Menjelang 2028, penduduk di kawasan barat boleh menikmati penginapan di vila tiga tingkat Safra, bersantai di kafe tepi kolam renang dan berseronok dengan anak-anak mereka di taman permainan dalaman yang dinaik taraf.
Kemudahan baru itu dijangka siap pada awal 2028, selepas kerja menaik taraf selama satu setengah tahun rumah kelab Safra Jurong yang berusia 16 tahun itu siap kelak.
Sebahagian daripada rumah kelab itu akan terus terbuka kepada anggota kerahan dan keluarga mereka semasa kerja-kerja menaik taraf, yang akan berlangsung secara berperingkat mulai akhir 2026.
Mengumumkan rancangan ini pada 19 Oktober di majlis Rumah Terbuka Be@Safra Safra Jurong, Menteri Negara Pertahanan Encik Desmond Choo berkata Safra Jurong akan dibangunkan sebagai “oasis bandar”.
Menurut The Straits Times, antara kemudahan baru ialah vila tiga tingkat, dupleks dua tingkat dan studio satu tingkat untuk penginapan – rumah kelab Safra pertama yang menawarkan penginapan sedemikian.
Ini akan mengambil alih ruang gelanggang tenis sedia ada dan tempat barbeku.
Terdapat juga lebih banyak kedai makan, gelanggang futsal baru, kolam renang yang dinaik taraf dengan ciri permainan air baru, peralatan latihan pintar di gim EnergyOne dan ciri permainan tematik baru di taman permainan dalaman Kidz Amaze.
Encik Choo, yang juga Presiden Safra, menambah bahawa terdapat juga program baru untuk memberi layanan lebih baik kepada anggota perkhidmatan negara yang lebih muda dan keluarga mereka yang tinggal berdekatan.
Safra telah menjalankan tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus untuk mengumpulkan maklum balas dan ini akan diteruskan pada bulan-bulan berikutnya sebelum kerja-kerja menaik taraf dimulakan.
Encik Choo juga berkata untuk pembangunan jangka panjang, beberapa gangguan jangka pendek dijangka berlaku.
Safra akan cuba meminimumkan tempoh penutupan kemudahan seperti gim dan taman permainan dalaman ketika kerja-kerja menaik taraf dijalankan.
Penduduk yang tinggal di kawasan Jurong menyambut baik pengumuman itu, dan terutamanya menantikan chalet baru, memandangkan kekurangan tawaran sedemikian di sebelah barat Singapura.
Pekerja penghantaran Encik Afiq Nasrullah, 23 tahun, mengunjungi rumah kelab Jurong seminggu sekali untuk menggunakan gelanggang futsal dan menjamu selera.
Selain chalet, beliau juga menantikan gelanggang futsal baru kerana mendapati gelanggang sedia ada “agak lapuk”.
Broker kewangan Encik Eshwar V. Velautham, 27 tahun, melawat Safra Jurong sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk berenang dan menjamu selera.
Beliau tidak sabar-sabar untuk menempah chalet untuk perhimpunan bersama anggota keluarga dan rakan-rakannya.
Jika beberapa kemudahan ditutup semasa kerja-kerja menaik taraf, kedua-dua Encik Eshwar dan Encik Afiq berhasrat untuk melawat rumah kelab Safra lain atau taman kejiranan berdekatan untuk menggunakan kemudahan yang tersedia.
Terdapat enam lagi rumah kelab Safra. Dua yang terbaru, di Choa Chu Kang dan Punggol, membuka pintu mereka dalam dekad yang lalu.
Daripada empat rumah kelab selebihnya, rumah kelab Mount Faber dan Tampines telah dinaik taraf pada 2019, manakala yang di Yishun pada 2020.
Yang terakhir ialah Safra Toa Payoh, yang dibuka pada 1975 dan telah dibangunkan semula pada 2013.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg