Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga tawar khidmat bantu keluarga gaji rendah baiki kedudukan sosioekonomi

Aug 17, 2025 | 9:30 PM
Adriana, EFI, keluarga berpendapatan rendah
Pengasas bersama Empowered Families Initiative (EFI), Cik Siti Adriana Muhamad Rasip, adalah antara individu yang menjiwai ‘Semangat Singapura’. Beliau ingin lebih banyak pertubuhan menyokong masyarakat berpendapatan rendah ditubuhkan agar bantuan boleh dihulurkan kepada lebih banyak keluarga memerlukan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Cik Siti Adriana Muhamad Rasip percaya keluarga berpendapatan rendah mempunyai keinginan mengubah nasib mereka.

Tetapi berdasarkan pengalaman peribadinya, Cik Adriana sedar keluarga sedemikian hanya kekurangan sumber kewangan, peluang dan keyakinan berbuat demikian.

Oleh itu, beliau memutuskan untuk memulakan Empowered Families Initiative (EFI) – program pembangunan bertujuan melabur dalam rancangan keluarga berpendapatan rendah Singapura untuk memperbaiki keadaan dan kedudukan sosioekonomi mereka.

“Tercetus idea untuk fikirkan semula bagaimana bantuan sosial boleh dihulurkan kepada keluarga.

“Mengapa tidak beri peluang kepada keluarga ini untuk ketengahkan rancangan dan idea mereka, seperti dalam rancangan Shark Tank?,” kata pengasas bersama berusia 31 tahun itu.

Beliau merupakan contoh individu yang menjiwai ‘Semangat Singapura’ seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos.

Cik Adriana dan pengasas bersamanya – Encik Palvindran Jayram dan Cik Sonia Jalal – memutuskan untuk menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan, bahkan mewujudkan ekosistem yang menyokong bagi membolehkan keluarga memerlukan membangun dan perbaiki pendapatan mereka.

Sejak penubuhannya pada 2022, EFI telah membantu lebih 60 keluarga memperbaiki kehidupan mereka dan secara aktif membantu lebih 40 keluarga baru.

EFI merupakan program enam bulan yang menyeluruh dan menumpukan perhatian pada tiga aspek utama.

Pertama, keluarga yang memerlukan diberi geran yang boleh digunakan untuk membantu membayar hutang, menyokong perniagaan mereka dan lain-lain.

Kedua, EFI mempunyai skim padanan simpanan untuk membina dana simpanan keluarga yang memerlukan.

Bagi setiap dolar yang disimpan oleh keluarga tersebut, EFI akan padankan dua kali ganda, dihadkan kepada $200.

Namun, menurut Cik Adriana, sokongan wang sahaja tidak mencukupi – yang lebih penting ialah membina rangkaian sokongan dan memastikan mereka tidak rasa bersendirian.

Justeru, aspek ketiga juga diadakan, iaitu Rangkaian Sokongan Rakan, yang membolehkan keluarga bertemu setiap bulan untuk bekerjasama, berkongsi pendekatan dan pencapaian mereka.

Menurut Cik Adriana, lebih mengagumkan lagi adalah sekitar 20 peratus daripada mereka yang menerima bantuan EFI kembali untuk menghulurkan bantuan sebagai sukarelawan pula.

Beliau menekankan bahawa setiap keluarga yang datang dihargai dan didengari.

Jika sebuah keluarga belum bersedia terima bantuan EFI, mereka akan disalurkan kepada organisasi lain yang lebih sesuai.

Semangat Singapura bagi Cik Adriana adalah masyarakat bersifat penyayang dan terangkum, tetapi lebih penting, ia perlu dipamerkan dalam bentuk tindakan.

“Bukan cukup hanya rasa prihatin,” katanya, “tapi rakyat sendiri mesti proaktif, mesti bertindak untuk menyokong golongan terpinggir agar kita dapat maju bersama”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg