Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP kaji keputusan rayuan mahkamah terhadap Pritam

Dec 4, 2025 | 6:57 PM
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (dua dari kanan), bercakap kepada media selepas keputusan rayuannya dibacakan di Mahkamah Agung pada 4 Disember. Beliau diapit (dari kanan) bapanya iaitu Encik Amarjit Singh serta peguam bela Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang dan Encik Andre Jumabhoy.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (dua dari kanan), bercakap kepada media selepas keputusan rayuannya dibacakan di Mahkamah Agung pada 4 Disember. Beliau diapit (dari kanan) bapanya iaitu Encik Amarjit Singh serta peguam bela Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang dan Encik Andre Jumabhoy. - Foto ST

Parti Pekerja (WP) sedang mengkaji keputusan mahkamah dan alasan di sebalik keputusan itu selepas Hakim Rayuan, Hakim Steven Chong, menolak rayuan Setiausaha Agung parti tersebut, Encik Pritam Singh, pada 4 Disember.

Encik Pritam gagal dalam rayuannya terhadap sabitan dua pertuduhan menipu Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Dalam satu kenyataan pada hari yang sama (4 Disember), WP berkata ia sedia maklum dengan keputusan mahkamah terhadap Encik Pritam dan kekal komited untuk berkhidmat kepada penduduk Singapura.

“WP mengharungi pelbagai cabaran selama ini. Komitmen kami untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura tetap teguh.

“Kami amat berterima kasih kepada semua yang telah bersama kami dalam tempoh kami mencatatkan kemajuan dan dalam masa sukar,” kata parti itu.

Oleh kerana rayuan Encik Pritam ditolak, hukuman yang dikenakan oleh Hakim Daerah Luke Tan ke atasnya pada Februari kekal.

Hakim Daerah mendapati Encik Pritam bersalah atas dua tuduhan menipu ketika menjawab soalan yang dikemukakan COP dan beliau didenda $14,000.

COP tersebut bersidang pada November 2021 berhubung helah yang diutarakan mantan Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan.

Cik Khan didapati berbohong tentang mengiringi seorang mangsa serangan seksual ke balai polis dalam dua ucapan berasingan di Parlimen pada Ogos dan Oktober 2021.

Awal dari itu, ketika perbicaraan rayuan pada 4 November yang dipengerusikan Tuan Hakim, pihak pembela, yang diketuai Encik Andre Jumabhoy daripada firma guaman Andre Jumabhoy LLC, berhujah pihak pendakwa “mengabaikan bukti penting” berkaitan dua perkara kritikal.

Pertama, melibatkan anak guamnya menafikan beliau memberitahu Cik Raeesah untuk menutup pembohongannya. Encik Pritam menegaskan beliau tidak pernah menyatakan hal sedemikian kepada Cik Raeesah, kata Encik Jumabhoy.

Namun, Hakim Daerah Luke Tan semasa menjatuhkan hukuman mendapati Encik Pritam telah berbohong kepada COP selepas beliau memberitahu Cik Raeesah agar meneruskan helahnya.

Perkara kedua adalah berkenaan ungkapan, kata Encik Pritam, kepada Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021.

Encik Jumabhoy menjelaskan ungkapan “Saya tidak akan menghakimi anda” yang dikatakan Encik Pritam kepada Cik Raeesah difahami pihak pendakwa sebagai andaian bagi Cik Raeesah meneruskan pembohongannya.

Namun, Encik Jumabhoy berkata Encik Pritam memberi maksud beliau tidak akan menghakimi Cik Raeesah sekiranya bekas AP itu bertanggungjawab atas pembohongan sendiri.

Dalam keputusan bertulis pada 4 Disember, Tuan Hakim berkata walaupun Encik Pritam telah menggunakan istilah berbeza dalam persimpangan keterangan yang berbeza (semasa COP), semua jawapannya menghala ke arah tuju yang sama.

Tuan Hakim berkata kebimbangan Encik Jumabhoy ialah pendekatan pihak pendakwa yang memilih bukti menyokong hujah tertentu sambil mengabaikan bukti yang bercanggah dalam COP.

Daripada ini, Encik Jumabhoy menegaskan jawapan yang disimpulkan daripada gabungan kenyataan berbeza sedemikian adalah palsu.

Namun, Tuan Hakim berkata setiap jawapan yang diberikan Encik Pritam semasa COP “secara bebas menyampaikan jawapan palsu yang sama”, sekali gus menjadi asas kepada pertuduhan itu, katanya.

“Jika berbilang jawapan palsu diberikan, jawapan-jawapan sedemikian boleh menjadi subjek terhadap satu pertuduhan, dengan jawapan tersebut secara dasarnya adalah sama.

“Demikian halnya sungguhpun jawapan palsu berbeza (yang diberikan) tidak serupa,” jelas Tuan Hakim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg