Tadbir urus negara kini berada dalam keadaan yang sentiasa berubah dan perlu diimbangi antara keselamatan, diplomasi, penglibatan ekonomi serta pembangunan mampan.
Asia Tenggara dan Timur Tengah berdepan cabaran kelautan yang serupa, daripada ancaman lanun hingga penggunaan dron dan taktik ‘grey zone’, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, semasa Dialog Manama ke-21.
Encik Zaqy menghadiri dialog tersebut di Bahrain dari 31 Oktober hingga 2 November.
Forum tahunan anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) itu merupakan platform utama yang menghimpunkan pegawai kanan bidang pertahanan, keselamatan dan hal ehwal luar negeri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran keselamatan di Timur Tengah dan kawasan lain.
Berucap dalam sesi pleno yang bertemakan ‘Keselamatan Maritim sebagai Tanggungjawab Serantau dan Global’, Encik Zaqy menekankan bentuk ancaman di laut semakin berkembang serta keperluan penyelarasan pelbagai hala bagi melindungi laluan penting dunia seperti Selat Melaka, Selat Hormuz dan Teluk Aden.
“Asia Tenggara dan Timur Tengah terletak di laluan laut paling penting di dunia. Sebarang gangguan di salah satu kawasan ini akan memberi kesan kepada seluruh dunia,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian kededua rantau kini berdepan ancaman tidak konvensional. Ini termasuk serangan dron dan peluru berpandu terhadap kapal dagang hingga risiko hibrid seperti serangan siber dan gangguan terhadap infrastruktur bawah laut kritikal.
“Apabila hanya empat kabel dasar laut terputus di Laut Merah pada 2024, sebanyak 70 peratus trafik data antara Asia dan Eropah dilaporkan terjejas,” ujar beliau sambil menekankan pentingnya kerjasama untuk meningkatkan kesedaran domain maritim dan ketahanan serantau.
Encik Zaqy turut memberi contoh penyertaan Singapura dalam usaha bersama seperti Rondaan Selat Melaka (Malacca Straits Patrols), Latihan Pacific Reach, dan kertas konsep Asean mengenai keselamatan infrastruktur bawah laut kritikal, sebagai antara langkah bagaimana negara-negara serantau dapat menggabungkan diplomasi, penangkalan dan pembangunan dalam satu strategi yang bersepadu.
Beliau menegaskan tiada satu kuasa pun yang dapat menjamin kestabilan maritim secara bersendirian, sebaliknya menyeru agar diwujudkan “perkongsian terangkum dan dialog yang memperkukuh keselamatan serta kemakmuran bersama.”
“Bagi negara kecil seperti Singapura, ini bermakna menggunakan kuasa pemersatu kami untuk menghimpunkan pihak lain, membina jambatan, bukan sekatan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tanggungjawab bersama antara para delegasi dalam menjami masa depan maritim dunia.
“Jika kita menganggap lautan ini sebagai amanah bersama, kita dapat memastikan generasi akan datang mewarisi persekitaran maritim yang makmur dan bukannya lautan yang dipertikaikan,” katanya.
Sepanjang lawatannya, Encik Zaqy mengadakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Pertahanan Bahrain, Leftenan Jeneral Abdullah Hassan Al Nuaimi, Panglima Angkatan Tentera Bahrain, Field Marsyal Shaikh Khalifa bin Ahmed Al Khalifa, serta Menteri Luar Negeri, Dr Abdullatif Rashid Alzayani, di mana mereka mengesahkan semula hubungan pertahanan mesra antara Singapura dan Bahrain.
Beliau turut bertemu Panglima Komando Pusat Amerika Syarikat (US CENTCOM) Laksamana Brad Cooper, Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Dr Khalid Hussein Al Biyari, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan sejagat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg