Proses dokumentasi bagi membawa haiwan korban dari Australia ke Singapura sudah dimulakan lebih awal untuk memastikan kelicinan ibadah korban di sini, kata salah seorang pengasas syarikat pengendali korban, The Meat Brothers, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan.

Lantaran itu, beliau sedang mendapatkan butiran dan sebab permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke sini masih belum diluluskan.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Ustaz Imran menjelaskan, urusan termasuk permohonan permit itu di Australia, dilaksanakan oleh pembekal haiwan korban di sana, manakala The Meat Brothers, menguruskan operasi dan dokumentasi di sini.

Menurut Ustaz Imran, pihaknya sedang berhubung rapat dengan vendor itu mengenai punca kelewatan tersebut.

“Belum ada kepastian yang haiwan itu akan tiba lewat atau tidak dapat diterbangkan... justeru kami terus memantau keadaan itu pada 22 dan 23 Mei ini,” ujar beliau.

Jelas Ustaz Imran, jika permit masih belum diluluskan pada tempoh itu, mereka akan mula menghubungi sohibul korban (orang yang laksana ibadah korban) pada hujung minggu dan memberikan mereka pilihan bagi langkah seterusnya.

“Paling lewat untuk memastikan sama ada haiwan korban boleh diterbangkan ke sini atau tidak ialah pada 27 Mei.

“Kami akan hubungi sohibul korban dan tanya apa pilihan mereka, sama ada memulangkan wang atau melaksanakan korban di Australia,” katanya sambil menambah sohibul korban juga boleh menunggu hingga pengesahan permit didapatkan.

Menurutnya, permit perlu didapatkan selewatnya sebelum 27 Mei, agar ia mempunyai cukup masa untuk diterbangkan ke sini dan korban dilaksanakan dalam tempoh hari tasyrik – 28, 29 dan 30 Mei.

Menjelaskan proses membawa haiwan korban itu ke Singapura, Ustaz Imran berkata:

“Semuanya dilaksanakan lebih awal lagi, kerana jika tidak, kami tidak akan dapat maklumat penerbangan bagi haiwan ini.”

Menurut Ustaz Imran, haiwan korban itu dijadual ke sini pada 25 Mei, dan tiba pada awal pagi 26 Mei.

“Mendapatkan permit ialah proses terakhir sebelum ia dibawa ke Singapura.

“Haiwan itu kini sudah dikuarantin, dan hanya menunggu pengesahan sebelum boleh dibawa keluar dari Australia,” tambahnya.

Beliau menambah, sejurus selepas syarikat itu mengetahui haiwan tersebut belum mendapat permit pada pagi 21 Mei, mereka menghubungi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menjelaskan keadaan terkini dan sebagai langkah keselamatan.

Susulan itu, Muis mengeluarkan kenyataan pada hari tersebut kemungkinan sekitar 400 haiwan korban daripada The Meat Brothers, tiba lewat bagi ibadah korban secara langsung di sini.

Menurut Muis, kelewatan tersebut dijangka menjejas empat masjid iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.