Sumbangan Ustaz Pasuni Maulan selaku anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mendapat penghormatan dalam Anugerah Hari Kebangsaan 2025.
Beliau menerima Pingat Jasa Gemilang, iaitu pengiktirafan ketiga tertinggi dalam anugerah tersebut, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 9 Ogos.
11 penerima lain yang turut menerima penghormatan itu termasuk saintis sosial, Dr Noeleen Heyzer, dan ketua eksekutif pusat pakar keganasan keluarga, Pave, Dr Sudha Nair.
Ustaz Pasuni, 80 tahun, sudah berkhidmat sebagai anggota Majlis Tertinggi Muis selama tujuh penggal.
Pada 7 Ogos, beliau yang juga Mantan Pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), diumumkan akan terus berkhidmat bagi penggal kelapannya dalam majlis tersebut.
Ustaz Pasuni merupakan antara 7,210 individu yang diberi penghargaan dalam Anugerah Hari Kebangsaan 2025 atas sumbangan kepada negara atau pencapaian cemerlang mereka.
Mengulas tentang penerimaan anugerah itu semasa dihubungi, beliau berkata:
“Penglibatan saya dalam kegiatan pendidikan Islam seperti madrasah, masjid dan pembangunan keluarga merupakan satu kewajipan.
“Penghargaan yang diberikan diharap dapat mendorong, terutama asatizah muda, untuk turut melaksanakan amanah yang lebih luas, bukan hanya mengajar dan berceramah.
“Ibarat dalam permainan dam, mereka tidak harus sekadar menjadi buah dam, tetapi pemainnya.
“Asatizah muda perlu melihat bidang dakwah dalam bentuk yang luas kerana mereka pewaris para Rasul.”
Tambahnya, semua usaha yang dilaksanakan dianggap usaha kolektif, bukan peribadi.
Antara inisiatif paling menyerlah ialah kejayaan membawa Madrasah Aljunied Al-Islamiah ke dalam Sistem Madrasah Bersama (JMS).
Turut menerima pengiktirafan ialah Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed.
Encik Kadir, 58 tahun, menerima Pingat Pentadbiran Awam (Perak), setelah memegang jawatan tersebut sejak 2021 ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Sementara itu, jasa bakti serta sumbangan Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Jumat sebagai mantan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) turut dikenang.
Beliau diberi penghormatan dengan Pingat Bakti Masyarakat (Anumerta).
Pengiktirafan tertinggi 2025, Darjah Utama Nila Utama, telah diberikan kepada Mantan Pengerusi Kumpulan Lapangan Terbang Changi, Encik Tan Gee Paw.
Senarai penuh penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2025 boleh didapati di laman web PMO di https://www.pmo.gov.sg/national-day-awards.
“
Penglibatan saya dalam kegiatan pendidikan Islam seperti madrasah, masjid dan pembangunan keluarga merupakan satu kewajipan. Penghargaan yang diberikan diharap dapat mendorong, terutama asatizah muda, untuk turut melaksanakan amanah yang lebih luas, bukan hanya mengajar dan berceramah. ... Asatizah muda perlu melihat bidang dakwah dalam bentuk yang luas kerana mereka pewaris para Rasul.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg