Sokongan terhadap institusi kekeluargaan tidak boleh diletakkan di atas bahu pemerintah sahaja.

Sebaliknya, ia memerlukan sokongan, penyesuaian dan anjakan pola pemikiran di setiap peringkat ekosistem negara termasuk majikan, rakan sekerja dan masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam.

Sambil menekankan tanggungjawab majikan sebagai pihak berkepentingan utama dalam usaha menyokong ibu bapa yang bekerja, Cik Aidaroyani berkata adalah sangat penting buat majikan mengubah pola pemikiran mereka tentang produktiviti dan kejayaan di tempat kerja.

Ini bagi memastikan pelaksanaan Cuti Penjagaan Anak (CCL), dan juga inisiatif pemerintah lain yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos benar-benar berkesan.

Menyokong sentimen tersebut, pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, berkata produktiviti dan prestasi tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan tempoh yang dihabiskan di pejabat secara fizikal.

Sebaliknya, beliau, yang merupakan mantan zamil penyelidikan di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP), berkata majikan perlu memberi tumpuan kepada hasil kerja dan penyampaian bagi memudahkan pengaturan kerja fleksibel.

Mereka berkata demikian dalam Podcast BHerbual terbitan Berita Harian pada 24 Ogos, sehari selepas Encik Wong mengumumkan bahawa pemerintah sedang melakukan ‘perubahan asas’ dalam cara ia menyokong keluarga.

Langkah ini termasuk menyediakan lebih banyak CCL bagi ibu bapa yang bekerja, bergantung kepada jumlah anak yang dimiliki, di samping menyediakan lebih banyak sokongan kewangan bagi setiap anak serta bantuan perumahan dan penjagaan anak.

Lihat prestasi pekerja daripada sudut mutu

Menurut Cik Aidaroyani, anjakan dasar yang diumumkan pemerintah perlu diiringi dengan perubahan budaya kerja, dengan penyelia dan pengurus sumber manusia (HR) memainkan peranan kritikal.

Beliau menegaskan bahawa majikan harus melihat prestasi pekerja daripada sudut hasil kerja berbanding kehadiran fizikal semata-mata.

“Tak semestinya seseorang ibu atau bapa itu, seorang pekerja itu, harus berada selama 7, 8 atau 10 jam di tempat kerja secara fizikal semata-mata untuk menghabiskan tugasan kerja itu.

“Hasil kerja tidak semestinya bergantung pada kehadiran fizikal di tempat kerja.

“Jika seseorang pekerja itu boleh membuat kerja dari rumah, beliau tidak perlu pun berada di pejabat untuk empat hari atau lima hari seminggu.

“Jadi, majikan harus ada anjakan pola pemikiran seperti itu,” jelas Cik Aidaroyani.

Bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja bujang atau mereka yang tidak mempunyai anak kecil yang terpaksa mengambil alih tugas rakan sekerja yang bercuti, beliau menyarankan agar pengertian terhadap konsep pekerjaan itu diubah dan dibentuk semula oleh majikan.

Beliau mencadangkan agar majikan melakukan perbincangan terbuka dan membentuk tugasan berasaskan pasukan berbanding petunjuk prestasi utama (KPI) individu, agar sokongan dapat diberikan secara menyeluruh.

Dalam hal ini, sekiranya seseorang itu perlu mengambil cuti atau CCL, rakan sekerja lain secara automatik dapat meneruskan tugasan itu tanpa banyak gangguan.

Bersependapat, Dr Shamsuri berkata majikan perlu membezakan antara masa di tempat kerja dengan sama ada pekerja itu boleh “memberikan hasil kerja” yang diperlukan oleh tugasan tersebut.

“Pekerja yang bekerja dari rumah juga mampu memenuhi keperluan majikan sekiranya mereka dapat memberi tumpuan dan menghasilkan kerja yang bermutu.

“Ini perlu kita tekankan kepada majikan,” ujar Dr Shamsuri.

Namun begitu, beliau akur tidak mudah bagi syarikat kecil yang mempunyai kurang 10 pekerja untuk membuat penyesuaian kerana ketiadaan seorang kakitangan boleh menjejaskan operasi harian dengan teruk.

Ini, katanya, amat berbeza dengan syarikat lebih besar, di mana jika seorang kakitangan mengambil cuti, mereka mempunyai pekerja lain untuk mengambil ganti tugasan buat seketika.

Beliau turut mencadangkan agar pemerintah memperketatkan sistem pengauditan atau penarafan syarikat mesra keluarga, daripada gred A hingga D, yang boleh dikaitkan dengan pemberian sokongan dana tambahan daripada pemerintah.

“Kita boleh lihat sumbangan pekerja itu selain daripada hasil kerja sahaja.

