Individu kreatif dan penggiat seni tentu kaya dengan idea dan ilham tetapi tidak selalunya dapat merealisasikannya dengan lancar.
Encik Mohammed Noah Khan, 21 tahun, yang mengikuti kursus Diploma Reka Bentuk Pengurusan Fesyen di Politeknik Temasek (TP), menggunakan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) apabila buntu menghasilkan karya walaupun mempunyai keinginan dan ilham sendiri.
Beliau yang gemarkan gaya fesyen jalanan, menganggap Gen AI seperti rakan yang memberi pendapat tambahan dan maklum balas untuk menyokong proses ciptaannya.
Kerana daya inovasinya itu, maka nama anak bongsu empat beradik itu, disebut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, pada 17 Ogos.
Dalam ucapan bahasa Inggeris, Encik Wong menekankan penggunaan Gen AI sebagai teknologi terkini yang banyak manfaatnya, asal tidak disalahgunakan.
“Kini, kita menyaksikan permulaan era baru yang didorong oleh AI… Sepertimana komputer dan laman web mendorong teknologi zaman dahulu,” jelas Encik Wong.
Berkongsi lanjut mengenai Gen AI sebagai sumber inspirasi, Encik Noah, berkata:
“Saya biasanya menggunakan Gen AI untuk menggambarkan pelbagai idea saya… saya dapat sekilas bayangan bagaimana ingin menggabungkan pelbagai kain, corak, tekstur dan juga jahitan berbeza.
“Ia seperti mengumpul beberapa gambar dan sumber dalam mencetus inspirasi yang dapat membantu saya memilih arah tuju reka bentuk yang terbaik, sebelum membeli alat-alat yang diperlukan.”
Beliau menambah cara sebegitu melancarkan proses penyusunan idea dan meringkaskannya apabila berdepan dengan kekangan masa.
Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman memanfaatkan Gen AI dalam proses menyusun idea bagi mencipta pakaian yang menampilkan ciri-ciri unik budaya Singapura.
Ia khusus untuk dipersembahkan di pameran, ‘Made in Singapore’, sewaktu Minggu Rekaan Singapura pada September ini (2025), disusuli dengan pameran di Politeknik Universiti Hong Kong pada Oktober 2025.
Encik Noah dan anggota kumpulannya membayangkan motif yang melambangkan ciri-ciri budaya Singapura, seperti penjual aiskrim di tepi jalan, sebelum menghasilkan lukisan tangan.
Encik Noah turut dapat berkongsi proses itu bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sewaktu beliau mengunjungi TP pada Julai 2025.
Ternyata, Encik Noah sedar tentang kritikan terhadap penggunaan Gen AI dalam proses memperhalusi idea dan ilham.
Namun, beliau teguh meyakini bahawa dirinya dapat menggunakan Gen AI dengan penuh rasa tanggungjawab.
Encik Noah berkata: “Saya rasa Gen AI paling berkesan, hanya apabila ia digunakan sebagai alat untuk membantu dalam proses menghasilkan idea masing-masing… AI tidak sepatutnya menggantikan segala usaha manusia.
“Kami sebagai pereka bentuk juga menghargai diri dan ciptaan kami… ciptaan yang menggunakan Gen AI secara menyeluruh bukanlah ciptaan asli.”
Beliau menambah mutu dan keistimewaan sesuatu hasil ciptaan asli oleh manusia tidak boleh ditiru oleh Gen AI.
“Butiran ciptaan Gen AI juga biasanya selekeh dan kurang bermutu, berbanding kalau kita mencipta rekaan dengan tangan sendiri.
“Akhirnya, memilih dan mencipta reka bentuk yang baik memerlukan pertimbangan emosi manusia yang tinggi, sesuatu bakat yang tidak boleh ditiru oleh Gen AI,” tambahnya.
Dalam pada itu, Encik Wong turut menyentuh kepentingan melatih anak muda memanfaatkan teknologi Gen AI untuk menambah baik daya penghasilan dalam pelbagai industri dan keupayaan mengatasi cabaran digital dengan yakin.
“Di luar lingkungan sekolah, kita juga akan memperkukuhkan kemahiran digital pelajar institut pengajian tinggi, merentasi semua bidang.
“Zaman dulu, kemahiran digital bererti mengetahui untuk menggunakan hamparan atau ‘spreadsheet’ atau pemproses kata ‘word processor’... kini kita mengajar anak muda membina model AI,” ujar Encik Wong.
Menurutnya, guru dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak muda supaya tidak menggunakan AI sewenang-wenangnya tetapi mempersoal AI dan membentuk penilaian sendiri.
Encik Wong turut menekankan sikap realistik terhadap mengawal kesan negatif sambil memanfaatkan AI sepenuhnya.
“Ini bermaksud mencari keseimbangan yang tepat untuk melindungi golongan muda daripada bahaya AI sambil memperkasa mereka dalam memanfaatkan AI sepenuhnya.
“Yang paling penting dalam zaman AI ini adalah sifat-sifat insani seperti perwatakan, nilai murni dan kemanusiaan yang tidak boleh ditiru oleh teknologi,” tambah Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg