Belia Melayu/Islam harus memupuk minat dan membina kemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) supaya dapat merebut peluang pekerjaan dalam sektor yang sedang berkembang, kata Anggota Parlimen (AP) gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Menambah, Dr Wan Rizal, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, berkata memperkukuh kemahiran Stem menjadi asas kepada banyak sektor yang dijangka berkembang pada masa depan.

Justeru, pendedahan yang lebih luas dalam bidang tersebut membuka peluang bagi belia Melayu/Islam meneroka kerjaya dalam bidang tersebut.

Dr Wan Rizal berkata demikian semasa bercakap dengan media selepas sesi dialog pasca-Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) di Kelab Masyarakat Woodlands pada 22 September.

Menurut beliau, masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan ruang dan peluang bagi golongan muda menggunakan kemahiran Stem dalam kehidupan seharian agar minat terhadap bidang itu dapat diterjemahkan kepada pilihan kerjaya.

“Tentu sekali, dalam sektor-sektor yang sedang berkembang, kita juga mahu anak muda kita tampil dan menceburi sektor-sektor sebegini.

“Jadi, melalui rangkaian yang sedia ada seperti Rangkaian Profesional, kita boleh memperluas rangkaian belia dan membuka peluang untuk beliau menjalani latihan industri di luar negara, terutama sekali di kawasan serantau, di mana mereka boleh mendapat pengalaman yang lebih luas.

“Harapan kita adalah untuk memberi mereka sebanyak mungkin pengalaman yang unik dan relevan, yang mungkin boleh mereka gunakan untuk meningkatkan kemahiran mereka,” jelas beliau.

Dr Wan Rizal, bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Zaqy Mohamad dan AP GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha telah menyertai sesi dialog melibatkan lebih 130 penduduk Melayu/Islam untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk pekerjaan, kecerdasan buatan (AI), perumahan dan sokongan keluarga.

Ia merupakan antara dua sesi dialog anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), yang memberi ruang kepada pemimpin akar umbi, belia dan anggota masyarakat untuk membincangkan topik dan isu-isu yang dibentangkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong di Rapat Hari Kebangsaan 2026.