“Kalau pekerja itu hamil dan perlu ambil masa untuk menjaga diri dan untuk melahirkan anak, saya rasa itu perlu dilihat sebagai sumbangan kepada negara,” jelas Dr Shamsuri.

Perkasa keluarga sebelum kesulitan

Mengulas tentang ‘perubahan asas’ yang diumumkan Encik Wong, Dr Shamsuri berkata langkah baru ini ibarat perancah atau ‘scaffolding’ sebuah bangunan, yang melindungi seseorang itu daripada terjatuh.

Ini berbeza dengan langkah sebelum ini, yang dilihat sebagai jaringan keselamatan atau ‘safety net’ yang menyelamatkan seseorang itu “hanya apabila orang itu telah jatuh”.

Seperti perancah, beliau berkata inisiatif seperti Pakej Bantuan Anak SG memberikan perlindungan menyeluruh yang menyokong dan memperkasakan keluarga sebelum mereka menghadapi kesulitan.

“Kalau kita lihat, bantuan yang diberikan seperti CCL, bantuan prasekolah, bantuan persekolahan kali ini amat menyeluruh.

“Objektifnya bukan hanya untuk meningkatkan bilangan kelahiran, tapi untuk menyokong keluarga secara menyeluruh di mana bantuan diberi semasa anak itu membesar, bukan sahaja semasa bayi itu baru dilahirkan,” kata Dr Shamsuri.

Bersetuju dengan pandangan tersebut, Cik Aidaroyani menekankan bahawa bantuan jangka panjang ini sangat penting untuk menyokong ibu bapa sepanjang fasa pembesaran anak mereka dari lahir sehingga usia remaja.

Namun Cik Aidaroyani dan Dr Shamsuri melahirkan kebimbangan terhadap golongan generasi ‘sandwich’ atau generasi terhimpit yang memikul tanggungjawab menjaga anak yang masih bersekolah, dan pada masa sama perlu menjaga ibu bapa yang semakin menua.

Dr Shamsuri mencadangkan pendekatan sokongan sosial menyeluruh atau ‘wrap-around approach’ yang diselaraskan seorang pembimbing keluarga bagi membantu menguruskan keperluan pelbagai generasi sebelum timbulnya krisis keluarga.

Realiti jumlah kadar kesuburan, insentif kewangan

Mengenai pengumuman insentif kewangan yang lumayan seperti Hadiah Bayi dan Kredit Anak yang diumumkan Encik Wong, mereka bersetuju bahawa wang tunai sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah penurunan jumlah kadar kesuburan (TFR).

Cik Aidaroyani berkata keputusan untuk membina keluarga yang besar melibatkan banyak faktor, termasuk kesediaan emosi dan keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi.

Beliau menambah, kemudahan akses kepada pusat penjagaan kanak-kanak yang berhampiran dengan rumah adalah antara faktor kritikal yang sering dipertimbangkan ibu bapa muda.

Dr Shamsuri pula menjelaskan bahawa peralihan zaman telah mengubah minda masyarakat Melayu tradisional yang dahulunya melihat anak sebagai pembawa berkat dan jaminan bagi hari tua.

“Insentif (yang diumumkan Encik Wong) memang pada pandangan saya sangat berguna tapi kami belum jumpa ‘formula ajaib’ yang betul,” kata Dr Shamsuri.

“Perlu ada penyampaian mesej yang betul daripada pemerintah yang menekankan bahawa institusi kekeluargaan membawa kebahagiaan dan rahmat dalam kehidupan.”

Beliau turut menyarankan agar Singapura mencontohi model negara luar yang menawarkan cuti bersalin berbayar yang lebih panjang sehingga satu atau dua tahun, serta pendidikan awal kanak-kanak yang percuma atau sangat murah.

“Tak semestinya seseorang ibu atau bapa itu, seorang pekerja itu, harus berada selama 7, 8 atau 10 jam di tempat kerja secara fizikal semata-mata untuk menghabiskan tugasan kerja itu. Hasil kerja tidak semestinya bergantung pada kehadiran fizikal di tempat kerja. Jika seseorang pekerja itu boleh membuat kerja dari rumah, beliau tidak perlu pun berada di pejabat untuk empat hari atau lima hari seminggu. Jadi, majikan harus ada anjakan pola pemikiran seperti itu.”
Cik Aidaroyani Adam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS.

“Kalau kita lihat, bantuan yang diberikan seperti CCL, bantuan prasekolah, bantuan persekolahan kali ini amat menyeluruh. Objektifnya bukan hanya untuk meningkatkan bilangan kelahiran, tapi untuk menyokong keluarga secara menyeluruh di mana bantuan diberi semasa anak itu membesar, bukan sahaja semasa bayi itu baru dilahirkan.”
Dr Mohamad Shamsuri Juhari, Pengasas Nusantara Connect,Pengasas Nusantara Connect.