Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan Warisan Melayu akan lebih aktif libatkan kumpulan, penggiat budaya

Faishal: Kumpulan berbeza dalam masyarakat dapat sumbang idea, cadangan martabat landskap budaya dan warisan
Sep 17, 2025 | 9:19 PM
Singapura, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bahasa, warisan, Melayu, budaya
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua kanan) menyapa penggiat seni dan budaya Melayu sempena siri pertama sesi perkongsian di restoran Permata pada 17 September. Bersama beliau adalah (dari kiri) Pengerusi Lembaga Pengarah Taman Warisan Melayu (TWM) dan juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Dr Norshahril Saat, dan Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff. - Foto BH oleh KHALID BABA

Yayasan Warisan Melayu (MHF) akan memainkan peranan lebih aktif bagi melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan, kumpulan dan penggiat kebudayaan demi melestarikan budaya dan warisan Melayu Singapura.

Ini supaya kumpulan-kumpulan berbeza dalam masyarakat dapat menyumbang idea dan cadangan untuk memartabatkan landskap budaya dan warisan Melayu di sini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata: “Bahasa, budaya dan warisan Melayu adalah aspek penting dalam cara kita hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

“Kami ingin membangunkan dan mengutamakan bagaimana kami dapat merangsang apa yang kita ada secara bersama untuk membangunkan budaya dan warisan ini.”

Dr Faishal memberi contoh lagu kebangsaan dan bahasa yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam segmen pertama Rapat Hari Kebangsaan adalah Bahasa Melayu memandangkan ia bahasa rasmi Singapura.

Lantaran itu, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata MHF akan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan, kumpulan budaya dan pengamal dalam sektor ini untuk memanfaatkan idea dan cadangan kreatif.

“MHF yang telah menasihatkan tentang pembangunan semula Taman Warisan Melayu akan menjadi pemain utama dalam membantu mengaturkan kegiatan ini dan membangunkan rancangan masa depan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sempena siri pertama sesi perkongsian bersama sekitar 50 penggiat dan pihak berkepentingan dalam bidang seni dan budaya Melayu di restoran Permata pada 17 September.

Sesi lebih satu jam itu menyaksikan pertukaran idea dan maklum balas antara Dr Faishal dengan para hadirin, merangkumi penggiat mapan mahupun yang muda.

Berkongsi kepada pihak media selepas acara, beliau berkata antara idea yang diketengahkan termasuk menjalinkan kerjasama dengan Taman Warisan Melayu (TWM) supaya ia boleh digunakan sebagai tempat kebudayaan terbuka untuk orang ramai, dengan kegiatan yang dianjurkan melimpah ke kawasan Kampong Glam.

Ini selain meningkatkan kepimpinan berwawasan dan penyelidikan terhadap budaya dan warisan Melayu di Singapura – dua bidang tumpuan yang ditekankan Dr Faishal.

Beliau berkata: “Ini langkah penting kerana ia memastikan budaya dan warisan kita tercatat untuk generasi masa hadapan dan mengukuhkan lagi peranan penting masyarakat Melayu/Islam dalam membentuk identiti Singapura.”

Pengerusi Lembaga Pengarah TWM dan juga Pengerusi MHF, Dr Norshahril Saat, berkata siri penglibatan dan perkongsian sedemikian menggariskan matlamat MHF untuk mengetengahkan warisan Melayu kepada semua, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Ini termasuk mengetengahkan warisan Melayu Singapura di peringkat serantau, ujarnya.

“Keunikan masyarkat Melayu di Singapura berbeza – dari segi linguistik, sosioagama, budaya dan sebagainya – dengan masyarakat Melayu di luar sana.

“Dengan sokongan yang diberikan oleh kepimpinan masyarakat Melayu/Islam di sini, yang diterajui oleh Dr Faishal, saya yakin kita boleh mengembangkan lagi usaha (yang sedia ada dan baru) untuk mendekati masyarakat,” tambah beliau.

Malah, usaha sedemikian penting supaya aspek warisan kekal menjadi tumpuan, khususnya dalam kalangan belia, ujarnya.

Beliau berkata dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan belia yang mungkin diberi lebih keutamaan, aspek budaya dan warisan “mungkin dipinggirkan”.

“Persoalannya kini adalah bagaimana kita dapat menggembleng tenaga dan membuat satu usaha yang lebih berkesan,” kata Dr Norshahril.

Sesi tersebut diadakan susulan pengumuman pembukaan semula TWM, yang dibuat oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos.

Encik Wong mengumumkan TWM bakal membuka tirainya pada April 2026 setelah menjalani kerja-kerja peningkatan sejak Oktober 2022.

Memberikan perincian lanjut dalam sesi perkongsian tersebut, Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata apabila dibuka kelak, TWM bakal mempunyai lima galeri tetap.

Setiap galeri membawa pengunjung melalui era berbeza yang meliputi tiga teras iaitu asas maritim, kesan sempadan kolonial dan pasca kolonial.

“Matlamat utama pembaharuan TWM adalah untuk memelihara Istana Kampung Gelam sebagai Monumen Kebangsaan melalui peningkatan prasarana serta menyegarkan galeri tetap hasil penyelidikan dan artifak baru.

“Dengan naratif yang lebih inklusif dan kemudahan lebih mesra, pusat ini menjadi lebih relevan dan bermanfaat kepada masyarakat hari ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg