perbualan.

-
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg