Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Safra Bayshore sasar dibuka pada 2030, sebelah stesen TEL Bedok South

Jun 29, 2025 | 3:55 PM
zaqy mohamad, politeknik nanyang
Menteri Negara Kanan Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad, bergambar bersama kumpulan dari Politeknik Nanyang yang memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Animasi Terbaik dalam pertandingan video Penghargaan Anggota Kerahan pada 29 Jun. - Foto ST

Menjelang 2030, anggota kerahan, pegawai tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) boleh menjangkakan aktiviti di rumah kelab Safra terbesar di Bayshore.

Rumah kelab Safra Bayshore, yang disasarkan siap pada 2030, akan menggantikan rumah kelab Tampines sedia ada, kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Encik Zaqy Mohamad pada 29 Jun.

Menurut The Straits Times, Safra Bayshore bakal terletak bersebelahan stesen MRT Bedok South di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang dijadualkan dibuka pada 2026.

Rumah kelab baru itu juga adalah yang terbesar, dengan keluasan lantai kasar sekurang-kurangnya 30,000 meter persegi – bersamaan dengan sekitar empat padang bola sepak.

“Ia adalah dua kali ganda saiz Safra Tampines sekarang... Ia akan menawarkan pelbagai kemudahan moden dan dimampui,” kata Encik Zaqy di Safra Toa Payoh, di majlis pelancaran inisiatif untuk menghargai para anggota kerahan ketika Singapura menyambut tahun kemerdekaannya yang ke-60.

Rumah kelab Tampines yang dibina pada 1988, adalah yang Safra tertua di sini.

Safra Bayshore, yang akan dibina di belakang Sekolah Menengah Temasek, akan menggantikan kemudahan Tampines untuk menyediakan aktiviti bagi askar dan keluarga mereka.

Rancangan untuk membina rumah kelab itu diumumkan pada Mac.

Encik Zaqy, yang juga presiden Safra, berkata organisasi sosial dan riadah itu telah melibatkan anggota kerahan yang tinggal di kawasan timur untuk menentukan gabungan kemudahan dan aktiviti di Safra Bayshore, dan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membangunkan kelab itu.

“Perhatian khusus juga akan diberikan kepada reka bentuk kelab dalam mencapai piawaian kemampanan yang tinggi, serta menyediakan ruang tertutup bersama untuk anggota kerahan negara dan keluarga mereka berkumpul bagi menyertai pelbagai acara seni, sukan, muzik dan pameran,” tambahnya.

Leftenan Kolonel (NS) Jayson Goh, pengerusi bersama jawatankuasa pemandu Safra Bayshore, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada bagaimana rumah kelab itu boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anggota kerahan dan keluarga mereka.

Beliau yang juga naib presiden eksekutif pengurusan lapangan terbang di Changi Airport Group, menambah bahawa saiz rumah kelab baru yang lebih besar itu juga bermakna ia boleh menampung lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan, berbanding rumah kelab lain.

Jurucakap Safra berkata butiran lanjut mengenai pembinaan kemudahan Bayshore akan didedahkan kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg