Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sesi teh tarik bersama Faishal beri penduduk wadah santai luah pandangan

Aug 24, 2025 | 6:33 PM
Teh Tarik, Faishal
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (barisan belakang, tujuh dari kiri) bergambar dengan para belia dan pemimpin masyarakat yang hadir bagi sesi dialog pertama ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ pada 24 Ogos di Saffrons, Wisma Geylang Serai anjuran M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Lebih 50 belia dan pemimpin masyarakat turun padang bagi sesi dialog pertama ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ pada 24 Ogos di Saffrons, Wisma Geylang Serai anjuran M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan.

Sesi dialog secara santai bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, itu menyentuh tentang pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos.

Antara isu-isu yang diutarakan oleh para peserta termasuk kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan rakyat Singapura, peluang pekerjaan serta latihan bagi pekerja matang, dan sokongan bagi warga emas untuk menjalani saringan kesihatan.

Para peserta turut menyuarakan agar lebih banyak sokongan dapat diberi kepada asatizah untuk mencari pekerjaan daripada sektor-sektor selain agama, khususnya yang baru pulang belajar dari luar negara.

Mengulas tentang sesi dialog tersebut, Dr Faishal berkata beliau terharu dengan sambutan dan suara aktif pemimpin masyarakat untuk mengutarakan keprihatinan rakyat Singapura.

“Saya berbesar hati kerana mereka menyuarakan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam, dan turut mengambil berat tentang isu-isu yang berkaitan masyarakat umum Singapura, umpamanya kesan AI, isu pekerjaan, dan lain-lain lagi.

“Ini adalah pandangan-pandangan yang sangat penting dan saya akan berkongsi maklum balas dan saranan ini bersama rakan-rakan saya dalam pemerintah, agar mereka dapat memahami keprihatinan daripada lensa masyarakat Melayu/Islam,” kata Dr Faishal.

Isu utama yang kerap dibangkitkan semasa sesi dialog tersebut berkenaan peluang bagi belia untuk menyumbang pada pembangunan negara, menyuarakan pandangan dan mencuba idea baru.

Satu saranan turut diajukan agar Taman Warisan Melayu yang bakal dibuka pada 2026 dapat dijadikan lebih “mesra belia” di mana para belia dapat menguji kaji idea dan projek baru.

Dr Faishal mengalu-alukan pandangan-pandangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai “amat menggalakkan” kerana “belia memainkan peranan penting dalam membina Kisah Singapura”.

“Ramai belia menyuarakan pandangan mereka dan ini menunjukkan bahawa mereka prihatin dengan kehidupan mereka di Singapura, dan mereka mahu membantu membentuk Singapura bersama-sama dengan kita yang lain,” ujar Dr Faishal.

“Seperti yang PM Wong berkata - ‘kami melihat anda, kami mendengar anda, dan kami mahu membangunkan Singapura bersama anda’.

“Saya fikir ini adalah mesej yang sangat jelas kepada golongan muda bahawa kami mahu mereka menjadi sebahagian daripada perjalanan kami dalam membangunkan Singapura,” kata Dr Faishal.

Inisiatif ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ bagi penduduk kelompok Marine Parade diumumkan buat kali pertama oleh Dr Faishal semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Semasa diumumkan sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, Dr Faishal berkata beliau berharap dapat mengadakan sesi “Teh Tarik” secara santai untuk penduduk menyuarakan keprihatinan mereka kepadanya dengan lebih mudah, sekiranya beliau dipilih.

Usaha tersebut pernah beliau pelopori di kawasan Yishun dari 2011 hingga 2025 semasa beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon.

Pada GE2025, pasukan PAP memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa tanding setelah tiada parti pembangkang yang tampil untuk bertanding bagi kawasan tersebut.

Mengulas tentang sesi dialog tersebut, Dr Faishal berkata: “Saya gembira kerana suasana seperti sesi Teh Tarik ini terus memberikan keselesaan untuk mendekati penduduk.

“Ia juga memberi saya peluang untuk mendengar daripada penduduk saya dan bagaimana beberapa isu yang dikongsi oleh pemerintah boleh menjejas kehidupan mereka.

“Satu perkara yang paling saya suka tentang sesi seperti ini ialah tahap keselesaan. Anda membuang semua formaliti dan orang ramai berasa selesa untuk berkongsi pandangan dan kebimbangan mereka bersama saya,” ujar Dr Faishal.

Dr Faishal berkata beliau berharap sesi dialog secara bersantai seperti ini dapat diluaskan, bukan sahaja di kelompok Marine Parade, malah di kawasan-kawasan lain juga agar para penduduk dapat mendekati para pemimpin dengan lebih mudah.

Sesi dialog ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ itu merupakan yang pertama daripada sejumlah 11 sesi dialog pasca-Rapat Hari Kebangsaan 2025 yang bakal dianjurkan di seluruh M³@Bandar bagi memberi peluang bagi pemimpin masyarakat dan penduduk menyuarakan pandangan.

Menurut kenyataan Persatuan Rakyat (PA), sesi-sesi tersebut adalah selaras dengan usaha berterusan untuk mengukuhkan hubungan antara pemerintah dan rakyat.

Maklum balas yang dikumpul akan disemak dengan teliti dan dikongsi dengan agensi pemerintah yang berkaitan, dan akan menyumbang kepada penggubalan dasar yang lebih termaklum sambil menangani keperluan dan aspirasi masyarakat dengan lebih baik, kata PA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg